English translation not available for this content.
logo kpt black

TEKS UCAPAN

YB DATO’ SERI MOHAMED KHALED BIN NORDIN
MENTERI PENDIDIKAN TINGGI

PERSIDANGAN PASARAN KERJA GRADUAN 2023

1 NOVEMBER 2023


Bismillahirrahmannirrahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Malaysia Madani.

(SALUTASI)

(Senarai salutasi akan disediakan secara berasingan)

MUKADIMAH

  1. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya, kita diberikan kesempatan menghadiri Persidangan Dinamik Pasaran Kerja Graduan 2023 pada hari ini.
  1. Tahniah saya ucapkan kepada Bahagian Perancangan Strategik (BPS) selaku sekretariat utama dan juga Universiti Putra Malaysia (UPM) selaku penyelaras bersama, atas inisiatif mengadakan persidangan ini.
  1. Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) turut mengalu-alukan kehadiran pihak industri ke Persidangan hari ini. Keberadaan semua pada hari ini adalah bukti komitmen dan sokongan kepada kecemerlangan pendidikan tinggi negara kita.
  1. Kita mesti sedar satu perkara, sektor pendidikan tinggi negara adalah satu sektor yang mempunyai pelbagai pemegang taruh. Dan pihak industri adalah salah satu daripada pemegang taruh yang penting.
  1. Kolaborasi dan kerjasama antara pihak industri dengan institusi pendidikan tinggi sudah menjadi satu kemestian dan bukan lagi pilihan. Terutamanya dalam memberi peluang yang lebih luas kepada siswa dan graduan kita.
  1. Saya percaya, persidangan yang dianjurkan pada hari ini merupakan langkah yang signifikan dalam menyediakan pentas perbincangan pintar dalam kalangan akademia, pakar di IPT dan juga para industri, khususnya dalam membicarakan tema utama persidangan, iaitu Mendepani Pasaran Kerja Masa Hadapan.

