English translation not available for this content.
logo kpt black

TEKS UCAPAN

YB SENATOR DATO’ DR. AHMAD MASRIZAL MUHAMMAD
TIMBALAN MENTERI PENGAJIAN TINGGI

MAJLIS PELANCARAN INISIATIF MYNEXT

11 OGOS 2022 (KHAMIS) 


  1. Alhamdulillah, dengan izin-Nya, kita dapat bersama-sama di Majlis Pelancaran Platform MyNext anjuran Kementerian Sumber Manusia menerusi Talentcorp pada petang Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada Yang Berhormat Datuk Seri M. Saravanan dan TalentCorp atas usaha dan komitmen tinggi yang ditunjukkan sehingga majlis pelancaran pada hari ini dapat direalisasikan.

(Hubungan KPT – TalentCorp)

Sidang hadirin,

  1. Kerjasama KPT dengan TalentCorp bukan sesuatu yang baharu. Manifestasi kerjasama yang terjalin telah pun bermula pada 16 Oktober 2021 lalu dengan termaterinya Perjanjian Persefahaman antara kedua-dua pihak dalam perkongsian data berkaitan pasaran pekerjaan dan kebolehpasaran graduan. Program Graduate Employability Acceleration Initiative - Solution Focused Career Coaching Programme (GAIN:ASAP) yang melatih dan mentauliah kaunselor-kaunselor kerjaya daripada IPT seluruh negara misalnya, dijayakan hasil kerjasama erat KPT dan Talentcorp. Alhamdulillah, sehingga kini saya difahamkan lebih 63 kaunselor kerjaya telah dilatih dan menawarkan khidmat kaunseling kerjaya kepada pelajar IPT menerusi saluran-saluran tertentu yang disediakan.
  1. Majlis pada petang ini juga merupakan anekdot penting bahawa kerjasama erat ini akan diteruskan lagi melalui pelbagai inisiatif kolaborasi yang dapat memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak. Saya difahamkan platform MyNext, telah diperkenalkan oleh Talentcorp mulai tahun 2017 lagi dengan penawaran modul profiling kerjaya. Sejak itu platform ini telah melalui beberapa penambahbaikan serta tambahan modul yang ditawarkan kepada pengguna seperti intervensi makro melalui kolaborasi industri-akademia atau IAC, penerbitan tahunan Senarai Pekerjaan Kritikal atau Critical Occupations List (MyCOL), National Skills Registry (MyNSR) dan juga modul Program Latihan Industri Berstruktur Nasional atau MySIP. Saya yakin melalui modul-modul yang ditawarkan oleh Platform MyNext ini para pelajar akan dapat memeta kerjaya mereka secara lebih berstruktur dan strategik sejak daripada mula menjejakkan kaki ke IPT.
  1. Kebolehpasaran Graduan memainkan peranan penting sebagai kayu pengukur terhadap kualiti dan keupayaan mereka untuk memenuhi kriteria dan kemahiran sebagai seorang pekerja oleh pihak industri. Dalam hubungan ini, KPT komited untuk berganding bahu bersama KSM dan Talencorp untuk mengoptimumkan sumber bakat pendidikan tinggi sedia ada. Ini penting bagi memacu pembangunan sumber manusia yang bukan sahaja produktif dan berkemahiran-pelbagai (multi-skilled), tetapi berdaya tahan tinggi.
  1. Future of Jobs Report oleh World Economic Forum, melaporkan bahawa lebih daripada 50 peratus pekerja perlu memperoleh kemahiran baharu atau reskilling menjelang tahun 2025, bagi disesuaikan dengan perkembangan teknologi dan keperluan kemahiran masa hadapan. Sehubungan itu, pembangunan platform MyNext ini amat tepat dalam memastikan kualiti bakat yang dilahirkan memiliki kemahiran pembelajaran (learning skills) yang bersifat kalis masa hadapan serta berupaya memenuhi keperluan semasa sektor pekerjaan negara.

Sidang hadirin sekalian,

  1. Majlis pada petang ini juga amat signifikan sebagai manifestasi terhadap kolaborasi strategik Kementerian secara G2G melalui pihak berkaitan iaitu TalentCorp. Sinergi yang terhasil khususnya bersama-sama KSM dalam pembangunan bakat pelajar IPT dan kebolehpasaran graduan adalah selari dengan penekanan yang di aspirasikan melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan (PSKG) 2021-2025 supaya kerjasama strategik berbilang agensi khususnya dalam konteks pembangunan bakat dan kebolehpasaran graduan dapat diperkukuh dan diperkasakan.
  1. “If everyone is moving forward together, then success will take care of itself”. Sesungguhnya, sinergi strategik merentasi kementerian ini adalah penting bagi memudahcara proses peralihan graduan daripada dunia pembelajaran ke dunia pekerjaan sebenar yang penuh dengan cabaran dan tuntutan prestasi ke tahap tertinggi.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

 

