English translation not available for this content.
logo kpt black

TEKS UCAPAN

YANG BERUSAHA TUAN MOHAMAD AZHAN MD. AMIR
TIMBALAN KETUA SETIAUSAHA (PENGURUSAN & PEMBANGUNAN)

MAJLIS ANUGERAH SUKAN 2023

10 JANUARI 2024


Terima kasih Pengacara Majlis,

Bismillahirahmanirrahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Bersih, Muafakat, Sejahtera. Salam Perpaduan. Salam Malaysia Madani

Yang Berbahagia
Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abdul Razak
Pengerusi Lembaga Pengarah UKM

Yang Berbahagia
Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman
Naib Canselor UKM

Yang Berbahagia
Prof. Madya Dr. Mohd Suzeren Md Jamil
Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni
Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk
Majlis Anugerah Sukan 2023

Yang Berbahagia
Dato Dr Pekan Ramli
Timbalan Setiausaha Bahagian,
Seksyen Sukan
Bahagian Perancangan Strategik
Kementerian Pendidikan Tinggi

Yang Berbahagia
Timbalan-Timbalan Naib Canselor

Yang Berbahagia
Dato’ Pendaftar dan Bendahari UKM

Yang Berbahagia
Pegawai Pengurusan Tertinggi UKM

Yang Berbahagia
Datuk Abd. Rashid Dato’ Haji Mohd Sidek
Lagenda Badminton Negara

Yang Berusaha
Encik Mohd Farid Dewan
Menjalankan Tugas Pengarah
Pusat Sukan Universiti

Pegawai-Pegawai Kanan UKM

Para Pengurus, Jurulatih dan Atlet yang diraikan

Serta hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian

1. Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT, kerana dengan limpah kurnia serta keizinan-Nya dapat kita sama-sama berkumpul sempena Majlis Anugerah Sukan Universiti Kebangsaan Malaysia 2023 pada malam ini.

2. Terlebih dahulu saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Pengurusan UKM kerana sudi menjemput saya ke Majlis berprestij seperti ini. Majlis Anugerah Sukan UKM 2023 ini merupakan manifestasi penghargaan dan pengiktirafan kepada para atlet, pengurus, jurulatih serta penggiat sukan di Universiti Kebangsaan Malaysia atas kejayaan, komitmen dan khidmat bakti yang diberikan sepanjang tahun 2023.

3. Semoga pengiktirafan ini akan menjadi obor pembakar semangat kepada semua penggiat sukan di UKM khususnya, dan negara amnya. Saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Pengurusan UKM dan khusus kepada Pusat Sukan Universiti kerana berjaya menganjurkan majlis anugerah seperti ini sebagai satu program tahunan demi meraikan para penggiat sukan terutamanya kepada pelajar dan kakitangan Universiti Kebangsaan Malaysia.

4. Sambutan Majlis Anugerah Sukan 2023 ini juga adalah selari dengan matlamat memberi dorongan dan meningkatkan motivasi kepada para atlet pelajar dan kakitangan UKM serta penggiat sukan agar terus berusaha untuk mencapai kecemerlangan di masa hadapan.

5. Walau bagaimanapun, kecemerlangan ini juga tidak boleh dicapai semata-mata hanya dengan memiliki atlet berbakat, jurulatih dan pengurus berpengalaman serta kemudahan yang sempurna. Tetapi kecemerlangan ini perlu melibatkan perancangan dengan pelaksanaan dasar dan strategi yang menyeluruh, sekaligus menjadi panduan komprehensif ke arah meningkatkan kecemerlangan sukan seiring dengan pembangunan dan kemajuan sukan tanah air.

Hadirin yang dihormati sekalian,

6. Dasar Sukan Negara telah menggariskan dua peranan utama Institusi Pengajian Tinggi (IPT) iaitu menggalakkan pelajar mengambil bahagian dalam aktiviti sukan secara aktif dan menyediakan lebih banyak peluang belajar kepada atlet sukan di IPT.

7. Kedua-dua peranan ini akan memacu ke arah penyelarasan dan keseimbangan dalam prestasi akademik dan pencapaian dalam bidang sukan. Dengan wujudnya peranan ini, ianya mampu menangkis andaian yang menyatakan bahawa pencapaian sukan para atlet akan terkubur sebaik sahaja melanjutkan pengajian di IPT.

8. Bagi merealisasikan Dasar Pembangunan Sukan Institusi Pengajian Tinggi yang mensasarkan sekurang-kurangnya 30 peratus atlet negara lahir daripada atlet IPT, pelbagai langkah dan strategi telah dilaksanakan di peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia. Peranan secara khusus juga telah dijalankan dalam memastikan pelajar IPT yang bergiat aktif dalam bidang sukan mendapat kebajikan dan manfaat daripada penyertaan ini tanpa mengabaikan pembangunan akademik.

9. KPT akan terus memberikan sokongan kepada atlet-atlet IPT untuk memacu kejayaan dalam bidang sukan dengan melantik 7 IPT sebagai Program Kecemerlangan Sukan (PKS) dan 13 Pusat Sukan Tumpuan (PST) membabitkan lebihkurang 11 lagi IPT. Kewujudan PKS dan PST ini telah terbukti membawa kejayaan yang besar dan menepati objektif Dasar Pembangunan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi seperti yang saya sebutkan tadi. DPSIPT yang dilancarkan pada 2009 itu kini dalam proses semakan terakhir untuk kita memperkemaskannya dan insyaallah akan dilancarkan semula sebelum akhir tahun ini.

