1,120 Warga POLYCC Terima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2024

1,120 Warga POLYCC Terima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2024
English translation not available for this content.

Seramai 1,120 pegawai dan kakitangan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) dari seluruh negara hari ini diraikan dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2024 yang berlangsung di Bangi Avenue Convention Centre (BACC) di sini.

Majlis berprestij itu telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud, sebagai tanda penghargaan terhadap dedikasi dan kecemerlangan perkhidmatan warga POLYCC sepanjang tahun lalu.

Dalam ucapannya, YB Datuk Ts. Mustapha menekankan tiga asas utama yang perlu diberi perhatian dalam usaha memposisikan POLYCC sebagai peneraju Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.

Tiga asas tersebut adalah peningkatan jumlah pensyarah sebagai pakar rujuk dalam bidang masing-masing, penerapan teknologi terkini dalam ekosistem pembelajaran POLYCC, serta usaha memastikan graduan POLYCC menjadi pilihan utama industri.

“Peningkatan pensyarah sebagai pakar rujuk amat penting kerana mereka merupakan tulang belakang keberkesanan penyampaian ilmu serta pembangunan kompetensi pelajar. Mereka juga berperanan sebagai agen perubahan sejajar dengan perkembangan teknologi dan keperluan industri,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan penerapan teknologi digital dan simulasi industri sebagai keperluan strategik dalam ekosistem pendidikan POLYCC, selaras dengan tuntutan Revolusi Industri Keempat (IR4.0)

“Apabila graduan POLYCC menjadi pilihan utama industri, ia membuktikan kejayaan kita dalam melahirkan tenaga kerja kompeten, bersedia dan relevan dengan keperluan semasa pasaran,” tambahnya.

Majlis APC ini diadakan sebagai motivasi dan pengiktirafan kepada warga POLYCC yang telah menunjukkan prestasi kerja luar biasa, sekaligus menyumbang kepada kecemerlangan institusi dalam sistem pendidikan tinggi negara.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim, Ketua Pengarah Politeknik dan Kolej Komuniti, Dato’ Dr. Mohd Zahari Ismail dan pengurusan tertinggi Kementerian serta jabatan. 

  • Last updated on .
  • Hits: 124
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Thursday 17 July 2025, 10:34:11.

sirim-logo