ATABM 2023 Iktiraf Ahli Akademik Pejuang Pemartabatan Bahasa Melayu

ATABM 2023 Iktiraf Ahli Akademik Pejuang Pemartabatan Bahasa Melayu
English translation not available for this content.

Usaha memartabat bahasa Melayu dalam sektor pendidikan tinggi negara sentiasa menjadi keutamaan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan mengangkatnya sebagai satu daripada agenda fokus kementerian.

Oleh itu, KPT sentiasa berusaha meluaskan jaringan kerjasama yang strategik dengan seramai mungkin cendekia bahasa dalam usaha mempersada dan melestarikan bahasa Melayu agar kekal unggul sebagai bahasa kebangsaan negara, merentas masa dan benua.

Justeru, penganjuran Majlis Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu 2023 (ATABM 2023) di ibu kota hari ini adalah untuk meraikan sumbangan para ahli akademik yang berjasa dalam perjuangan memartabatkan bahasa Melayu dalam bidang ilmu masing-masing, sama ada dari Universiti Awam (UA), Politeknik atau Kolej Komuniti.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, YBhg. Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian telah hadir merasmikan majlis tersebut serta turut menyampaikan anugerah kepada para pemenang bagi edisi ke-12 ini.

Profesor Pengajian Islam dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), YBhg. Prof. Dr. Farahwahida Mohd Yusof telah dinobatkan sebagai penerima ATABM 2023; diikuti YBhg. Prof. Dr. Mohd Affendi Mohd Shafri daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebagai penerima Anugerah Tokoh Harapan Akademik Bahasa Melayu; manakala YBrs. Dr. Norashady Mohd Noor daripada Politeknik Sultan Azlan Shah diumumkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Bahasa Melayu Sektor Teknikal.

Penganugerahan ini secara tidak langsung menyokong kerangka besar Ekonomi MADANI melalui inisiatif yang telah digariskan KPT dalam memfokuskan penyelidikan dan inovasi Institut Pengajian Tinggi ke arah menguruskan cabaran-cabaran utama negara serta meningkatkan keterlihatan sektor pendidikan tinggi negara di peringkat global (global presence).

ATABM 2023 turut dianjurkan bersekali dengan Wacana Bahasa Melayu Kontemporari 2023 yang diisi dengan ucapan pleno daripada YBhg. Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Bahri Baharuddin (Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia) dan YBrs. Prof. Dr. Noriah Mohamed. Selain itu, wacana tersebut turut memuatkan siri-siri perbincangan oleh barisan panel yang sohor seputar topik pengantarabangsaan serta peranan industri seni dalam memartabatkan Bahasa Melayu.

  • Last updated on .
  • Hits: 3045
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Monday 15 April 2024, 21:14:58.