10. KPT juga sentiasa memastikan kebajikan atlet yang telah menyumbang kepada kejayaan di peringkat negara terjaga kebajikannya dengan baik dengan memberikan mereka yang layak Biasiswa Sukan YB Menteri Pengajian Tinggi - Atlet Cemerlang IPT. Sejak 2006 hingga tahun lalu sejumlah 2052 atlet telah menerima biasiswa ini. KPT percaya bahawa Biasiswa ini juga antara faktor dan nilai tambah kepada kejayaan atlet IPT yang begitu konsisten ketika mewakili kontinjen negara di pelbagai kejohanan antarabangsa.

11. Pada tahun lalu, di Temasya Sukan Universiti Dunia atau Universiade di Chengdu, China, Malaysia telah melakar sejarah apabila negara kita menamatkan kemarau pingat emas negara selama 38 tahun sejak Universiade Kobe, Jepun pada 1985. Atlet Wushu IPT dari Asia Pacific University (APU), Tammy Tan Hui Ling pemegang Biasiswa Sukan IPT sejak 2020 merangkul pingat emas bersejarah untuk negara kita.

12. Tahun 2024 ini, atlet IPT dan kontinjen Universiti Malaysia akan menyertai Temasya Sukan Universiti Asean (AUG) yang akan berlangsung di Surabaya dan Malang, Indonesia pada Jun 2024. Saya berharap kepada atlet-atlet UKM untuk merebut peluang ini untuk terpilih mewakili negara. Pada waktu yang sama saya berharap Kontinjen Universiti Malaysia akan bersiap lebih awal dan bersungguh-sungguh agar kita akan terus mengekalkan kecemerlangan seperti menduduki tempat kedua keseluruhan dengan 49 pingat emas di belakang tuanrumah Thailand sewaktu AUG di Ubon Ratchathani dua tahun lalu.

13. Saya percaya kejayaan cemerlang atlet di peringkat negara tidak akan tercapai tanpa sokongan yang kuat daripada pihak pengurusan universiti.

14. Sesungguhnya, saya percaya pucuk pimpinan Universiti sentiasa prihatin terhadap semua aspek dan dimensi pembangunan sukan di UKM serta akan sentiasa berusaha menambah baik terutamanya dari segi penyediaan kemudahan kepada para atlet untuk menggalakkan lagi penglibatan dan pencapaian mereka dalam sukan yang diceburi.

15. Penglibatan atlet UKM dalam sukan juga mampu melahirkan generasi yang berfikiran matang, mempunyai asas pendidikan cemerlang serta daya tahan fizikal dan mental yang kuat, seterusnya ke arah pembentukan modal insan dengan minda kelas pertama. Kecemerlangan dalam bidang akademik dan sukan atau kokurikulum perlulah seimbang supaya dapat melahirkan atlet UKM yang dinamik dan holistik.

16. Sesungguhnya, kejayaan yang dilakar oleh para atlet UKM bukan sahaja meletakkan UKM di pentas sukan Malaysia, malah juga telah membuka mata peminat sukan mengenai keupayaan atlet UKM yang menjadi aset penting dalam mengharumkan nama di pentas Antarabangsa. Segala kejayaan tidak seharusnya melekakan atlet, tetapi hakikatnya cabaran dan halangan yang lebih hebat di masa hadapan akan dapat dihadapi dengan bijaksana seterusnya menjadikan atlet lebih cemerlang dan terbilang.

17. Dalam keghairahan menuju kejayaan juga, suka saya ingatkan kepada para atlet terutamanya, supaya sentiasa menjauhi perkara - perkara yang boleh memudaratkan diri sendiri mahupun pasukan secara langsung ataupun tidak langsung.

18. Sentiasalah menerapkan nilai integriti dan semangat kesukanan yang tinggi dalam sanubari anda, agar kejayaan yang diperoleh lebih memberi makna kepada diri sendiri, Pasukan, Universiti dan Negara, InsyaAllah.

Yang Berbahagia Prof. Dato’, serta hadirin sekalian,

19. Pastinya majlis pada malam ini memberi makna yang lebih mendalam kepada semua calon-calon penerima anugerah yang kita diraikan sebagai penghargaan di atas pencapaian dalam prestasi sukan yang hebat dan cemerlang sepanjang tahun 2023. Kepada semua penerima anugerah, syabas dan tahniah diucapkan. Semoga pencapaian tersebut dapat menginspirasikan anda untuk terus menyumbangkan khidmat yang lebih cemerlang selepas ini dengan motivasi tinggi dan semangat yang boleh dicontohi.

20. Justeru, sekali lagi syabas dan tahniah saya ucapkan kepada yang bakal menerima anugerah, dan kepada yang tidak menerima anugerah janganlah kecewa tetapi teruskan berusaha menjadi lebih Cemerlang selepas ini. Sebelum mengakhiri ucapan, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak, khususnya Jawatankuasa Induk dan Pelaksana atas inisiatif dan komitmen yang telah diberikan untuk merealisasikan penganjuran majlis ini dengan penuh gilang gemilang.

21. Akhir kata, saya berharap kejayaan ini akan menjadi titik permulaan kepada kita semua untuk terus mengorak langkah dan mencipta kemenangan yang lebih besar pada masa hadapan dan seterusnya menjadi pemangkin kepada atlet-atlet UKM untuk sama-sama memajukan pembangunan sukan UKM ke landasan yang lebih tinggi.

22. Saya berdoa mudah-mudahan Allah SWT akan terus melimpahkan rahmat peliharaan-Nya kepada Universiti Kebangsaan Malaysia, Negeri dan Negara kita yang tercinta ini dengan naungan keamanan, kesejahteraan, kemakmuran dan kecemerlangan, Aamiin Ya Rabbal Aalamin.

Terima Kasih UKM, Sekian. Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Muat Turun:

    pdf (372 KB) pdf 2024-01-10-TEKS-UCAPAN-TKSUPP-MASUKM.pdf (372 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 1319
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Monday 15 April 2024, 21:14:58.