English translation not available for this content.
logo kpt black

TEKS UCAPAN

YBHG. DATO’ SERI ABDUL RAZAK BIN JAAFAR
KETUA SETIAUSAHA

MAJLIS LIBAT URUS SISTEM SARAAN PERKHIDMATAN AWAM
KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI

6 SEPTEMBER 2023


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Salam Sejahtera dan Salam Malaysia MADANI.

SALUTASI

(Disediakan secara berasingan oleh urus setia).

PENDAHULUAN

  1. Terlebih dahulu, marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran dan mengucapkan alhamdulillah ke hadrat Allah SWT, kerana dengan izin-Nya, dapat kita berkumpul pada hari ini, sempena Majlis Libat Urus Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
  1. Sebagaimana yang semua sedia maklum, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ketika berucap dalam Majlis Perhimpunan Hari Pekerja Tahun 2023 pada 1 Mei 2023 yang lalu ada menyebut berkenaan dengan keperluan untuk menambah baik Sistem Saraan Perkhidmatan Awam atau SSPA oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
  1. Perkara ini adalah selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12 di bawah Bab 13, dalam Bidang Keutamaan A, iaitu “Membangunkan Perkhidmatan Awam yang Berprestasi Tinggi”.
  1. Susulan itu, JPA, mulai 23 Julai 2023 yang lalu telah melaksanakan beberapa siri libat urus bersama-sama dengan kementerian serta agensi Kerajaan Persekutuan, yang merangkumi pelbagai kluster, bagi mendapatkan input kepada Kajian Semula SSPA. Usaha ini dilakukan dengan mengambil kira perkembangan semasa dan perubahan dasar sedia ada supaya perkhidmatan awam lebih berprestasi tinggi, dinamik dan berintegriti.
  1. Jadi pada hari ini, merupakan giliran KPT pula, untuk mengadakan libat urus bersama-sama dengan jabatan serta agensi di bawahnya. Walaupun KPT sinonim dengan bidang pendidikan, sesi pada hari ini tidaklah menumpukan kepada Kluster Pendidikan semata-mata kerana di bawah KPT kita ada banyak skim perkhidmatan.
  1. Kalau tak silap saya untuk kluster perkhidmatan pendidikan sahaja kita ada enam (6) skim. Belum termasuk lagi skim-skim perkhidmatan yang lain. Difahamkan ada lebih kurang 159 skim perkhidmatan di bawah KPT. Bukan sedikit.
  1. Makanya, untuk sesi pada hari ini, kita telah menjemput kira-kira 250 orang yang terdiri daripada wakil-wakil Kesatuan Universiti Awam, Kesatuan Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi (PPPT), Wakil Hospital Pengajar, Politeknik dan Kolej Komuniti serta pihak berkepentingan lain yang mewakili skim-skim perkhidmatan di bawah KPT, untuk bersama-sama memberikan input, cadangan dan pandangan untuk menambah baik SSPA.
  1. Terima kasih saya ucapkan kepada semua yang dapat meluangkan masa serta memberikan komitmen untuk hadir ke sesi ini. Sesungguhnya, kehadiran tuan-tuan dan puan-puan menambahkan lagi makna kepada program pada hari ini.
  1. Insya-Allah, maklum balas yang diperoleh daripada sesi ini nanti akan dikumpul dan dipanjangkan kepada pihak JPA sebagai input bagi Kajian Semula Sistem Saraan Perkhidmatan Awam. Ini matlamat kita pada hari ini.

LIBAT URUS KAJIAN SSPA OLEH JPA DAN KLUSTER BERKAITAN

Hadirin yang saya hormati sekalian,

  1. Seperti yang saya sebutkan tadi, sesi libat urus yang diadakan melibatkan beberapa kluster. Untuk itu, JPA telah melantik enam (6) Ketua Setiausaha dari kementerian-kementerian berkaitan untuk mengetuai kluster-kluster, iaitu:
  • Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai Ketua Kluster Kesihatan;
  • Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai Ketua Kluster Pendidikan;
  • Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi selaku Ketua Kluster Sains dan Teknologi;
  • Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri mengetuai Kluster Keselamatan;
  • Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya mengetuai Kluster Teknikal; dan
  • Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi yang akan melihat Kluster Pengurusan.
  1. Jadi untuk KPT, kluster-kluster yang terlibat ialah Kluster Kesihatan, Kluster Pendidikan, Kluster Pengurusan serta Kluster Sains dan Teknologi.
  1. Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM), KPT turut memberikan kerjasama untuk menyelaraskan jemputan sesi townhall yang diadakan oleh JPA, selain membantu membuat hebahan bagi mendapatkan maklum balas serta input secara dalam talian bagi setiap skim perkhidmatan yang terlibat dalam empat (4) kluster ini.
  1. Untuk Kluster Kesihatan, sesi townhall telah pun diadakan pada 31 Julai 2023 manakala bagi Kluster Sains dan Teknologi, Kluster Pendidikan, dan Kluster Pengurusan, sesi townhall telah pun berlangsung pada 1 Ogos 2023.
  1. Suka juga saya maklumkan di sini bahawa skop kajian yang terlibat ada tiga (3), iaitu:
  • Skop pertama: Perjawatan dan Organisasi yang akan menyentuh perkara-perkara seperti struktur perkhidmatan dan skim perkhidmatan;
  • Skop kedua: Gaji dan Elaun yang menumpukan kepada struktur gaji, elaun-elaun dan juga kemudahan; serta
  • Skop ketiga: Pengurusan Bakat yang meliputi perkara-perkara seperti prestasi dan kompetensi, kemajuan kerjaya, ganjaran dan juga isu-isu tatatertib dan penamatan perkhidmatan.
  1. Bagi skop ini, saya serahkan kepada wakil JPA nanti untuk berikan taklimat yang lebih terperinci agar tuan-tuan dan puan-puan lebih jelas lagi dan dapat memberikan cadangan penambahbaikan yang terbaik dan paling penting boleh serta relevan untuk dilaksanakan.

