KENYATAAN MEDIA
BAJET 2023: MENSEJAHTERA PENDIDIKAN TINGGI NEGARA
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menghargai dan menyambut baik Bajet 2023 yang dibentangkan oleh YB Menteri Kewangan pada hari ini dengan tema ‘Keluarga Malaysia, Makmur Bersama’. Bajet 2023 ini mencerminkan komitmen Kerajaan dalam menyokong usaha KPT untuk memacu kesejahteraan pendidikan tinggi.
KPT juga amat berterima kasih atas keprihatinan Kerajaan terhadap pembangunan pendidikan tinggi negara melalui peruntukan keseluruhan yang meningkat sebanyak 4.25 peratus berbanding tahun 2022, iaitu RM15.1 bilion. Ini meliputi RM11.7 bilion bagi Perbelanjaan Mengurus dan RM3.4 bilion bagi Perbelanjaan Pembangunan.
Dalam hubungan ini, KPT komited untuk melaksanakan 17 inisiatif Bajet 2023 yang terkait langsung dan tidak langsung dengan KPT seperti yang berikut:
- Kenaikan pemberian kredit e-Pemula daripada RM150 kepada RM200 secara one-off ke dalam akaun e-dompet belia berusia 18 hingga 20 tahun termasuk pelajar sepenuh masa berusia lebih 21 tahun di IPT melibatkan peruntukan sebanyak RM400 juta;
- Pengecualian bayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua pelajar yang mendapat ijazah sarjana muda kelas pertama;
- Kenaikan kadar pinjaman PTPTN dan penyediaan pinjaman komputer untuk kumpulan M40;
- Pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM8 ribu untuk simpanan bersih tahunan dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional dilanjutkan sehingga 2024;
- Diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN bermula 1 November 2022 hingga 30 April 2023 seperti yang berikut:
- Diskaun 20 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman;
- Diskaun 15 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran; dan
- Diskaun 15 peratus untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau debit terus mengikut jadual;
- Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan peruntukan keseluruhan bernilai RM6.7 bilion, yang antara lain melibatkan:
- Usaha untuk mencapai sasaran sekurang-kurangnya 55 peratus lepasan SPM melanjutkan pengajian dalam bidang TVET menjelang 2025;
- RM180 juta bagi Dana Latihan TVET yang akan memanfaatkan 12,000 pelatih Program Persijilan Kemahiran Malaysia;
- RM20 juta bagi Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) berjumlah yang akan memberikan faedah kepada 3,000 pelatih;
- Penawaran biasiswa dan pinjaman pendidikan dengan peruntukan sehingga RM3.8 bilion;
- Penyediaan kemudahan pendidikan buat anak-anak bumiputera melalui MARA, Yayasan Peneraju dan UiTM yang berjumlah6 bilion;
- Pemberian Insentif Penggajian di bawah PERKESO bagi majikan yang menggaji belia berumur 18 hingga 30 tahun yang menganggur lebih daripada tiga bulan termasuk graduan TVET;
- Pemerkasaan program peningkatan kebolehpasaran graduan melibatkan 9,000 graduan menerusi Dana Inovasi Digital (DIGID) bernilai RM30 juta;
- Pelaksanaan Program Usahawan Siswazah (PUSh) dengan peruntukan sebanyak RM20juta bagi manfaat 1,000 graduan yang menceburi bidang keusahawanan;
- Penyelenggaraan dan menaik taraf kemudahan universiti awam dengan peruntukan RM300 juta;
- Pembudayaan Inisiatif Kampus Hijau Universiti Awam melalui peruntukan sebanyak RM10 juta;
- Pengukuhan jaringan digital universiti awam, politeknik dan kolej komuniti dengan menaik taraf Malaysia Research and Education Network (MyREN) menerusi peruntukan sebanyak RM35 juta;
- Perluasan program Jualan Murah Keluarga Malaysia ke seluruh negara termasuk universiti awam dengan peruntukan RM100 juta;
- Bekerjasama dengan Yayasan ROSE melalui Universiti Malaya dan Universiti Malaysia Sarawak bagi pelaksanaan rintis saringan kanser serviks menggunakan kaedah baharu ujian saringan PCR;dan
- Peruntukan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) bawah Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi sejumlah RM364 juta.
KPT komited membantu Kerajaan mencapai hasrat Bajet 2023. Dalam konteks ini, KPT percaya peruntukan yang diluluskan kepada KPT adalah responsif, bertanggungjawab, serta signifikan kepada bukan sahaja pemegang taruh KPT, malah juga komuniti dan masyarakat, selaras dengan konsep Keluarga Malaysia, Makmur Bersama.
Kementerian Pengajian Tinggi
7 Oktober 2022
Muat Turun:
pdf Kenyataan Media Bajet 2023 Mensejahtera Pendidikan Tinggi Negara.pdf (319 KB)
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 14700