English translation not available for this content.
logo kpt black

TEKS UCAPAN

YB DATUK SERI DR. NORAINI AHMAD
MENTERI PENGAJIAN TINGGI

SEMINAR PENGANTARABANGSAAN PENDIDIKAN TINGGI 2022 (SPPT 2022)
“MELONJAKKAN ASPIRASI PENGANTARABANGSAAN PENDIDIKAN TINGGI YANG MAMPAN”

29 SEPTEMBER 2022


PEMBUKA BICARA

  1. Terlebih dahulu, marilah kita merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT, kerana dengan izin-Nya, kita dapat bersama-sama di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ini, sempena Seminar Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi 2022.
  1. Tahniah saya ucapkan kepada Bahagian Education Malaysia, Jabatan Pendidikan Tinggi dan juga Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), selaku penganjur bersama, atas inisiatif mengadakan sesi wacana ini.
  1. Saya percaya seminar ini merupakan antara langkah signifikan dalam menyediakan pentas diskusi pintar kepada para penyelidik, akademia dan juga pakar di IPT dalam dan luar negara, khususnya dalam membicarakan tema utama seminar, iaitu “Melonjakkan Aspirasi Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi Yang Mampan”.

 

PENDIDIKAN TINGGI MALAYSIA DI PENTAS GLOBAL

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,

  1. Semua pastinya sudah maklum bahawa dalam memposisikan jenama pendidikan tinggi di peringkat global, penarafan oleh badan antarabangsa seperti THE(Times Higher Education) dan QS (Quacquarelli Symonds) merupakan antara indikator yang sangat sinonim digunakan.
  1. Misalnya dalam QS World University Rankings (WUR) 2023, yang diumumkan pada Jun 2022 yang lalu, pencapaian beberapa buah universiti di negara ini telah mengukuhkan lagi jenama pendidikan tinggi Malaysia di persada dunia.
  1. Antara yang boleh saya sebutkan di sini adalah pencapaian cemerlang Universiti Malaya (UM) mengekalkan kedudukan di 100 universiti teratas dunia dengan berada di tangga ke-70.
  1. Begitu juga lakaran sejarah penyertaan baharu dua (2) universiti, iaitu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). Ini tidak termasuk lagi pencapaian 21 buah universiti lain yang turut berjaya menempa nama dalam ranking terkemuka penarafan universiti global ini.
  1. Untuk rekod, seramai 131,255 pelajar antarabangsa yang berdaftar dengan IPT di seluruh negara buat masa ini. Dan bagi mencapai sasaran untuk menghasilkan seramai 250,000 orang pelajar antarabangsa menjelang tahun 2025, ia memerlukan usaha yang lebih giat untuk kita sama-sama laksanakan.
  1. Perkara ini tidak mustahil untuk dicapai berdasarkan trend permohonan pelajar antarabangsa yang telah kembali menunjukkan peningkatan positif sehingga 32 peratus pada tahun 2021.
  1. Bahkan, dengan kedudukan Kuala Lumpur di tangga ke-28 daripada 140 buah bandar utama yang dinilai dalam penarafan penarafan QS Best Student Cities 2023, di samping kekal berada di kedudukan lima (5) bandar utama dunia sebagai “Most Affordable City for Students” untuk tahun 2023, saya percaya, ia boleh meningkatkan lagi keyakinan dan kepercayaan pelajar antarabangsa untuk melanjutkan pengajian di Malaysia.

 

PENGANTARABANGSAAN PENDIDIKAN TINGGI MALAYSIA

  1. Justeru, tindakan intervensi yang strategik dan menyeluruh adalah perlu. Bukan sahaja melibatkan KPT serta Jabatan dan Agensi di bawahnya, tetapi juga memerlukan komitmen rakan-rakan strategik yang lain. Ini termasuklah Kementerian Dalam Negeri; Kementerian Luar Negeri; Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; Jabatan Imigresen Malaysia; Tourism Malaysia dan juga EMGS.
  1. Perencanaan pelan, penggubalan dasar serta penentuan strategi berkesan yang merentasi kementerian hendaklah seiring agar segala inisiatif yang dilaksanakan berada pada landasan yang betul. Tenaga semua pihak perlu digembleng untuk menambah baik pertumbuhan pelajar dan staf antarabangsa di samping meningkatkan mobiliti inbound dan outbound. Aktiviti promosi dan kerjasama strategik juga perlu dipertingkatkan.