LANDSKAP    PEKERJAAN    MASA    HADAPAN    BERDASARKAN LAPORAN WORLD ECONOMIC FORUM

Hadirin sekalian,

  1. Laporan World Economic Forum ada memberi penekanan terhadap landskap pekerjaan masa hadapan yang dipengaruhi faktor-faktor yang dinamik dan kompleks.
  1. Berdasarkan kajian trend pada tahun 2023, ekonomi, kesihatan dan geopolitik telah memberi pengaruh besar dalam pembentukan pasaran buruh global.
  1. Keadaan ini memberi implikasi besar khususnya kepada negara yang berpendapatan sederhana dan rendah dalam menyusun strategi memenuhi kehendak pasaran yang tidak menentu.
  1. Dalam konteks pendidikan, pekerjaan masa hadapan sangat berkait rapat dengan sistem pendidikan negara selaku pemeganga mandat utama dalam melatih bakat terbaik negara.
  1. Namun persoalan utamanya, apakah yang sedang kita rencanakan pada hari ini bagi mendepani dengan kehendak dan keperluan pasaran kerja masa hadapan?
  1. Maka di pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), sudah pastilah kita tidak akan melihat sahaja perkembangan dan kepesatan kemajuan di luar sana tanpa berbuat apa-apa secara signifikan.
  1. Saban tahun kementerian akan terus menggandakan usaha berhubung perkara ini.
  1. Ia merangkumi pelbagai inisiatif dan strategi bagi memastikan kualiti graduan yang kita lahirkan adalah seiring dengan tuntutan pasaran kerja sekali gus dapat mengurangkan insiden pengangguran dan underemployment.
  1. Terdapat beberapa strategi yang menjadi fokus kita dalam hal ini.
  1. Pertama, semakan berkala kandungan dan kualiti pengajian.
  1. Proses semakan ini adalah kritikal bagi memastikan kurikulum yang ditawarkan adalah relevan, terkini serta selaras dengan kemajuan teknologi IR4.0.
  1. Yang baik kita kelakan dan tambah Yang sudah tidak relevan akan ditinggalkan dan digantikan dengan program yang lebih terkini dan bersesuaian.
  1. Kedua, merancakkan kerjasama erat dengan industri.
  1. Kita tidak mahu lagi sekadar duduk dan berbincang secara permukaan. Sebaliknya, fokus Kementerian adalah untuk benar- benar melibatkan pihak industri secara intensif dan langsung.
  1. Sebab itu hari ini kita mempunyai pelbagai mod pengajian yang dilakukan bersama-sama dengan pihak industri.
  1. Program pengajian mod 2u2i misalnya.
  1. Ia adalah satu kaedah pembelajaran berasaskan pekerjaan (work based learning) yang menggabungkan pembelajaran akademik di dalam kampus dengan sekurang-kurangnya 1 hingga 2 tahun latihan penuh di dalam industri.
  1. Strategi ini diperkemas dengan pelaksanaan pendekatan bukan akademik yang lain seperti Industry@University, CEO@Faculty, Employability Advisory Committee, dan juga Industry Advisory Council.
  1. Selain daripada itu, sektor pendidikan tinggi kini akan turut menerjah masuk ke dalam persekitaran industri.
  1. Kita akan bukan sahaja membawa pelajar dan bakat yang kita ada untuk terus dilatih dan dibangunkan secara bersama oleh Malah, kita akan memberi fokus dan menyusun strategi dengan melihat sesuatu bidang atau industri secara khusus dan terperinci.
  1. Universiti Sains Malaysia (USM) misalnya telah memulakan projek rintis bagi penubuhan Inkubator Penyelidikan dan Serap Industri, KPT (MOHE Research and Industry-Infused Incubator, MRI3) bagi pembangunan bakat ‘industry-ready talent’ untuk sektor Elektrik dan Elektronik (E&E).
  1. Kaedah ini lebih berfokus, bersasar dan terus menjawab keperluan industri secara langsung. Malah, ia adalah satu strategi yang menjadikan gaji premium sebagai ukuran, dan bukannya sekadar keupayaan mendapat pekerjaan atau employeability.
  1. Malah, pada hari ini juga, kita dapat menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara KPT dan SIRIM merangkumi pelbagai program termasuk TVET, perkhidmatan perundingan, pensijilan kualiti dan pengiktirafan yang berkaitan.
  1. Kesemua ini seharusnya menggambarkan dengan jelas, pendekatan dan fokus Kementerian dalam meningkatkan nilai dan kebolehpasaran graduan kita.
  1. Ketiga, kerjasama rentas kementerian dan agensi.
  1. KPT sedar bahawa setiap satu kementerian dan agensi harus dilibatkan secara bersama-sama dalam memastikan graduan yang kita lahirkan adalah berkualiti dan mandiri.
  1. Jadi, KPT akan terus mencari jalan terbaik untuk menggembleng sumber dan kekuatan pada setiap kementerian dan agensi lain. Agar satu ekosistem yang menyokong graduan berkualiti dapat dibentuk secara strategik.
  1. Dan strategi keempat dan yang terakhir, memantapkan platform yang berupaya memadankan industri dan graduan.
  1. Melalui kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), KPT mempergiat usaha mengenal pasti keperluan industri pada masa hadapan selaras dengan keperluan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (New Industrial Master Plan - NIMP 2030).
  1. Antara inisiatif berfokus yang dilakukan adalah mengusahakan pemadanan pekerjaan bagi graduan yang berpotensi untuk diserap ke dalam industri.
  1. Ini termasuklah mewujudkan satu platform digital iaitu Graduate Employability Management (GEM) yang membolehkan pengguna, terutamanya graduan di bawah KPT memohon peluang latihan amali dan pekerjaan serta memudahkan pihak industri untuk mengenal pasti graduan yang memenuhi kriteria serta keperluan yang dicari untuk ditawarkan peluang pekerjaan.
  1. Selain menjadi platform yang memadankan sisi penawaran dengan permintaan, platform ini akan menumpukan kepada industri berimpak tinggi supaya isu underemployment dapat dikurangkan.

PERSIDANGAN PASARAN KERJA GRADUAN 2023

 Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

  1. Saya sedar bahawa terdapat banyak lagi aspek yang mesti diberikan perhatian dalam konteks meningkatkan kualiti dan kebolehpasaran graduan. 
  1. Bagi KPT, kita mahu memberi penekanan dalam memastikan siswa dan graduan kita memperoleh latihan yang terbaik dan seterusnya mendapat gaji premium apabila melangkah ke pasaran kerja.
  1. Fokus KPT kini bukan lagi dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan. Sebaliknya menyasarkan kepada peningkatan peratusan graduan memperoleh ‘gaji premium’.
  1. Malah, fokus kita turut terarah kepada merancakkan hubungan industri dan melaksanakan langkah-langkah yang lebih bersifat spesifik dan strategik bagi memastikan graduan yang bakal dilahirkan memiliki kemampuan dan bercirikan industri tersedia (industry ready).
  1. Paling penting, semua ini tidak seharusnya menjadi isu yang dibincangkan secara sehala menggunakan kerangka yang lama dan sama.
  1. Oleh itu, saya harap persidangan ini akan dapat membincangkan semua perkara ini secara kritikal dan memberikan perspektif baharu dan segar.
  1. Kementerian, malah negara, memerlukan saranan yang bernas dan berupaya memecahkan pelbagai kemelut dan dilema graduan dalam negara kita.
  1. Jadi saya harap kita akan dapat bersama-sama mengumpulkan dapatan dan saranan berimpak tinggi daripada persidangan ini, insya-Allah.

PENUTUP

  1. Saya ucapkan selamat bersidang kepada semua. Dan semoga usaha kita ini akan membuahkan hasil yang terbaik dan dipermudah Allah SWT. 
  1. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim,    saya    dengan    ini merasmikan Persidangan Pasaran Kerja Graduan 2023.
  1. Terima kasih.

Muat Turun:

pdf Teks Ucapan YBM Sempena Persidangan Pasaran Kerja Graduan.pdf (257 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 9572
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Saturday 24 February 2024, 09:25:25.