  1. Bakat yang berkualiti bagi mengisi sektor tenaga kerja negara amat penting dalam usaha memacu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara. Untuk makluman semua, KPT sebagai Kementerian utama yang berperanan untuk melahirkan lebih 300,000 bakat pelbagai bidang pada setiap tahun bagi memenuhi keperluan tenaga kerja mahir negara, sentiasa melaksanakan langkah-langkah penambahbaikan berterusan terhadap proses pengajaran dan pembelajaran pelajar di IPT supaya graduan yang lahir daripada institusi pengajian tinggi ini berupaya memenuhi keperluan dan tuntutan prestasi kerja yang tinggi daripada pihak industri.
  1. Berdasarkan dapatan Kajian Pengesanan Graduan yang dilaksanakan oleh KPT, trend kadar kebolehpasaran graduan pada lima tahun yang lepas menunjukkan pergerakan positif, dengan peningkatan peratus kebolehpasaran graduan berlaku hampir setiap tahun. Pada tahun 2017 misalnya, kadar kebolehpasaran graduan berada pada tahap 79.1 peratus berbanding 85.5 peratus pada tahun 2021.
  1. Namun usaha berterusan melalui sesi-sesi libat urus untuk mendapatkan maklum balas dan cadangan penambahbaikan terutamanya daripada pihak industri perlu terus dilaksana dan digiatkan. Makanya, saya ingin menyeru kepada pihak industri untuk bersama-sama dengan KPT bagi memperhalusi langkah dan kaedah untuk meningkatkan keupayaan dan kemahiran graduan agar selari dengan keperluan dan tuntutan prestasi kerja oleh industri.
  1. Bakat yang berkualiti tinggi dapat memberikan sumbangan bermakna kepada peningkatan produktiviti organisasi seterusnya menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi yang berasaskan pengetahuan dan inovasi serta menyumbang kepada pembangunan negara.

(KPT & Cabaran Kebolehpasaran Graduan)

Hadirin yang saya muliakan,

  1. Disebabkan expectation tinggi terhadap kualiti graduan yang dilahirkan, KPT telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan kadar kebolehpasaran para graduan, antaranya adalah :
  • membuat semakan dan penambahbaikan kurikulum di IPT secara berkala. Proses semakan semula kurikulum sedia ada dilaksanakan oleh IPT dalam tempoh tiga (3) hingga lima (5) tahun bagi memastikan pelajar yang mengambil bidang berkenaan mempunyai daya saing serta sentiasa terdedah kepada the new realities.
  • meningkatkan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning), Kementerian turut memperkukuhkan Inisiatif seperti program 2u2i yang menawarkan mod pengajian di IPT dan industri, WBL atau Work-Based Learning dan SIP (Structured Internship Programme). Program-program pengajian ini menggabungkan pembelajaran akademik di kelas dan aplikasi pembelajaran di persekitaran pekerjaan sebenar. Ia dapat meningkatkan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) kepada pelajar yang secara efektifnya dapat diperolehi di luar kampus atau di industri.
  • Bagi memastikan kemahiran para graduan berupaya memenuhi keperluan industri, Kementerian turut melaksanakan program latihan kemahiran dan peningkatan kemahiran PENJANA KPT yang dilaksanakan melalui program PENJANA KPT-CAP dan KPT-PACE. Program-program ini menyediakan latihan kemahiran tambahan dan persijilan profesional serta menjamin penempatan pekerjaan kepada peserta di industri melalui Letter of Commitment (LOC) yang dikemukakan oleh pembekal perkhidmatan sebaik sahaja mereka menamatkan latihan; atau melaksanakan perniagaan yang boleh menjana pendapatan kepada mereka. Inisiatif ini telah dimulakan pada tahun 2020 dan diteruskan pada tahun 2022. Sepanjang inisiatif ini dilaksanakan sehingga Jun 2022, sejumlah 31,100 orang graduan menganggur telah berjaya ditempatkan di industri atau menjana pendapatan.
  • Program Intervensi Kebolehpasaran Graduan (GE) juga disediakan bagi memberikan kemahiran tambahan kepada graduan yang dikenal pasti rendah pencapaian akademik mereka melalui Purata Nilai Gred Keseluruhan (CGPA 3 ke bawah) atau daripada program-program pengajian yang rendah kadar kebolehpasarannya (kadar kebolehpasaran 50 peratus ke bawah). Peserta program ini turut dijamin pekerjaan sebaik sahaja mereka menamatkan latihan. Daripada tahun 2020 hingga Jun 2022, sejumlah 2,196 graduan telah berjaya ditempatkan di industri melalui inisiatif ini.
  • KPT juga membangunkan Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2021-2025 sebagai dokumen rujukan utama IPT untuk meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan masing-masing dengan mengambil kira input daripada pelbagai pihak berkepentingan seperti pihak industri, akademia, pembuat dasar dan sebagainya. Pelan ini menggariskan empat strategi, iaitu Pengukuhan Kecemerlangan Bakat; Peluasan Kerjaya Pelajar; Pemantapan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP); dan Pemerkasaan Hubungan Industri. Melalui 13 inisiatif yang dipantau melalui 29 Petunjuk Prestasi Utama yang telah digariskan oleh pelan ini, KPT yakin graduan yang lebih holistik, berdaya saing tinggi dan mapan serta mempunyai kadar kebolehpasaran tinggi dapat dilahirkan.
  1. Saya amat yakin menerusi pendekatan-pendekatan yang telah dilaksanakan oleh KPT, kualiti graduan dapat ditingkatkan serta berupaya memenuhi tuntutan seperti mana yang disuarakan oleh pihak industri.

Hadirin dan hadirat yang saya muliakan,

  1. Sememangnya usaha pembangunan bakat berkemahiran tinggi bukan hanya boleh dilakukan oleh satu pihak sahaja. Tetapi, ia memerlukan paduan tenaga daripada pelbagai pihak untuk menjayakannya.
  1. Semoga dengan pelancaran paltform MyNext pada petang ini akan menjadi sandaran kepada usaha kolaborasi berimpak tinggi yang lebih menyeluruh antara semua pihak dalam meningkatkan kualiti tenaga kerja negara.

Muat Turun:

pdf Teks Ucapan YBM Pelancaran MyNext TalentCorp.pdf (278 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 13932
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Monday 27 May 2024, 18:16:03.