English translation not available for this content.
logo kpt black

TEKS UCAPAN

YB DATUK SERI DR. NORAINI AHMAD
MENTERI PENGAJIAN TINGGI

MAJLIS PELANCARAN INTERNATIONAL ENGLISH TEST (IET) 2022

4 OKTOBER 2022


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

PENDAHULUAN

  1. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya jua, kita dapat bersama-sama pada malam ini sempena Majlis Pelancaran Ujian Bahasa Inggeris Antarabangsa atau International English Test (IET).
  1. Terima kasih saya ucapkan kepada Universiti Kebangsaan Malaysia, selaku penganjur, kerana sudi menjemput saya untuk menyempurnakan acara yang penuh bermakna pada malam ini. 

INTERNATIONAL ENGLISH TEST (IET)

Hadirin yang saya hormati sekalian,

  1. Saya pasti semua di sini, malah masyarakat umum di luar sana juga sudah sedia maklum bahawa antara syarat am bagi kemasukan ke universiti awam dan swasta di negara ini adalah keperluan untuk mendapat sekurang-kurangnya kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris.
  1. Pada masa yang sama juga, bagi kemasukan ke mana-mana universiti awam dan swasta termasuk di luar negara, penilaian kompetensi berbahasa Inggeris dilaksanakan dengan menggunakan instrumen ujian seperti International English Language Testing System (IELTS), Test of English as a Foreign Language (TOEFL) dan Malaysian University English Test (MUET).
  1. Malah, ujian standard ini juga turut diguna pakai untuk mengukur kemahiran berkomunikasi seseorang individu yang ingin bekerja di syarikat yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi yang utama.
  1. Saya telah meneliti beberapa statistik ringkas tentang pencapaian warganegara Malaysia dalam ujian-ujian ini. Sebagai contoh untuk TOEFL. Dalam TOEFL iBT Test and Score Data Summary 2021, secara puratanya, warganegara Malaysia yang mengambil peperiksaan ini mendapat purata skor 92. Manakala bagi ujian IELTS pula, overview prestasi keputusan peperiksaan ini menunjukkan purata pencapaian warganegara Malaysia adalah pada skala band 7.10, daripada skala penuh 9.
  1. Berdasarkan statistik ringkas tersebut, dapat kita lihat bahawa sebenarnya kemahiran berkomunikasi menggunakan bahasa Inggeris dalam kalangan rakyat kita tidak kurang hebatnya.
  1. Berbalik kepada inti pati utama program pada malam ini. Untuk makluman, dalam usaha mempelbagaikan instrumen penilaian seumpama IELTS, TOEFL ataupun MUET ini, Kementerian Pengajian Tinggi telah mengambil inisiatif untuk membangunkan satu lagi bentuk penilaian yang setara.
  1. Penilaian ini turut dijajarkan kepada The Common European Framework of Reference atau CEFR yang merupakan skala rujukan antarabangsa yang direka khas bagi menggambarkan kecekapan dan penguasaan bahasa Inggeris dan juga bahasa-bahasa lain.
  1. Penilaian yang saya maksudkan ini ialah International English Test atau ringkasnya, boleh kita sebut sebagai IET. IET bakal menjadi ujian alternatif kompetensi bahasa Inggeris kepada bukan sahaja pelajar tempatan, tetapi juga pelajar antarabangsa.
  1. Ia juga adalah setaraf dengan ujian kelayakan luar negara seperti IELTS atau TOEFL, yang boleh membantu individu dalam memenuhi syarat kemasukan ke IPTA atau pun IPTS.
  1. Seperti ujian-ujian kelayakan bahasa yang lain, IET juga mempunyai komponen-komponen penilaiannya yang tersendiri. Ada empat (4) ujian kemahiran semuanya yang akan dinilai, iaitu Pendengaran (Listening); Perbualan (Speaking); Penulisan (Writing) dan Membaca (Reading).
  1. Uniknya IET berbanding dengan ujian-ujian yang lain adalah terletak pada cirinya yang memberikan penekanan kepada persekitaran akademik dalam kerangka ujiannya.
  1. Dalam hal ini, bahan-bahan yang digunakan adalah autentik berdasarkan bahan yang mirip dengan bahan rujukan pelajar, mudah dan sesuai untuk peringkat prasiswazah, sarjana dan doktor falsafah. Perkara ini selaras dengan konteks penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa akademik.
  1. Dan, suka saya kongsikan di sini bahawa IET ini dibangunkan dalam format yang mudah untuk difahami. Malah, bagi memastikan kualitinya, IET akan melalui beberapa ujian kesahan dan kebolehpercayaan.
  1. Yang pasti, yuran peperiksaan yang dikenakan adalah berpatutan di samping susun atur soalan peperiksaan yang insya-Allah mudah diikuti dan difahami.

RANTAIAN KE HADAPAN

Hadirin yang saya hormati sekalian,

  1. Saya percaya ujian penilaian ini bukanlah saingan kepada IELTS, TOEFL ataupun MUET. Sebaliknya, kewujudan instrumen penilaian ini nanti akan melengkapi dan menjadi alternatif yang memberikan peluang kepada pelajar untuk membuat pilihan menduduki ujian yang setaraf dengan IELTS, TOEFL dan MUET.
  1. Kementerian merancang IET ini akan mula dilaksanakan pada Disember 2022 sebagai satu daripada inisiatif untuk memperkukuh jenama pendidikan tinggi Malaysia di persada antarabangsa.
  1. Bagi mencapai hasrat ini, suka saya maklumkan di sini bahawa Universiti Kebangsaan Malaysia akan memainkan peranan sebagai urus setia yang membangunkan IET dan menyelaraskan keperluan dari aspek pengurusan. IPTA dan IPTS pula akan bertindak sebagai rakan strategik bagi menggiatkan lagi dan memastikan keberkesanan pelaksanaan IET.
  1. Manakala untuk aspek kualiti, IET akan dikawal selia oleh pihak Kementerian melalui Jawatankuasa Jaminan Kualiti IET yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi.

PENUTUP

Hadirin yang saya hormati sekalian,

  1. Besar harapan saya agar usaha-usaha terus digiatkan lagi supaya IET mendapat pengiktirafan dunia selaras, seterusnya mampu menjadi wadah untuk menarik lebih ramai pelajar antarabangsa belajar di IPTA dan IPTS di Malaysia.
  1. Mudah-mudahan juga, ini akan membantu kita untuk mencapai objektif menghasilkan sehingga 250,000 orang pelajar antarabangsa menjelang 2025. Insya-Allah!
  1. Dengan lafaz bismillahirahhmanirahim, saya dengan ini melancarkan International English Test – IET.

Sekian, terima kasih.

Muat Turun:

  pdf (92 KB) pdf Teks Ucapan YBM Pelancaran IET.pdf (92 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 18534
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 14 June 2024, 19:20:56.