MAJLIS LIBAT URUS SSPA KPT

Hadirin yang saya hormati sekalian,

  1. Kalau ada yang masih ingat, di peringkat KPT, pada tahun 2022, kita pernah melaksanakan Kajian Penambahbaikan Skim Perkhidmatan (Klasifikasi Pendidikan) untuk skim perkhidmatan pendidikan di bawah KPT – mungkin tidak semua yang hadir pada hari ini terlibat, tetapi saya percaya ada yang terlibat secara langsung dengan kajian ini.
  1. Jika boleh saya kongsi di sini sedikit statistik berkenaan dengan kajian tersebut. Jawatankuasa Kerja Kajian Penambahbaikan Skim Perkhidmatan (Klasifikasi Pendidikan) yang sekretariatnya ialah BPSM pada masa itu telah mengesyorkan sebanyak 46 cadangan inisiatif yang merangkumi 19 elemen atau aspek untuk ditambah baik.
  1. Kita telah pun mengemukakan 16 daripada 46 cadangan inisiatif kepada pihak JPA melalui sesi libat urus Kluster Pendidikan pada 1 Ogos 2023 yang lalu. Kita serahkan kepada kepakaran dan kebijaksanaan JPA seterusnya untuk mempertimbangkan dan mencerakinkan cadangan-cadangan yang telah diusulkan. Insya-Allah, yang itu, nanti JPA uruskan.
  1. Kita fokuskan untuk yang hari ini. Untuk makluman semua, Mesyuarat Hala Tuju SSPA yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam pada 11 Ogos 2023 telah mengesyorkan supaya Majlis Libat Urus Kajian SSPA dianjurkan di peringkat kementerian masing-masing bagi mendapatkan input tambahan berkaitan cadangan dan justifikasi penambahbaikan SSPA sedia ada.
  1. Justeru, dalam sesi wacana kita pada hari ini, pihak Kementerian amat mengalu-alukan cadangan penambahbaikan kepada skim perkhidmatan di bawah KPT daripada hadirin sekalian.
  1. Dan macam yang saya sebut pada awal tadi, cadangan serta pandangan yang diutarakan pada hari ini akan dikumpulkan untuk diserahkan kepada pihak JPA. Begitu juga dengan maklum balas yang diterima menerusi platform dalam talian yang disediakan. BPSM, KPT akan selaraskan selanjutnya dengan JPA. Mudah-mudahan akan diambil kira dalam kajian yang sedang dilaksanakan.
  1. Insya-Allah, cadangan-cadangan yang diterima pada hari ini akan memberikan impak yang positif kepada pelaksanaan dasar-dasar perkhidmatan, bukan sahaja di KPT, malah perkhidmatan awam keseluruhannya. Sama-sama kita doakan.

PENUTUP

  1. Sebelum menutup ucapan, sekali lagi saya berterima kasih kepada semua yang dapat hadir ke majlis libat urus pada hari ini, khususnya kepada wakil-wakil Kesatuan Universiti Awam, Kesatuan Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi (PPPT), Wakil Hospital Pengajar, Politeknik dan Kolej Komuniti. Begitu juga kepada wakil dari JPA yang turut bersama-sama kita pada hari ini.
  1. Terima kasih juga kepada BPSM, KPT kerana dapat mengadakan sesi pada hari ini.
  1. Dengan rasa rendah diri, saya memohon untuk meninggalkan majlis selepas ini atas sebab komitmen pada saat akhir yang tidak dapat dielakkan.
  1. Walaupun tanpa kehadiran saya, saya percaya hasil perbincangan melalui sesi libat urus pada hari ini dapat menghasilkan satu inisiatif dan perubahan yang komprehensif kepada sistem saraan perkhidmatan awam terutama bagi sektor pendidikan tinggi.
  1. Insya-Allah, semoga dengan itu juga, akan dapat Membangunkan Perkhidmatan Awam yang Berprestasi Tinggi.
  1. Sama-samalah kita melipatgandakan usaha, mengukuhkan solidariti, mempertingkatkan keyakinan dan kesetiaan demi mencapai matlamat yang telah ditetapkan.

Sekian, terima kasih.

Muat Turun:

pdf Teks Ucapan KSU Majlis Libat Urus Sistem Saraan Perkhidmatan Awam.pdf (159 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 3887
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 17 May 2024, 15:30:11.