English translation not available for this content.
logo kpt black

TEKS UCAPAN

YB. DATO’ SERI MOHAMED KHALED NORDIN
MENTERI PENDIDIKAN TINGGI

SESI TOWNHALL AKTA UNIVERSITI & KOLEJ UNIVERSITI (AUKU) 1971

6 APRIL 2023 (KHAMIS)


Hadirin dan hadirat,

  1. Kementerian Pendidikan Tinggi adalah sebuah kementerian yang kritikal. Tugas dan mandat kementerian ini bukan sahaja memastikan wujudnya kecemerlangan akademik.
  1. Tetapi juga memastikan sektor pendidikan tinggi negara dilengkapi dengan ekosistem yang membantu mendewasakan semua pihak.
  1. Malah, KPT berperanan mewujud dan mempertahankan satu persekitaran dan dasar yang menjamin hubungan baik dan profesional antara Kementerian, IPT-IPT, pelajar, ahli akademik, pihak industri dan semua pemegang taruh yang lain.
  1. Ini kerana, KPT mempunyai tugas dan tanggungjawab kepada masyarakat dan negara. Kementerian ini harus memastikan agenda pendidikan tinggi negara berjalan dengan lancar, berjaya, cemerlang dan harmoni.
  1. Dan seperti yang kita sedia maklum, punca kuasa kepada penubuhan, penutupan, pentadbiran IPT dan hubungannya dengan Kementerian termaktub dalam Akta Universiti & Kolej Universiti 1971 atau ringkasnya AUKU.
  1. Sejak diperkenalkan, AUKU telah menerima pelbagai pandangan dan saranan. Dan kebanyakannya telah kita ambil kira dan jadikan asas untuk meminda AUKU.
  1. Kali terakhir AUKU dipinda adalah pada 2019.
  1. Namun, sekali pun dengan segala pindaan tersebut, AUKU masih menerima beberapa tentangan dan kritikan.
  1. Justeru, sesi pada hari ini adalah sangat penting.
  1. Walau pun sebelum ini sudah banyak sesi libat urus dilakukan, tetapi sesi pada hari ini berbeza.
  1. Ini kerana, ia adalah hasil daripada komitmen Menteri dan Timbalan Menteri yang dinyatakan secara terbuka di Parlimen.
  1. Jadi, ia bukan satu sesi yang kita lakukan secara sambil lewa dan sekadar ingin melengkapkan proses.
  1. Sebaliknya ini adalah sesi yang kita janjikan secara bersungguh-sungguh dengan iltizam untuk mencari jalan penambahbaikan terbaik.
  1. Selain pihak Kementerian, saya secara peribadi ingin mendengar sendiri pandangan, pendirian serta saranan semua pihak berhubung AUKU.
  1. Apakah kekurangan dan kelemahannya dan bagaimana semua itu dapat kita tambah baik dengan cara paling munasabah dan bermanfaat kepada semua.
  1. Di pihak kementerian, sudah pastilah kita mempunyai pandangan dan pendirian tersendiri.
  1. Kementerian percaya, akta yang menyediakan punca kuasa kepada hubungan dan akauntabiliti Kerajaan dan IPT, yang mendefinisikan peranan dan tanggungjawab masing-masing harus kekal.
  1. Sebab itulah di pihak Kementerian, seperti yang saya dan YB Timbalan Menteri sebutkan dalam beberapa sesi perbahasan dan jawapan lisan di Parlimen baru-baru ini, kita berpandangan AUKU adalah sebuah akta yang masih relevan. Namun ini tidak menafikan ia memerlukan beberapa pindaan dan penambahbaikan.
  1. Akan tetapi, itu adalah pendirian pihak Kementerian.
  1. Hari ini, kita mahu meraikan perspektif setiap pemegang taruh, dan hujah-hujah yang mendasarinya.

Saudara dan saudari,

  1. Secara asasnya, terdapat sekurang-kurangnya 3 pandangan yang berbeza berkenaan AUKU.
  1. Pertama, AUKU wajar dikekalkan dengan beberapa pindaan dan penambahbaikan.
  1. Kedua, AUKU wajar dikekalkan dengan pindaan dan pertukaran nama.
  1. Ketiga, AUKU digantikan sepenuhnya dengan satu akta baharu.
  1. Biar apa pun pandangan dan pendirian yang dizahirkan pada hari ini, saya memberi jaminan kepada semua yang hadir mahupun yang mengikuti sesi ini secara atas talian, bahawa kalian bebas mengemukakan pandangan dan pendirian masing-masing.
  1. Pihak Kementerian akan memberikan perhatian dan pertimbangan yang selayaknya kepada pandangan-pandangan yang diberikan oleh semua pihak.
  1. Saya harap sesi ini akan membuahkan hasil yang produktif, konstruktif dan transformatif.
  1. Pada akhirnya, kita semua mahukan yang terbaik untuk sektor pendidikan tinggi negara.
  1. Terima kasih sekali lagi kepada semua yang hadir dan meluangkan masa untuk menjayakan dalam sesi Libat Urus ini.

Muat Turun:

pdf Teks Ucapan YB Menteri Pendidikan Tinggi Sesi Townhall AUKU.pdf (90 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 6792
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 19 April 2024, 16:56:01.