Diplomasi Pendidikan Tinggi Pacu Daya Saing Global Malaysia

20 Ogos 2026 | Putrajaya
Hubungan diplomatik Malaysia dengan negara luar perlu dimanfaatkan sebagai wadah untuk meningkatkan kualiti serta daya saing pendidikan tinggi negara di peringkat global, kata Menteri Pendidikan Tinggi YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.
Beliau berkata kedudukan Malaysia sebagai antara destinasi pilihan pelajar antarabangsa mencerminkan sistem pendidikan tinggi negara yang semakin mendapat pengiktirafan dunia hasil kekuatan ekosistem universiti merangkumi akademik, pentadbiran, kurikulum dan pedagogi.
Menurutnya, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kini mengadakan hubungan dua hala berkaitan pendidikan tinggi dengan beberapa negara termasuk Persekutuan Rusia dan Republik Turkiye bagi memperluas perkongsian kepakaran, pengetahuan, penyelidikan serta mobiliti pelajar dan pensyarah.
“Zaman itu sudah berubah, centre of learning itu sekarang ini sedang berada di Asia, khususnya di China dan juga negara-negara yang lain,” katanya ketika sesi Town Hall bersama warga KPT pada Perhimpunan Bulanan KPT di Dewan Za’ba di sini yang dikendalikan Ketua Komunikasi Korporat KPT, Mohamad Hafizi Rosli.
Beliau berkata Malaysia turut bersetuju mewujudkan mesyuarat tahunan pendidikan tinggi dengan China, selaras dengan perkembangan landskap pendidikan dunia yang menyaksikan negara-negara Asia semakin menonjol sebagai pusat ilmu dan pengajian tinggi.
Dalam pada itu, YB Menteri berkata pengantarabangsaan pendidikan tinggi tidak boleh dilihat sebagai mengambil tempat pelajar tempatan kerana dasar KPT tetap memastikan kepentingan serta akses pelajar Malaysia kepada Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam terpelihara.
Katanya, peluang pengantarabangsaan khususnya di peringkat pascasiswazah dan program mobiliti memberi ruang kepada pelajar tempatan berinteraksi dengan rakan dari luar negara serta memperoleh pengalaman yang diperlukan untuk bersaing di peringkat ASEAN dan dunia.
“You are not competing among yourself, saudara-saudari sekalian bersaing di peringkat dunia,” katanya yang turut menegaskan pengalaman antarabangsa dapat mengubah cara pelajar melihat persaingan dan cabaran masa depan.
Beliau berkata pada masa sama, kecemerlangan universiti tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan kedudukan dalam penarafan antarabangsa, sebaliknya IPT perlu terus menghasilkan penyelesaian terhadap isu masyarakat serta idea inovatif yang memberi manfaat kepada komuniti.
Perhimpunan Bulanan KPT yang bertemakan patriotisme itu turut menyaksikan Program Telaah Patriotisme, persembahan puisi Tanah Air karya Sasterawan Negara Allahyarham Dato’ Usman Awang, penutupan Program Dekad Membaca Kebangsaan, simbolik penyerahan obor sempena Larian Obor Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2026 serta penyerahan Jalur Gemilang kepada wakil jabatan dan agensi KPT.
Dalam perkembangan berkaitan, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry turut mengucapkan selamat menyambut Hari Kebangsaan serta menyeru warga KPT, mahasiswa dan ahli akademik bersama-sama memelihara keamanan dan kemakmuran negara, selain mendoakan kejayaan kontinjen Malaysia yang akan menyertai AUG 2026.
Hadir sama, Ketua Setiausaha KPT, Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim; Timbalan KSU (Pengurusan dan Pembangunan), Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah; serta Ketua Pegawai Eksekutif Education Malaysia Global Services, Novie Tajuddin.
- Last updated on .
- Hits: 47
