AKKPT 2025: KPT Tekad Lahir Usahawan Mahasiswa Sebagai Pencipta Pekerjaan dan Pembina Industri Masa Hadapan

16 Mei 2026 | Kuala Lumpur
Universiti tidak lagi boleh dilihat sebagai sekadar pusat melahirkan graduan untuk mencari pekerjaan, sebaliknya mestilah bertindak sebagai tapak melahirkan pencipta pekerjaan, pembina industri, serta peneroka masa hadapan demi mendepani cabaran global.
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd. Kadir menggariskan gagasan tersebut sewaktu menyempurnakan Majlis Anugerah Keusahawanan Kementerian Pendidikan Tinggi (AKKPT) Tahun 2025 dan peluncuran Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi (PTK-IPT) 2026-2030 di ibu negara semalam.
Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi (PTK-IPT) 2026-2030 yang bertemakan "Melonjak Keusahawanan, Memacu Inovasi, Melestari Masa Hadapan" ini menjadi kompas strategik nasional untuk membawa agenda keusahawanan ke fasa lonjakan baharu yang lebih dinamik.
Dokumen dasar tersebut dirangka selaras dengan aspirasi negara bagi memperkukuh hala tuju melalui Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13) serta Lonjakan 1, Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035.
Penganjuran edisi kelapan anugerah berprestij ini mencatatkan sambutan luar biasa menerusi peningkatan penyertaan sebanyak 33 peratus yang melibatkan hampir 400 penyertaan daripada 67 buah Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah dinobatkan sebagai pemenang utama bagi kategori Institusi Terbaik dalam kluster Universiti bagi Majlis Anugerah Utama AKKPT 2025.
Bagi kategori institusi terbaik yang lain, Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) berjaya merangkul gelaran bagi kluster Politeknik, manakala Kolej Komuniti Sungai Petani diumumkan sebagai pemenang bagi kluster Kolej Komuniti.
Kecemerlangan pengurusan turut diiktiraf menerusi kemenangan Prof. Madya Dr. Badrul Isa daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebagai Pengarah Pusat Keusahawanan Terbaik serta Institut Keusahawanan Universiti Malaysia Kelantan (Universiti Malaysia Kelantan Entrepreneurship Institute, UMKEI) bagi kategori Pusat Keusahawanan Terbaik.
Sebanyak 13 kategori telah dipertandingkan merangkumi bidang keusahawanan digital dan inovatif bagi membuktikan keupayaan mahasiswa dalam menguasai teknologi masa hadapan seperti Kecerdasan Buatan (AI) dan Teknologi Mendalam (Deep Tech).
Majlis turut dihadiri Ketua Setiausaha KPT, Dato' Ir. Dr. Haji Aminuddin Hassim; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Encik Ahmad Rizal Adnan; Pengerusi Ikhlas Capital Malaysia, Tan Sri Mohd Nazir Tun Razak; Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia, Rizal Dato' Nainy; serta Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik KPT, Fazidah Mustafa.
- Last updated on .
- Hits: 54