 

SEMINAR PENGANTARABANGSAAN PENDIDIKAN TINGGI 2022

  1. Dalam hal ini, pemilihan tema seminar – “Melonjakkan Aspirasi Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi Yang Mampan” – adalah sangat tepat dan relevan.
  1. Ini diperkukuhkan lagi dengan tiga (3) subtema yang dibincangkan, iaitu Memperkaya Pengalaman Pelajar Antarabangsa; Meningkatkan Strategi Pemasaran dan Promosi; dan Memperkukuh Kerjasama Antarabangsa dalam Pendidikan Tinggi.
  1. Saya percaya, platform wacana ini akan memberikan lembaran baharu kepada usaha-usaha pengantarabangsaan pendidikan tinggi di Malaysia. Apatah lagi apabila seminar ini turut mendapat penyertaan pembentang kertas kerja dari IPT luar negara. Saya juga sangat yakin, dengan adunan 43 keseluruhan kertas kerja yang dibentangkan, akan memberikan input serta hasil rujukan terbaik untuk semua pihak. “The more, the merrier.” Insya-Allah!

 

PELANCARAN BUKU GARIS PANDUAN AMALAN TERBAIK PENGURUSAN PELAJAR ANTARABANGSA MALAYSIA DAN GARIS PANDUAN PELAKSANAAN PROGRAM MOBILITI DI IPT MALAYSIA

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,

  1. Pada hari ini juga, kita bakal menyaksikan pelancaran dua (2) buah buku garis panduan, iaitu Garis Panduan Amalan Terbaik Pengurusan Pelajar untuk Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia dan Garis Panduan Pelaksanaan Program Mobiliti (Inbound) di IPT Malaysia. Penghasilan kedua-dua buah garis panduan ini sebenarnya adalah bertitik tolak daripada inisiatif untuk menambah baik pengurusan pelajar antarabangsa di Malaysia.
  1. Garis Panduan Amalan Terbaik Pengurusan Pelajar Antarabangsa untuk IPT Malaysia misalnya, dibangunkan sebagai rujukan dan panduan untuk meningkatkan keupayaan IPT selaku hos pelajar antarabangsa. Dalam garis panduan ini, kita himpunkan analisis laporan, input serta perkongsian yang diperoleh daripada program libat urus dan sesi bengkel bersama rakan-rakan strategik kita berkenaan dengan amalan terbaik dalam pengurusan pelajar antarabangsa.
  1. Sementara Garis Panduan Pelaksanaan Program Mobiliti (Inbound) pula adalah bertujuan untuk menyelaras pelaksanaan dan prosedur terkini bagi memantapkan program mobiliti yang dilaksanakan di IPT Malaysia.
  1. Jadi, terima kasih kepada Bahagian Education Malaysia, Jabatan Pendidikan Tinggi yang telah bertungkus-lumus menyedia dan menyelaras pembangunan kedua-dua buah garis panduan ini.
  1. Ucapan terima kasih juga diucapkan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dalam pembikinan garis panduan ini.
  1. Ini termasuklah kesemua 20 Universiti Awam, wakil dari IPTS serta wakil dari Kementerian dan Agensi yang berkaitan seperti Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Jabatan Imigresen Malaysia, Tourism Malaysia serta EMGS. Terima kasih semuanya!
  1. Menjadi harapan saya agar dengan adanya kedua-dua buah garis panduan ini, IPT di Malaysia akan lebih berdaya saing dan sentiasa proaktif dalam memastikan agenda melonjakkan aspirasi pengantarabangsaan pendidikan tinggi negara sebagai hab pendidikan tinggi di peringkat global dapat dicapai.

 

PENUTUP BICARA

  1. Insya-Allah, KPT akan terus komited memacu agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi di Malaysia, seterusnya menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara.
  1. Dengan lafaz yang mulia Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Seminar Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi 2022.

Sekian, wabillahi taufiq wal hidayah, wassalamu’alaikum warahmatullahi wa barakatuh.

Muat Turun:

  pdf Teks Ucapan YBM Sempena Seminar Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi 2022 (SPPT 2022) “Melonjakkan Aspirasi Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi Yang Mampan”.pdf (524 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 13743
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 19 April 2024, 16:56:01.