Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama strategik antara Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

English translation not available for this content.

Ketika di UTM, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi juga telah menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama strategik antara Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi menambah baik perkhidmatan untuk kebajikan pelajar.
Kerjasama strategik ini bertujuan untuk memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dalam pembudayaan simpanan pendidikan dan pembangunan modal insan kepada warga UTM melalui pelbagai inisiatif seperti program pembangunan penjanaan Endowmen UTM dan promosi produk tabungan dan manfaat melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

Melalui memorandum persefahaman ini, kedua-dua pihak (UTM dan PTPTN) akan beroleh manfaat melalui pembudayaan penabungan SSPN yang akan dapat disemai kepada seluruh warga UTM serta usaha sama dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk mencetus idea baharu bagi meningkatkan kefahaman pelajar terhadap bayaran balik pinjaman dan kepentingan penabungan.

Dalam majlis tersebut, PTPTN diwakili oleh Ketua Eksekutif, En. Ahmad Dasuki Abdul Majid manakala UTM diwakili oleh Naib Canselor, Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail.

Sehingga Januari 2021, PTPTN telah membantu seramai 88,750 pelajar yang ditawarkan melanjutkan pengajian ke UTM melalui pinjaman pendidikan yang diluluskan. PTPTN kini membiayai seramai 5,874 orang pelajar UTM yang sedang aktif.

UTM merupakan Universiti Awam yang pertama memeterai MoU seumpama ini dan skop kerjasama yang menyeluruh ini bakal memberi impak yang positif dan signifikan kepada semua warga UTM.

Dalam majlis yang sama, YB Menteri turut merasmikan Majlis Penyampaian Biasiswa Endowmen UTM kepada 16 orang pelajar cemerlang terpilih bagi sesi 2020/2021.
Mulai tahun 2022, Biasiswa Endowmen ini akan diberikan kepada pelajar UTM dalam bentuk akaun SSPN dan ini akan menggalakkan budaya menabung dalam kalangan pelajar.

Turut hadir dalam program ini ialah YBhg. Dr. Mohd. Zabri Yusoff, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pengajian Tinggi, YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail, Naib Canselor UTM, YBhg. En. Ahmad Dasuki Abdul Majid, Ketua Eksekutif PTPTN, YBrs. Tuan Hj. Hermee Tahir, wakil rasmi Ketua Pegawai Eksekutif Johor Port Berhad, serta pegawai-pegawai kanan KPT, UTM dan PTPTN.

  • Last updated on .
  • Hits: 8526
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 14 June 2024, 19:20:56.