• Utama
  • Media
  • Kenyataan Media
  • Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) 2021-2025 Naratif Baharu Program Pembangunan Keusahawanan Di IPT

Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) 2021-2025 Naratif Baharu Program Pembangunan Keusahawanan Di IPT

Kementerian Pengajian Tinggi hari ini telah melancarkan Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi (PTK IPT) 2021–2025 dan Panduan Pendidikan Keusahawanan Bersepadu IPT atau MOHE Guide to Entrepreneurship Integrated Education (EIE) bagi mendukung kelestarian agenda keusahawanan di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) serta melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan pelajar dan graduan IPT.
 
Majlis perasmian PTK IPT dan EIE ini telah disempurnakan oleh YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi secara dalam talian.
 
Dalam ucapannya, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata dua dokumen dasar ini merupakan panduan asas yang lebih tuntas dalam mengupayakan ekosistem keusahawanan di IPT termasuklah juga dalam aspek kurikulum. Kedua-duanya saling melengkapi dari aspek strategi dan juga fokus utama yang digariskan.
Pelan Tindakan Keusahawanan IPT 2021 – 2025 bermatlamatkan untuk mentransformasikan landskap keusahawanan di IPT daripada keusahawanan yang berasaskan keperluan kepada yang berasaskan peluang. Tiga (3) teras strategi utama yang digariskan dalam pelan ini ialah:
 
  • Memantapkan ekosistem keusahawanan yang bersinergi dan holistik;
  • Memperkasakan jaringan keusahawanan yang berimpak tinggi; dan
  • Menekankan kepada keusahawanan yang berteraskan inovasi dan teknologi.
Kerangka strategik ini akan membentuk ekosistem keusahawanan yang sinergistik antara keusahawanan, akademik, industri, kerajaan dan komuniti dalam landskap pendidikan tinggi negara.
 
Pelaksanaan ketiga-tiga teras strategi tersebut diterjemahkan melalui buku Panduan Pendidikan Keusahawanan Bersepadu Institusi Pendidikan Tinggi atau EIE yang memberikan penekanan kepada pemantapan kurikulum keusahawanan di IPT melalui enam (6) fokus utama, iaitu:         
 
  • Asas Pengetahuan Dalam Keusahawanan (Fundamental/Basic);
  • Pengetahuan Dalam Keusahawanan Lanjutan (Advanced);
  • Pengetahuan Dalam Bidang Perniagaan (Business Knowledge);
  • Aktiviti Tambahan Kurikulum Keusahawanan (Extra Curriculum);
  • Kemahiran Pembangunan Manusia (Human Development Skills); dan
  • Aperantis Keusahawanan (Entreprenuership Apprentice).
Kedua-dua dokumen ini akan dapat memandu arah pihak IPT dalam melahirkan graduan yang holistik dan seimbang dari aspek ilmu dan akhlak, bercirikan usahawan serta berupaya menjadi pemimpin yang cemerlang pada masa depan. Di samping itu, strategi dan inisiatif yang dirangka turut dapat membantu menggalakkan pelajar IPT menceburi bidang perniagaan selepas bergraduat.
 
KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI
19 Februari 2021
 

Cetak Emel