Madrasah Ramadan Bentuk Disiplin Warga KPT, Tolak Ketirisan Demi Merealisasikan Aspirasi Negara MADANI

Madrasah Ramadan Bentuk Disiplin Warga KPT, Tolak Ketirisan Demi Merealisasikan Aspirasi Negara MADANI
English translation not available for this content.

19 Februari 2026 | Putrajaya

Warga Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyahut gesaan Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim yang menuntut penjawat awam menjadikan madrasah Ramadan sebagai platform menilai dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan.

Perkara itu diungkapkan menerusi sesi Perjumpaan YAB Perdana Menteri bersama Warga Kementerian Dalam Negeri (KDN), yang telah turut disaksikan oleh Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim bersama-sama para pegawai kanan Kementerian secara penstriman langsung dari ibu pejabat KPT, pagi tadi.

Menerusi amanatnya, YAB Perdana Menteri menegaskan bahawa kemajuan sesebuah negara MADANI wajib dipaksikan kepada pembinaan nilai moral dan kemanusiaan, bukan sekadar bersandarkan pembangunan infrastruktur material semata-mata.

Beliau turut mengingatkan pentadbir pendidikan agar berani melaksanakan anjakan paradigma yang drastik memandangkan kerajaan komited menyuntik dana tambahan RM1 bilion tahun ini bagi tujuan reformasi sektor kemahiran.

Menjadikan peperiksaan di peringkat universiti sebagai analogi ukur tara, YAB Dato' Seri Anwar menuntut agar setiap kelemahan dan ketirisan tadbir urus masa lalu diperbaiki sepenuhnya tanpa sebarang kompromi.

Terdahulu dalam majlis anjuran Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu, Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah membentangkan ucapan alu-aluannya.

Sesi perhimpunan yang disiarkan serentak ke semua kementerian itu turut diserikan dengan pengisian tazkirah bertajuk 'Madrasah Islah' oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Haji Ahmad Fawwaz Ali @ Fadzil.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato' Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Timbalan Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah; serta para pegawai kanan KDN. 

  • Last updated on .
  • Hits: 962
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Thursday 09 April 2026, 08:49:04.

sirim-logo