150 Pelajar Tempatan, Antarabangsa Jayakan Program ESG Global Young Leaders Summit 2024 Di Terengganu
Konsep ESG memberi fokus kepada Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (Environmental, Social, and Governance; ESG) dan ia membawa pendekatan yang selari dalam landskap global hari ini.
"Mengimbangi antara aktiviti pembangunan dengan kemampanan alam sekitar serta ekosistem bukan lagi suatu pilihan, sebaliknya ia merupakan keperluan yang mendesak dalam menangani krisis alam sekitar yang kian berleluasa pada hari ini".
Ucap Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud ketika menyempurnakan perasmian Program Global Young Leaders Summit 2024 anjuran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini pagi tadi.
Kira-kira lebih 150 orang mahasiswa tempatan dan antarabangsa telah menyertai program itu dan akan berganding tangan menjalankan beberapa projek kelestarian alam di lokasi strategik sekitar negeri tersebut.
Program bertemakan “Nurturing Future Leaders for Ocean and Environmental Stewardship” yang diadakan selama empat (4) hari sehingga 25 Ogos 2024 itu adalah selaras dengan bidang tujahan UMT juga konsep Malaysia MADANI.
Tambah beliau, ESG ialah satu inisiatif untuk menerajui usaha bersepadu meningkatkan kemampanan melibatkan aspek penting seperti program sosial serta tadbir urus.
Malah, beliau turut menyeru supaya Institusi-institusi Pendidikan Tinggi (IPT) turut serta dalam usaha menjayakan misi dan nilai teras ESG.
Pada akhir program ini, sebuah resolusi akan diangkat kepada kerajaan berhubung isu dan strategi pelaksanaan ESG dalam kalangan generasi muda khususnya di IPT dan ia diharap akan menjadi manifesto generasi muda untuk isu kemampanan yang lebih berkesan pada masa akan datang.
Pada majlis yang sama, beliau telah melancarkan buku baharu hasil garapan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Prof. Dr. Mohd Izani Mohd Zain serta turut melancarkan kempen Sambutan Hari Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 peringkat UMT.
Hadir sama Pengerusi Lembaga UMT, Prof. Dr. Mohamad Salmi Mohd Sohod; serta Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Pendidikan Tinggi, Hirman Awang.
- Last updated on .
- Hits: 737