English translation not available for this content.
logo kpt black

TEKS UCAPAN

YB. DATO’ SERI MOHAMED KHALED NORDIN
MENTERI PENDIDIKAN TINGGI

PERSIDANGAN KETERJAMINAN MAKANAN KEBANGSAAN 2023

15 OGOS 2023


Hadirin dan hadirat, para pakar ahli persidangan yang saya hormati,

  1. Kita semua akui bahawa keterjaminan makanan adalah satu perkara yang sangat kritikal.
  1. Isu keterjaminan makanan dan kemerosotan hasil pertanian adalah fenomena dunia. Ia adalah masalah besar dan rancak dibincangkan oleh banyak pihak.
  1. Malah, di peringkat global, isu keterjaminan makanan menjadi topik yang mengisi hampir semua forum ekonomi dan kesejahteraan hidup.
  1. Biar daripada perspektif mana sekali pun, sama ada politik, akademik, industri mahu pun dimensi alam sekitar dan kemanusiaan, keterjaminan bekalan makanan dan pertanian yang mapan sentiasa menjadi isu besar.
  1. Selain menerimanya sebagai isu besar, yang mesti turut kita akui dan insafkan, masalah ini sebenarnya bukan masalah baharu.
  1. Isu ini sudah dibahaskan sejak sekian lama. Pelaburan serta peruntukan yang kita berikan di peringkat Kerajaan Pusat juga bukan sedikit.
  1. Malah, dalam konteks Malaysia, kita pernah mengkhususkan Universiti Putra Malaysia ini sebagai universiti pertanian. Universiti yang kita bangunkan dengan mandat, fokus dan harapan untuk memberi segala pencerahan dan membina kepakaran dalam pertanian.
  1. Universiti yang disokong untuk mengambil segenap inisiatif bagi memusatkan segala sumber, dengan tujuan memberi nilai tambah pada sektor pertanian dan penghasilan makanan di negara kita.
  1. Namun, hari ini, kita sekali lagi berada di sini. Masih membincangkan isu yang sama. Dengan persoalan yang sama. Dengan cabaran yang sama. Malah, dengan khalayak yang hampir sama.
  1. Jadi, adalah menjadi harapan saya, agar pada akhir persidangan ini, janganlah kita masih dengan dapatan dan saranan yang juga sama.
  1. Ini kerana, isu keterjaminan makanan sudah merentas dan mengheret bersamanya pelbagai faktor dan punca.
  1. Misalnya, kerancakan teknologi pertanian, kemerosotan minat dari masyarakat dan kumpulan industri untuk menjadikan sektor ini sebagai perniagaan yang penting, perubahan iklim, pertumbuhan populasi dan segala macam aspek geopolitik yang rumit.
  1. Namun begitu, sekalipun saya akui dan menerima akan kerumitan ekoran perubahan konteks dan kedinamikan tersebut, tetapi, persoalan besarnya kekal sama.
  1. Bagaimana kita harus memacu dan memberi nilai tambah dalam aspek keterjaminan makanan dan pertanian mapan?
  1. Dengan segala sumber, sokongan dan dukungan yang telah kita laburkan, mengapa kita seakan masih terperangkap dengan kelemahan dan kekurangan yang sama?
  1. What went wrong? Why are we not able to provide effective solutions to this?
  1. Dalam konteks pendidikan tinggi, kita mesti bertanya, mengapa universiti-universiti kita tidak berupaya menampilkan penyelesaian yang berkesan dalam hal ini? Di mana silapnya?
  1. Adakah wujud kekurangan dalam aspek sumber dan sokongan? Atau dasar kita tidak ampuh, tidak mesra pelabur atau tidak praktikal sehingga gagal menarik minat golongan industri?
  1. Mengapa kita masih tidak berupaya melatih dan melahirkan ramai petani moden dan pengusaha industri penghasilan makanan yang berupaya menampung permintaan dan keperluan negara?
  1. Ke manakah segala hasil kajian, penyelidikan dan inovasi yang selama ini kita lakukan?
  1. Pada saya, ini adalah persoalan-persoalan asas yang ligat bermain dalam fikiran bukan sahaja penggubal polisi dan pemimpin negara, malah dalam pemikiran orang awam.
  1. Jadi, bagi pihak Kementerian Pendidikan Tinggi, dan selaku anggota Kerajaan Perpaduan, hari ini saya ingin mengajukan segala persoalan asas dan besar ini kepada tuan-tuan dan puan-puan semua.
  1. Tuan-tuan dan puan-puan ahli persidangan hari ini adalah kelompok bijak pandai yang mempunyai pengetahuan, kemahiran dan pengalaman dalam bidang ini.
  1. Gunakanlah kesempatan dan ruang ini untuk mengajukan segala persoalan besar yang akhirnya boleh membawa perubahan yang nyata dan bermakna.
