KPT Tubuh Jawatankuasa Tindakan Khas Menangani Masalah Sosial Mahasiswa

 Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah membentuk satu Jawatankuasa Tindakan Khas Menangani Masalah Sosial Mahasiswa yang ditugaskan bagi meneliti dan menangani masalah sosial semasa yang berlaku dalam kalangan mahasiswa. Jawatankuasa khas ini dipengerusikan oleh YB Dato’ Mansor Haji Othman, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dengan keanggotaan yang merentasi beberapa kementerian dan NGO termasuk wakil- wakil pelajar daripada IPT.

Wakil-wakil daripada kementerian yang dilantik untuk menganggotai Jawatankuasa Tindakan Khas ini terdiri daripada YB Dato’ Hajah Siti Zailah Mohd. Yusoff, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; YB Datuk Zahidi Zainul Abidin, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia; dan YB Tuan Ahmad Marzuk bin Shaary, Timbalan Menteri Agama, Jabatan Perdana Menteri.

Jawatankuasa ini turut disertai oleh wakil pelajar iaitu Encik Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri, Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan; Encik Ali Hanifah Amran, Yang Dipertua Universiti Kuala Lumpur; dan Encik Muhammad Nazmi Hakimi Mohd Eirman, Naib Presiden III, Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan.

KPT amat prihatin terhadap pembentukan dan pemerkasaan sahsiah mahasiswa ke arah melahirkan individu yang bertanggungjawab serta prihatin terhadap ketidakseimbangan dalam pembangunan komuniti sejagat.

KPT berharap agar pewujudan jawatankuasa dan jalinan kerjasama antara agensi ini dapat meningkatkan perkembangan sahsiah serta menangani permasalahan sosial mahasiswa secara holistik.

KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI

26 Februari 2021
 

Cetak Emel