English translation not available for this content.
logo kpt black

TEKS UCAPAN

YB DATO’ SERI MOHAMED KHALED BIN NORDIN
MENTERI PENDIDIKAN TINGGI

MAJLIS PENUTUP PIDATO ANTARABANGSA BAHASA MELAYU 2023
PIALA PERDANA MENTERI 2023
“MEMARTABATKAN CITRA DAN KEDAULATAN BAHASA MELAYU”

4 NOVEMBER 2023


Bismillahhirahmanirahim,

Salam Sejahtera dan Salam Malaysia MADANI.

  1. Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah Rahmat dan keizinan-Nya, dapat kita berkumpul pada malam ini untuk bersama- sama meraikan MALAM KEMUNCAK PERTANDINGAN PIDATO ANTARABANGSA BAHASA MELAYU (PABM) 2023 PIALA PERDANA MENTERI.
  1. Selamat datang saya ucapkan kepada para tetamu, peserta-peserta PABM, hadirin yang hadir di USM ini mahupun semua yang mengikuti siaran langsung dari seluruh negara.
  1. Sejak edisi sulungnya pada tahun 2007, PABM telah menjadi salah satu daripada program utama Kementerian Pendidikan Tinggi. Khususnya dalam mengangkat Bahasa Melayu dan mempromosi pengajian yang berkaitan dengannya di seluruh dunia.
  1. Ini kerana, kita mahu masyarakat dunia melihat Bahasa Melayu dengan segala keunikannya.
  1. Pantun yang santun. Madah nan indah. Gurindam seribu langgam. Dan puisi yang sarat isi.
  1. Semua itu adalah seni dan seri bahasa yang menggambarkan keindahan serta kehalusan Bahasa Melayu.
  1. Khazanah dan warisan Bahasa Melayu sangat besar dan hebat.
  1. Namun, kita tidak mahu berhenti setakat itu.
  1. Kita mahu mengangkat Bahasa Melayu sebagai bahasa yang ulung. Bahasa ilmu. Bahasa yang menjadi perantara dalam membicarakan idea-idea besar dan mengujakan.
  1. Bahasa yang memukau anak muda untuk berkarya. Bahasa yang mengundang bijak pandai untuk menggali ilmu.
  1. Dan paling penting, bahasa yang menjadi wahana penyatuan bangsa dan etnik yang rencam dalam sebuah persekitaran sosial yang harmoni.
  1. Atas kesedaran itu, KPT sentiasa mengambil beberapa langkah serius untuk terus menjadikan Bahasa Melayu sebagai sebahagian daripada agenda penting pendidikan tinggi negara.
  1. Antaranya, pelancaran Pelan Tindakan Pemerkasaan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu di IPT. Di bawah pelan tindakan ini, Kementerian Pendidikan Tinggi bersetuju dengan saranan agar mata pelajaran umum universiti yang diwajibkan kepada pelajar antarabangsa boleh digantikan dengan Kursus Bahasa Melayu Komunikasi mengikut kesesuaian dan program pengajian di sesebuah universiti.
  1. Selain itu, usaha kementerian turut merangkumi penganugerahan tokoh bahasa, penubuhan kursi-kursi Bahasa Melayu dan kerjasama erat dengan pelbagai institusi yang menawarkan pengajian berkaitan bahasa Melayu di seluruh dunia.
  1. Kesemua ini kita ikhtiarkan kerana kita yakin, Bahasa Melayu mempunyai kekuatannya yang Dan kita mahu lebih ramai lagi yang mendalami Bahasa Melayu sebagai bidang yang penting dan berpotensi.
  1. Dalam mengangkat kedudukan Bahasa Melayu dan prestij pengajian bidang ini, Kementerian Pendidikan Tinggi mempunyai beberapa sasaran.
  1. Pertama, kita mahu menjadikan Bahasa Melayu sebagai antara tarikan dan pengisian dalam menjayakan diplomasi pengetahuan.
  1. Ini bermakna, dalam membina dan mengukuhkan hubungan antarabangsa yang berasaskan pengetahuan dan ilmu, Bahasa Melayu mesti menjadi sebahagian daripada disiplin yang diketengahkan.
  1. Kedua, Bahasa Melayu mesti menjadi bahasa yang sejagat dalam menyerlahkan sistem nilai yang baik. Khususnya dalam menterjemah agenda negara yang merentas kaum dan bangsa. 
  1. Malaysia MADANI misalnya, adalah satu etos nasional yang dipasak pada sistem nilai yang baik.
  1. Dan sistem nilai ini harus menjadi pegangan dan citra bangsa yang dibudayakan dengan penuh kesungguhan dan rasa bangga.
  1. Bahasa Melayu selayaknya menjadi katalis yang memicu dan memacu pemugaran sistem yang baik tersebut dalam diri masyarakat.
  1. Bukan sahaja dalam sempadan tanah air. Namun, turut jauh menjelajah ke sempadan negara-negara dunia yang lain.
  1. Atas kesedaran itu jugalah, Kementerian Pendidikan Tinggi menyambut baik ketegasan YAB Perdana Menteri yang mahukan semua urusan bertulis dan persuratan rasmi Kerajaan dilakukan dalam Bahasa Melayu.
  1. Kita ingin pasakkan secara jelas. Bahawa bahasa bukan sahaja jiwa bangsa.
  1. Tetapi bahasa adalah suri dan seri negara yang mempunyai kedudukan istimewa. Bukan sekadar menjadi pengisi Perlembagaan, tanpa menjadi amalan yang sebenar dalam segenap ruang dan disiplin.