  1. Bebaskan diri kita dari segala teori akademik dan pendekatan yang tidak produktif.
  1. Carilah mekanisme atau jalan baharu yang radikal, yang praktikal dan yang boleh benar-benar membawa perubahan.
  1. Saya melihat persidangan ini bukan sebagai satu gelanggang pertembungan akademik.
  1. Sebaliknya, persidangan ini sebetulnya adalah satu Projek Negara.
  1. Projek berkepentingan nasional yang mesti dijayakan dengan sebaik mungkin, menggunakan segala kekuatan yang kita ada.
  1. Dan atas dasar itu, izinkan saya untuk membuat beberapa permintaan. Permintaan yang saya anggap kritikal namun kena pada masanya dan sesuai dengan forum ini.
  1. Saya mohon agar, pada akhir persidangan ini, tuan-tuan dan puan-puan boleh mengemukakan, apakah 5 idea besar yang bersifat game changers, dalam isu keterjaminan makanan dan kecukupan bekalan di negara kita.
  1. Game changers ini harus mempunyai beberapa ciri.
  1. Pertama, ia mesti terdiri daripada rangkaian idea besar yang menyentuh secara kritikal dan mendalam sektor pertanian dan penghasilan makanan di negara kita. Dan bagaimana untuk kita menyelesaikan segala masalah yang berkaitan dengan sektor ini.
  1. Nyatakan dengan jujur dan kritikal, apakah perubahan atau penambahbaikan dasar yang mesti dilakukan oleh kerajaan untuk memastikan kita berupaya menguruskan isu kritikal ini dengan sebaiknya.
  1. Kedua, cadangkan saranan yang mampu melonjak minat pemain industri atau bakat tempatan atau orang awam untuk lebih menceburi sektor pertanian dan penghasilan makanan.
  1. Ketiga, nyatakan strategi-strategi penting yang mesti kita lakukan segera bagi menyediakan negara dalam tempoh jangka pendek, sederhana dan kelestarian jangka panjang.
  1. Ini termasuklah melihat kembali secara bersepadu segala macam fungsi dan mandat agensi yang terlibat dalam pertanian dan penghasilan makanan seperti FAMA, RISDA, MARDI, FELCRA hatta FELDA. Kesemuanya mesti kita perkasa dan posisikan kembali.
  1. Keempat, lihat dan rangka bagaimana untuk kita mengoptimumkan pelbagai Pusat Kecemerlangan, CoE dan HICoE yang ada di semua IPT kita. Kesemua pusat ini mesti bekerjasama dan menggabungkan kekuatan masing-masing untuk negara.
  1. Universiti tidak boleh berhenti sekadar menjadi tempat rujukan. Universiti mesti turut mengambil langkah untuk memacu dan memimpin perubahan merentas pagar kampus.
  1. Saya melontarkan cabaran dan permintaan ini kerana saya percaya. UPM dan semua universiti kita berada pada kedudukan yang sesuai dan layak untuk memberi pencerahan.
  1. Dan untuk berlaku adil pada tuan-tuan dan puan-puan. Saya memberi jaminan.
  1. Bahawa, bukan sahaja Kerajaan akan bersifat terbuka dan berlapang dada dengan segala saranan yang persidangan ini akan diberikan.
  1. Sebaliknya, saya sendiri akan membentang dan mengangkat segala saranan yang bersifat game changers ini ke perhatian pihak Kerajaan.
  1. Dan saya akan mengikhtiarkan agar semua itu dipandang serius dan diambil tindakan yang sewajarnya.

Tuan-tuan dan puan-puan,

  1. Sektor pendidikan tinggi negara mesti mengambil tanggungjawab untuk memaklumkan kepada kerajaan tentang kedudukan sektor pertanian dan penghasilan makanan kita. Kita mesti menyumbang dengan serius dan bermakna dalam isu keterjaminan makanan ini.
  1. Saya sangat berhadap yang persidangan ini akan benar-benar menghasilkan jalan keluar kepada delima dan cabaran yang kita hadapi.
  1. Ini adalah satu Projek Negara yang mesti kita jayakan tanpa banyak alasan atau kompromi.
  1. Jika bukan ahli bijak pandai negara yang memerah idea untuk membawa kebaikan kepada tanahair, maka siapa lagi yang hendak kita harapkan?
  1. Saya ucapkan selamat bersidang kepada semua. Dan semoga usaha kita ini akan membuahkan hasil yang terbaik dan dipermudah Allah SWT.
  1. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ini merasmikan Persidangan Keterjaminan Makanan Kebangsaan 2023.
  1. Terima kasih.

Muat Turun:

pdf Teks Ucapan YBM Sempena Persidangan Keterjaminan Makanan Kebangsaan 2023.pdf (219 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 7276
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Thursday 18 April 2024, 14:41:25.