Pergerakan Pelajar IPT Semenanjung - Sarawak Bermula Hari Ini

Pergerakan 575 pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dari Semenanjung ke Negeri Sarawak dan pelajar di Negeri Sarawak ke Semenanjung bermula hari ini.

Bagi pergerakan pelajar Semenanjung ke Negeri Sarawak, seramai 287 orang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bertolak dari Tanjung Malim menaiki 16 buah bas ke Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA). Pelajar telah menaiki pesawat pada jam 10.30 pagi tadi dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada petang ini.

Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, pelajar disambut oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak. Urusan penghantaran pulang pelajar akan dilaksanakan oleh agensi kerajaan yang terlibat manakala sebahagiannya akan dijemput oleh wakil keluarga masing-masing.

Bagi pergerakan pelajar dari Negeri Sarawak ke Semenanjung, seramai 288 orang pelajar dari tiga buah IPT iaitu 284 orang pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), 3 orang pelajar UiTM Samarahan dan 1 orang pelajar Politeknik Kuching akan menaiki pesawat khas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. Setibanya pelajar di KLIA, mereka dibawa menaiki 18 buah bas yang disediakan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) ke kediaman masing-masing di Selangor, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang dan Perak.

Pada hari ini juga berlaku pergerakan lain iaitu pergerakan intra-zon di Zon Tengah dan Zon Perak ke Zon Tengah.

KPT ingin menasihati para pelajar supaya sentiasa menjaga kebersihan diri di sepanjang proses pergerakan pulang ke kampung halaman serta mematuhi arahan  yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa daripada semasa ke semasa.

 

DATO’ DR. NORAINI AHMAD

MENTERI PENGAJIAN TINGGI

1 MEI 2020

Print Email