Hadirin yang saya muliakan,

  1. Marilah kita bersama-sama terus berusaha dan memastikan Bahasa Melayu berkembang dan dilazimi. Bukan sekadar dihormati dan diacarakan secara terpaksa-paksa.
  1. Bahasa yang santun, yang punya kewibawaan dalam membicarakan ilmu dan menyatukan kepelbagaian, adalah bahasa yang mesti diangkat dengan sinergi dan strategi yang bersifat kukuh dan ampuh.
  1. Ia harus menjadi misi bersama yang bersifat nasional dengan sasaran dan capaian global.
  1. Terima kasih saya ucapkan kepada semua pihak yang telah berusaha menjayakan PABM selama ini dan menyokong Kementerian Pendidikan Tinggi dalam melancarkan pertandingan ini.
  1. Kepada semua para peserta, terima kasih kerana memilih dan menyantuni bahasa Melayu.
  1. Usaha, minat, dedikasi serta kerja keras yang saudara dan saudari semua pamerkan sangat saya kagumi.
  1. Saya percaya, kita semua layak memberikan mereka satu tepukan paling gemuruh.
  1. Tahniah kerana telah sampai ke peringkat akhir, selamat maju jaya saya ucapkan.
  1. Tidak dilupakan, rakan kerjasama strategik program ini Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM); Universiti Sains Malaysia (USM), Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM); Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP); dan pastinya, Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang sentiasa menyokong PABM sejak edisi pertamanya.
  1. Sekali lagi, saya menjemput dan membuka ruang yang seluas-luasnya untuk kita semua terus mencari jalan untuk bekerjasama dengan lebih rancak dan erat.
  1. Dengan lafaz Bismillahirahmanirahim, SAYA DENGAN INI MERASMIKAN MAJLIS MALAM KEMUNCAK PERTANDINGAN PIDATO ANTARABANGSA BAHASA MELAYU PIALA PERDANA MENTERI 2023.

Sekian,    Wabillahi    Taufik   Walhidayah    Wasalamualikum    Warahmatullahi Wabarakatuh.

Muat Turun:

pdf Majlis Penutup Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu 2023 Piala Perdana Menteri 2023.pdf (235 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 13649
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 14 June 2024, 19:20:56.