Dividen SSPN 4 Peratus Bagi Tahun 2020

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sukacita mengumumkan bahawa agihan dividen Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) bagi tahun 2020 adalah empat (4) peratus. Agihan ini membabitkan anggaran peruntukan berjumlah RM201.3 juta yang akan memberi manfaat kepada 4.82 juta pendeposit akaun SSPN. Ini menjadikan jumlah keseluruhan agihan dividen adalah RM856.6 juta semenjak SSPN diperkenalkan. Agihan ini didorong hasil pulangan bersih pelaburan yang telah dibuat atas deposit yang diterima oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
 
Tahun 2020 juga menyaksikan PTPTN memperoleh keuntungan pelaburan deposit SSPN berjumlah RM237.42 juta. Prestasi tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak RM32.14 juta iaitu 15.7 peratus berbanding RM205.28 juta pada tahun 2019. Kejayaan Ini adalah hasil daripada kecekapan PTPTN dalam pelaksanaan kaedah pelaburan patuh syariah berjangka pendek dan panjang di pasaran wang tempatan yang melindungi prinsipal di samping memberikan pulangan atau keuntungan yang tinggi dan positif.
 
Selain itu, deposit SSPN bagi tahun 2020 yang berjumlah RM1.99 bilion telah mencatatkan rekod baharu tertinggi sepanjang penubuhan PTPTN. Jumlah ini menunjukkan peningkatan sebanyak RM623.82 juta atau 45.6 peratus berbanding RM1.37 bilion pada tahun 2019. Ini menjadikan jumlah keseluruhan deposit SSPN sehingga 31 Disember 2020 adalah RM7.88 bilion.
 
Sementara itu, sebanyak 436,101 akaun baharu SSPN telah berjaya dibuka pada tahun 2020, satu kejayaan yang memberangsangkan berbanding sasaran tahunan sebanyak 400,000 akaun. Sehingga 31 Disember 2020, sebanyak 4.82 juta akaun telah dibuka sejak SSPN diperkenalkan pada tahun 2004.
 
KPT merakamkan ucapan tahniah kepada pengurusan PTPTN atas prestasi cemerlang SSPN bagi tahun 2020 sekali gus dapat memberikan kadar dividen yang sangat kompetitif kepada pendeposit SSPN walaupun dalam keadaan ekonomi yang sukar akibat pandemik COVID-19. Terima kasih juga diucapkan kepada Kementerian Kewangan atas sokongan terhadap pengagihan dividen SSPN ini.
 
PTPTN sebagai tabung pendidikan utama negara amat komited dalam usaha membudayakan penabungan dalam kalangan rakyat Malaysia. KPT sentiasa memberi sokongan padu kepada PTPTN dalam apa juga usaha dan inisiatif murni bagi meningkatkan momentum penabungan SSPN agar dapat mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman pendidikan semata-mata.
 
Pencapaian cemerlang PTPTN ini sewajarnya diberi pujian dalam memartabatkan pembangunan modal insan. Semoga budaya menabung terus subur dalam kalangan masyarakat dan PTPTN terus cemerlang pada tahun 2021 dan tahun-tahun seterusnya sebagai tabung pendidikan utama negara.
 

DATUK SERI DR. NORAINI AHMAD

MENTERI PENGAJIAN TINGGI

 23 Februari 2021

 

Cetak Emel