Akal Budi Nusa: Transformasi IPT Sebagai Ejen Pembina Bangsa

8 April 2026 | Sepang, Selangor
Aspirasi menjadikan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebagai "Brain of the Nation" atau Akal Budi Nusa kini menjadi teras utama dalam memacu kecemerlangan intelektual serta pembangunan karakter bangsa.
Institusi pendidikan tinggi (IPT) tidak lagi memadai sekadar berfungsi secara konvensional, sebaliknya perlu merapatkan jurang antara idealisme akademik dan realiti kehidupan sebenar melalui langkah transformasi yang drastik.
Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Dato’ Dr. Anesee Ibrahim menyatakan bahawa IPT mestilah bergerak sebagai ejen perubahan yang mampu melahirkan graduan berinovasi serta mempunyai minda keusahawanan yang tinggi.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucap tama dalam Program Pengukuhan Hala Tuju Pendidikan Tinggi 2026 dan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 yang akan berlangsung selama dua (2) hari bermula pagi tadi.
KPT kini memberikan tumpuan penuh kepada pelaksanaan 20 Program Signature yang telah digarap bagi memastikan setiap perancangan strategik diterjemahkan kepada tindakan nyata demi generasi akan datang.
Sebanyak tujuh (7) fokus utama dikekalkan bagi tahun 2026 termasuklah antaranya penyediaan bakat terbaik negara, pemerkasaan kewibawaan akademia, serta pemindahan dan perkongsian ilmu untuk menyelesaikan isu industri.
Kementerian turut mensasarkan peningkatan bilangan pelajar antarabangsa sehingga 500,000 orang menjelang tahun 2035 bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab pendidikan global yang unggul.
Aspek tatakelola dan integriti di semua peringkat pengurusan IPT terus diberi penekanan serius bagi memastikan optik Kementerian sentiasa bersih dan berwibawa di mata masyarakat awam.
Pembangunan infrastruktur digital melalui liputan WiFi 100 peratus serta pembinaan asrama pelajar baharu turut menjadi agenda keutamaan bagi menjamin kesejahteraan warga kampus di seluruh negara.
Turut hadir, TKSU (Dasar) KPT, Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Sufian; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Dr. Azlinda Azman; Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr. Shamsuri Abdullah; dan Ketua Pengarah Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Prof. Dr. Harshita Aini Haroon.
- Last updated on .
- Hits: 158
