Graduan UIAM Diseru Jadi Ejen Perubahan Dan Obor Keamanan Dunia

Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir menyeru graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) untuk menjadi agen perubahan dan obor keamanan di tengah-tengah dunia yang kian bergolak.
Beliau yang berucap selepas menyampaikan skrol kepada para graduan pada sidang ketiga, Majlis Konvokesyen UIAM ke-40 petang tadi turut menekankan pentingnya peranan generasi muda dalam memperjuangkan keadilan dan kemanusiaan.
“Di saat dunia menyaksikan penderitaan yang tidak terkata, khususnya di Gaza, graduan UIAM harus bangkit sebagai agen perubahan dan pembawa obor kedamaian. Anda dipanggil untuk memperjuangkan nilai keadilan, belas kasihan, dan keharmonian sejagat,” tegas beliau.
YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry juga mengingatkan bahawa pendidikan di UIAM bukan sekadar untuk mencapai kecemerlangan akademik, tetapi untuk membentuk insan yang berintegriti, berwawasan, dan berjiwa besar.
Majlis ini turut menjadi lebih bermakna apabila YB Dato' Seri Dr. Zambry sendiri berpeluang menyampaikan skrol kepada anak bongsunya yang berjaya menamatkan pengajian di Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim.
Dalam suasana penuh emosi, beliau menyatakan rasa syukur dan bangga dengan kejayaan anaknya, menjadikan majlis tersebut sangat istimewa bukan hanya bagi para graduan, tetapi juga bagi beliau secara peribadi.
“Sebagai bapa, saya amat berbangga dapat menyaksikan anak saya menerima skrol pada hari yang bersejarah ini,” ujar beliau dengan penuh rasa terharu.
Selain itu, YB Dato' Seri Dr. Zambry turut menyeru graduan untuk membawa legasi UIAM sebagai sebuah institusi yang menggabungkan tradisi Islam dengan pendidikan moden.
“Tujuan menuntut ilmu dalam Islam adalah untuk melahirkan insan yang baik, bukan sekadar warganegara yang baik,” katanya, memetik falsafah Profesor Diraja Terpuji Tan Sri Syed Muhammad Naquib al-Attas.
Malah, beliau turut mengingatkan bahawa pendidikan di UIAM membentuk graduan dengan kompas moral yang teguh untuk memimpin dunia ke arah yang lebih baik.
Majlis Konvokesyen UIAM yang berlangsung dari 16 hingga 20 November 2024 dijadualkan meraikan seramai 5,041 graduan dari pelbagai peringkat akademik, dengan pada sidang ketiga ini, seramai 565 graduan daripada Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim dan Kuliyyah Teknologi Maklumat dan Komunikasi menerima skrol masing-masing daripada YB Menteri.
Semoga kejayaan yang diraih menjadi pemangkin kepada para graduan untuk terus memberi sumbangan bermakna kepada masyarakat dan negara.
- Last updated on .
- Hits: 354