Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Ke-9 Bincang Peranan ASEAN dan Hegemoni Kuasa Besar Bersama Prof. Jeffrey Sachs

16 Mac 2026 | Putrajaya
Gagasan memperkukuh kemampanan strategik negara dan rantau Asia Tenggara dalam mendepani cabaran ketidakstabilan geopolitik global terus diangkat sebagai naratif utama wacana intelektual di negara ini.
Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah mengambil inisiatif proaktif dengan menganjurkan Forum Ilmuwan Malaysia Madani (FIM) Siri ke-9 yang bertemakan "Strategi untuk Malaysia dan ASEAN dalam Era Ketidakstabilan Global" bertempat di Dewan Za'ba petang tadi.
Penganjuran forum berprestij peringkat tertinggi ini bertujuan untuk merungkai pelbagai persoalan kritikal berkaitan ketegangan hubungan antarabangsa, tekanan sistem ekonomi semasa serta perubahan pesat teknologi yang melanda dunia.
Wacana keilmuan tersebut telah dipengerusikan secara langsung oleh Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim yang menzahirkan komitmen teguh Malaysia dalam menolak sebarang bentuk penindasan dan pencerobohan kuasa besar ke atas negara berdaulat.
Sesi perbincangan itu turut menampilkan tokoh ekonomi dan cendekiawan awam terkemuka dunia yang juga Presiden Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDSN), Prof. Jeffrey D. Sachs sebagai panelis utama.
Prof. Jeffrey dalam kupasannya menegaskan bahawa kesepaduan teguh dalam kalangan negara anggota ASEAN amat penting bagi mengelakkan rantau ini daripada terperangkap dalam proksi persengketaan hegemoni kuasa adikuasa.
Terdahulu, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya menyifatkan program tersebut sebagai platform penting bagi percambahan minda antara pembuat dasar dan para sarjana.
Beliau turut menekankan bahawa tradisi keilmuan yang dipupuk melalui forum anjuran KPT ini berupaya memacu hala tuju dasar luar negara yang lebih jelas ketika berhadapan dengan persekitaran global yang semakin tidak menentu.
Sesi dialog yang berlangsung penuh interaktif itu turut membuka ruang kepada para hadirin untuk bertukar-tukar pandangan mengenai strategi penyahdollaran serta kerelevanan penyertaan Malaysia ke dalam blok ekonomi BRICS.
Turut hadir, Menteri Luar Negeri, YB Dato' Seri Utama Mohamad Haji Hasan; Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Tuan Adam Adli Abd Halim; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; dan Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim.
- Last updated on .
- Hits: 640
