AI Dalam Pendidikan Mesti Dipandu Nilai Kemanusiaan, Integriti Akademik

AI Dalam Pendidikan Mesti Dipandu Nilai Kemanusiaan, Integriti Akademik
English translation not available for this content.

16 September 2026 | Shah Alam, Selangor

Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pendidikan tinggi perlu sentiasa dipandu visi manusia, pertimbangan profesional, etika dan integriti akademik bagi memastikan kemajuan teknologi benar-benar memberi manfaat kepada pelajar, kata Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim.

Beliau berkata teknologi yang semakin berupaya melaksanakan tugasan secara autonomi tidak seharusnya mengambil alih tujuan utama pendidikan kerana manusia tetap menentukan matlamat, nilai dan arah penggunaannya.

Menurutnya, visi manusia (Human Vision) meletakkan matlamat pendidikan sebagai keutamaan manakala tindakan berasaskan ejen (Agentic Action) pula perlu dilaksanakan berasaskan tanggungjawab dan integriti pendidik supaya penggunaan AI tidak mengabaikan nilai kemanusiaan serta aspek keselamatan.

Sehubungan itu, YBhg. Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin mahu inovasi yang dihasilkan menerusi Majlis Anugerah Inovasi Pembelajaran Digital Politeknik dan Kolej Komuniti Malaysia (eDOLA) diterjemahkan terus kepada amalan pengajaran dan pembelajaran (PdP) bagi menghasilkan peningkatan kompetensi serta kualiti pembelajaran pelajar.

Beliau berkata kejayaan sesuatu inovasi tidak seharusnya diukur berdasarkan kecanggihan teknologi semata-mata sebaliknya berdasarkan keupayaannya memberi kesan nyata kepada kehidupan pelajar dan masyarakat termasuk membuka peluang pendidikan, pekerjaan serta sumber pendapatan.

"Kalau tak sampai kepada rakyat, lupakanlah, kerana kita mahu memastikan apa juga ilmu dan polisi yang dilaksanakan benar-benar memberi faedah kepada rakyat," katanya ketika merasmikan eDOLA 2026 di sini.

Pada masa sama, beliau menggesa warga Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) menjadikan AI sebagai antara bidang kepakaran yang boleh menyerlahkan identiti institusi berkenaan sebagai peneraju pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) negara.

YBhg. Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin berkata POLYCC mempunyai ruang untuk membangunkan kepakaran khusus dalam bidang AI termasuk menerusi Liga AI Berasaskan Ejen POLYCC (POLYCC Agentic AI League), selain memperluas kerjasama dengan industri bagi menyediakan lebih banyak peluang kepada pelajar dan pensyarah meneroka teknologi baharu.

Beliau turut mengingatkan pendidik supaya aspek etika dan tanggungjawab diberi perhatian seiring perkembangan AI kerana teknologi yang sama boleh membawa manfaat besar sekiranya digunakan dengan betul tetapi boleh disalahgunakan sekiranya tidak dipandu nilai yang sewajarnya.

Dalam majlis semalam, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan eDOLA 2026 yang merupakan penganjuran kali ke-14, manakala Kolej Komuniti Arau memenangi kategori EDU Vision, Politeknik Balik Pulau menjuarai kategori TikTok Tutor, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin memenangi kategori Video Kreatif AI dan Politeknik Nilai menjuarai kategori ARIF Teradun.

Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil mikro-kredensial (micro-credential) kepada peserta Palestin menerusi kerjasama POLYCC-Palestine Digital Micro Credential, selain disertai Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Ahmad Rizal Adnan; serta Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Haji Ulaimi Yahya; Pengarah Kanan Akademik Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Haji Muhammad Daud Isa serta Pengarah Kanan Kompetensi Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Zamzam Muhammad Walid.

  • Last updated on .
  • Hits: 23
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Thursday 17 September 2026, 07:31:10.

sirim-logo