ICONCIDI'25: Universiti Dan Ilmuwan Diperlukan Tangani Politik Kebencian

ICONCIDI'25: Universiti Dan Ilmuwan Diperlukan Tangani Politik Kebencian
English translation not available for this content.

Malaysia perlu membina kekuatan peradaban yang berpaksikan nilai kemanusiaan, keadilan dan kesederhanaan — bukan politik kebencian yang menyesatkan.

Itulah mesej utama yang digariskan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Ke-3 Dialog Peradaban (ICONCIDI'25) di Universiti Malaya (UM) petang tadi.

Menekankan konsep Malaysia MADANI sebagai tunjang tadbir urus negara, beliau menyatakan bahawa pembangunan ekonomi semata-mata tidak mencukupi sekiranya masyarakat masih terjebak dalam fahaman ekstrem, rasisme dan kejumudan intelektual.

“Kita tidak harus menormalisasikan pemimpin korup dan separa celik sebagai wakil suara rakyat,” tegas beliau sambil menyeru Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) agar berperanan aktif memperjuangkan nilai luhur dan tidak membiarkan suara perkauman menguasai wacana negara.

Persidangan yang turut disertai Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dan Timbalannya, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud serta Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim itu dianjurkan sempena ulang tahun ke-30 Dialog Peradaban Universiti Malaya serta Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya (UMCCD).

Ia menghimpunkan tokoh ilmuwan seperti Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar dan Prof. Dr. Daniel Bell dari Universiti of Hong Kong dalam forum yang mengangkat tema “Dialog Antara Peradaban: Keperluan untuk ASEAN”.

YAB Perdana Menteri turut menyeru rakyat agar tidak terpedaya dengan ahli politik yang memperalat isu kaum dan agama demi kepentingan sendiri.

“Ya, mudah menjadi fasis dan meniupkan sentimen kaum. Tetapi lebih sukar dan bermaruah untuk mempertahankan hikmah, ihsan dan martabat insan,” ujar beliau.

Beliau menegaskan bahawa dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, dialog bukan hanya tuntutan moral tetapi jaminan kepada kelangsungan negara.

  • Last updated on .
  • Hits: 457
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Tuesday 15 July 2025, 07:22:36.

sirim-logo