Inisiatif Rumah Siswa Memperkasa Pengurusan Pelajar Luar Kampus

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sentiasa komited dan prihatin dalam memastikan aspek kebajikan dan kesejahteraan pelajar luar kampus diberi perhatian yang sewajarnya. Bagi memenuhi hasrat tersebut, KPT telah melancarkan inisiatif Rumah Siswa yang telah disempurnakan oleh YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi hari ini secara dalam talian.

Inisiatif Rumah Siswa melibatkan tiga (3) komponen utama iaitu; Pembangunan Unit Pengurusan Pelajar Luar Kampus; Pembangunan Garis Panduan Pengurusan Pelajar Luar Kampus; dan Portal Rumah Siswa.

Bagi inisiatif Pembangunan Unit Pengurusan Pelajar Luar Kampus, KPT bersama 20 buah Universiti Awam telah mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan Unit Pengurusan Pelajar Luar Kampus (UPLK) yang berperanan sebagai pentadbir, penasihat, khidmat kaunseling perumahan dan pemantau kepada pelaksanaan program serta aktiviti pelajar luar kampus.

Dalam memastikan inisiatif ini berlangsung pada landasan yang tepat, satu garis panduan pengurusan pelajar luar kampus yang komprehensif telah dibangunkan dengan kerjasama Majlis Perumahan Universiti-Universiti Awam Malaysia (MAPUM).

Garis panduan ini dirangka meliputi lima (5) aspek utama iaitu Pembangunan Pelajar Luar Kampus; Perkhidmatan Pelajar Luar Kampus; Pengurusan Kebajikan Pelajar Luar Kampus; Pengurusan Rumah Sewa; dan Jaringan Masyarakat Pelajar Luar Kampus.

Kementerian turut membangunkan Portal Rumah Siswa sebagai panduan kepada mahasiswa untuk mencari rumah sewa di sekitar kampus. Selain itu, portal ini  juga berfungsi untuk memberi khidmat nasihat, memudahcarakan proses pencarian bilik atau rumah sewa serta mengekalkan harga sewa rumah pada kadar yang berpatutan.

Portal ini juga dapat memastikan wujudnya pangkalan data khusus di peringkat universiti berkaitan lokasi penginapan, kemudahan yang diperoleh, jarak terhadap akses kemudahan universiti serta paling penting aspek keselamatan pelajar luar kampus.

Sehingga 16 Februari 2021, sebanyak 1,250 buah rumah di seluruh negara telah didaftarkan di dalam Portal Rumah Siswa ini dan boleh diakses melalui pautan rumahsiswa.mohe.gov.my.

KPT berharap agar pelajar luar kampus mendapat kediaman yang kondusif hasil akses capaian yang mudah dan pantas, selaras hasrat murni Kerajaan untuk menjamin kesejahteraan pelajar di IPT seluruh negara.

 

Kementerian Pengajian Tinggi

4 Mac 2021

 

Cetak Emel