KPT Anjur Program Permukiman Pelaksanaan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026–2035

KPT Anjur Program Permukiman Pelaksanaan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026–2035
English translation not available for this content.

12 Februari 2026 | Kuala Lumpur

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah menganjurkan Program Permukiman Pelaksanaan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 sebagai langkah strategik memperincikan hala tuju serta mekanisme pelaksanaan agenda transformasi pendidikan tinggi negara bagi tempoh sepuluh tahun akan datang.

Program yang berlangsung di Dewan Tun Dr. Ismail, World Trade Centre Kuala Lumpur ini telah dihadiri oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir yang turut menyampaikan ucaptama menekankan kepentingan penyelarasan pelaksanaan RPTM secara bersepadu, berimpak tinggi dan berteraskan pencapaian hasil yang jelas.

Dalam ucaptama tersebut, YB Menteri menegaskan bahawa RPTM 2026–2035 merupakan dokumen strategik yang akan memacu anjakan paradigma pendidikan tinggi negara agar kekal relevan, berdaya saing di peringkat global serta responsif terhadap perubahan landskap ekonomi, teknologi dan keperluan industri masa hadapan.

Permukiman ini menjadi platform penyelarasan dasar dan strategi di peringkat kepimpinan tertinggi kementerian dengan penglibatan agensi serta pemegang taruh utama sektor pendidikan tinggi bagi memastikan penyampaian dasar dilaksanakan secara sistematik, tersusun dan berfokuskan hasil.

Program diteruskan dengan pembentangan Pelan Tindakan 2026–2028 bagi RPTM 2026–2035 yang menggariskan perancangan pelaksanaan inisiatif secara berfasa bagi tempoh pelaksanaan rancangan tersebut.

Selain itu, sesi perkongsian berkaitan aspek penyampaian, pemantauan serta intervensi turut dibentangkan bagi memperkukuh keupayaan pelaksanaan dasar secara lebih strategik dan berkesan.

Penekanan turut diberikan terhadap penggunaan kaedah dan alat pengurusan prestasi yang lebih sistematik bagi memastikan setiap sasaran yang ditetapkan dapat dicapai mengikut tempoh yang dirancang.

Permukiman ini turut berfungsi sebagai medan libat urus strategik yang menghimpunkan kepakaran pelbagai pihak dalam memperincikan pendekatan pelaksanaan yang lebih holistik, mampan dan berpaksikan outcome.

Kementerian akan terus memperkukuh kolaborasi strategik bersama Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), pihak industri serta rakan pembangunan bagi merealisasikan aspirasi RPTM 2026–2035 demi menjamin masa depan pendidikan tinggi negara yang progresif, inklusif dan berdaya tahan.

Turut bersama, Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim dan pengurusan tertinggi kementerian yang lain. 

  • Last updated on .
  • Hits: 928
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Thursday 09 April 2026, 08:49:04.

sirim-logo