English translation not available for this content.
logo kpt black

TEKS UCAPAN

YB. DATO' HAJI MOHAMMAD YUSOF BIN APDAL
TIMBALAN MENTERI PENDIDIKAN TINGGI

MAJLIS MENANDATANGANI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN ANTARA KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI DENGAN SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA BAGI KERJASAMA MEMPERKASA PENDAFTARAN PERNIAGAAN BAGI PELAJAR INSTITUSI PENDIDIKAN TINGGI SWASTA

3 OGOS 2023


MUKADIMAH

  1. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya jua, dapat kita bersama-sama pada hari ini di Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Pendidikan Tinggi dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia Kerjasama Memperkasa Pendaftaran Perniagaan Bagi Pelajar Institusi Pendidikan Tinggi.
  1. Pemeteraian MoU pada hari ini melambangkan tekad serta sokongan jitu Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam menjayakan inisiatif keusahawanan pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT) merangkumi universiti awam, institusi pendidikan tinggi swasta, politeknik dan kolej komuniti.
  1. Dalam hubungan ini, saya ingin merakamkan penghargaan kepada Kementerian Perdagangan dan Negeri dan Kos Sara Hidup serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia kerana telah menjemput KPT untuk sama-sama menjalin kerjasama dalam menjayakan inisiatif ini yang sememangnya seiring dengan hasrat KPT dalam membangunkan potensi pelajar.
  2. Selain daripada itu, syabas juga diucapkan kepada semua pihak yang telah bekerja keras dalam memastikan kelancaran majlis kita pada petang ini.

DASAR DAN INISIATIF KEMENTERIAN BERKAITAN KEUSAHAWANAN

Hadirin sekalian,

  1. Dasar dan pelan strategik di peringkat KPT sentiasa menitikberatkan elemen keusahawanan dalam pembangunan pelajar-pelajar IPT.
  1. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 antaranya telah menggariskan hasrat KPT untuk melahirkan graduan holistik, berciri keusahawanan dan seimbang.
  1. Dalam pada masa yang sama, Dasar Pembangunan Keusahawanan untuk Institusi Pendidikan Tinggi (DPK-IPT 2010) yang telah diwujudkan lebih awal oleh KPT pada tahun 2010 juga telah menetapkan objektif yang jelas untuk meningkatkan bilangan graduan yang menceburkan diri dalam bidang keusahawanan setelah tamat pengajian.
  1. Ini disusuli pula dengan Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi 2021-2025 yang mensasarkan matlamat untuk membentuk usahawan siswazah yang kompetitif dan lestari berlandaskan kepada pelaksanaan 3 teras utama iaitu pembentukan Ekosistem Keusahawanan Bersinergi, Kolaborasi Berimpak Tinggi serta Inovasi dan Teknologi dalam Keusahawanan.
  1. Justeru, dalam mendukung hasrat, objektif serta matlamat ini, pelbagai usaha giat dilaksanakan oleh KPT sendiri amnya dan IPT khususnya bagi memberi ilmu dan pendedahan berkaitan keusahawanan kepada pelajar merentasi pelbagai bidang seperti penternakan, pertanian, automotif dan lain-lain lagi.
  1. Program-program keusahawanan ini dilaksanakan bertujuan memberi nilai tambah serta mengukuhkan pengetahuan pelajar sebagai galakan kepada mereka untuk menceburi bidang keusahawanan dan perniagaan yang mampu mencipta peluang pekerjaan dan menjana pendapatan.

FOKUS KEMENTERIAN BAGI TAHUN 2023 DALAM MELAHIRKAN USAHAWAN MAHASISWA

Hadirin sekalian,

  1. Antara fokus utama KPT bagi tahun 2023 dalam memupuk minda keusahawanan serta merangsang aktiviti berbentuk perniagaan di kalangan pelajar adalah melalui pelaksanaan program keusahawanan sosial, pengaktifan koperasi siswa serta galakan terhadap penglibatan pelajar dalam perniagaan kecil di kampus.
  1. Model pelaksanaan yang lebih segar dan baru juga telah diperkenalkan bagi menjamin keberkesanan dan kelangsungan pelaksanaan inisiatif-inisiatif ini. Malahan, dana pembiayaan yang menarik turut disediakan sebagai pemangkin bagi menggalakkan kejayaan pelajar dalam melaksanakan inisiatif. Selain daripada itu, kolaborasi strategik dengan pihak luar juga ditingkatkan.
  1. Dengan sokongan padu daripada pelbagai segi ini, KPT yakin bahawa lebih ramai usahawan pelajar akan dapat dilahirkan dalam masa terdekat.

TAWARAN SKIM PENDAFTARAN PERNIAGAAN PERCUMA (SPPP) BAGI PELAJAR INSTITUSI PENDIDIKAN TINGGI

  1. Justeru, pemerteraian “MoU antara KPT dan SSM dalam Memperkasa Pendaftaran Perniagaan bagi Pelajar IPT” pada hari ini akan lebih melengkapi usaha-usaha sedia ada yang telah dilaksanakan oleh KPT dalam mendorong pelajar untuk menjadi usahawan serta terlibat dalam perniagaan.
  1. Secara khususnya, kerjasama di bawah MoU ini akan melibatkan tawaran kira-kira 116,000 slot pendaftaran perniagaan secara percuma kepada pelajar IPT dengan peruntukan geran berjumlah RM7 juta di bawah Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma (SPPP) oleh SSM.
  1. Sehubungan dengan itu, di kesempatan ini saya ingin menyeru perwakilan-perwakilan pelajar serta pengurusan-pengurusan IPT yang hadir pada hari ini untuk merebut peluang ini serta menguar-uarkannya kepada pelajar di IPT masing-masing.

PENUTUP

  1. Akhir sekali, suka saya kongsikan mengenai inisiatif keusahawanan terkini oleh KPT dengan usahasama industri yang baru dilancarkan oleh Yang Berhormat Menteri Pendidikan Tinggi pada 31 Julai 2023. Program yang dikenali sebagai “MySiswa” ini membuka peluang kepada mahasiswa untuk menjana pendapatan serta terlibat dalam perniagaan melalui jualan simpack dan tambah nilai kredit bagi perkhidmatan telekomunikasi pra bayar serta perolehan pendapatan melalui pengurusan smart vending machine di kampus.
  1. Dengan perkembangan pesat inisiatif-inisiatif keusahawanan pelajar di bawah KPT, sudah semestinya tawaran pendaftaran perniagaan secara percuma oleh SSM menjadi pelengkap serta pemudah cara dalam menggalakkan aktiviti keusahawanan dan perniagaan di kalangan pelajar.
  1. Oleh yang demikian, mewakili pihak KPT, saya sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak KPDN dan SSM di atas peluang kerjasama yang diberikan ini. Harapan saya adalah supaya pelaksanaan MoU ini kelak dapat berjalan dengan lancar tanpa sebarang kesulitan.

Sekian.
Wabillahitaufiq wal hidayah.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih.

Muat Turun:

pdf Teks Ucapan YBTM MoU Bersempena Antara KPT Dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.pdf (188 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 2303
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Tuesday 09 April 2024, 09:42:49.