English translation not available for this content.
logo kpt black

TEKS UCAPAN

YB. DATO’ SERI MOHAMED KHALED NORDIN
MENTERI PENDIDIKAN TINGGI

MAJLIS PERASMIAN PENUTUP MINGGU TVET DIGITAL 2023

11 SEPTEMBER 2023

  1. Alhamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya, kita diberikan kesempatan bertemu di dalam Majlis Perasmian Penutup Minggu TVET Digital POLYCC pada hari ini.
  1. Terima kasih saya ucapkan kepada JPPKK atas jemputan ini.
  1. Saya sangat berbesar hati dapat bertemu dan bersama-sama warga politeknik dan kolej komuniti, untuk meraikan satu lagi pencapaian dan usaha penting dalam sektor pendidikan tinggi negara.
  1. Saya percaya, program pada hari ini sangat kritikal dan relevan.
  1. Setidak-tidaknya, ia adalah satu tindak balas dan usaha kita untuk berhadapan dengan 3 perkara yang kini melatari sektor pendidikan tinggi negara.
  1. Pertama, impak pandemik yang menuntut peralihan kepada pendigitalan secara besar-besaran.
  1. Kedua, perubahan cabaran dan bentuk pendidikan tinggi yang memerlukan pendekatan baharu dan terkini.
  1. Ketiga, kepentingan mendesak serta permintaan yang tinggi kepada program pengajian dan latihan politeknik khususnya daripada pihak industri untuk tujuan skilling, reskilling dan upskilling.
  1. Ketiga-tiga latar ini menyebabkan pendigitalan serta inovasi pendidikan tinggi menjadi sangat kritikal dan tidak boleh dielakkan.
  1. Atas dasar itulah, saya sering menegaskan keperluan untuk kita memberi perhatian yang serius terhadap agenda pendigitalan dan inovasi pendidikan tinggi.
  1. Dan proses ini mesti dilakukan dengan menumpukan kepada sekurang- kurangnya 3 sasaran utama.
  1. Pertama, kita mahu memastikan pendidikan tinggi kekal relevan.
  1. Pendidikan tinggi kini berhadapan dengan pelbagai cabaran dan tuntutan.
  1. Pengisian dan kandungan pengajian yang perlu memenuhi jangkaan pihak industri. Pasaran kerja yang kompetitif.Teknologi yang berkembang pantas. Sumber yang berkurangan.
  1. Malah, kebanyakan program kemahiran serta penciptaan inovasi teknikal dan teknologi adalah dipacu oleh pihak industri. Bukan lagi IPT.
  1. Semua ini menuntut kita untuk memastikan pendekatan dan strategik pendidikan tinggi kita berkesan dan menjawab cabaran Ia tidak boleh ketinggalan zaman dan kekal dengan cara lama.
  1. Dalam konteks ini, saya menyambut baik apabila dimaklumkan yang Sistem Pembelajaran Digital atau CIDOS, yang dibangunkan oleh pihak politeknik telah menggunakan perkhidmatan pengkomputeran awan sepenuhnya.
  1. Malah, 95% kurikulum politeknik dan kolej komuniti sudah mengandungi integrasi elemen 4IR.
  1. Sekali pun ini adalah satu perkembangan yang Saya percaya kita mesti memastikan politeknik kita terus dimajukan dari semasa ke semasa.
  1. Dan untuk memajukan ekosistem pendidikan di politeknik kita, saya terbuka untuk mempertimbang dan mengambil beberapa langkah drastik dan transformatif.
  1. Ini termasuklah, membenarkan politeknik kita dipacu oleh sektor swasta dan industri. Atau pihak-pihak yang mempunyai kelebihan dalam aspek teknologi dan ekosistem yang berpaksikan kemahiran.
  1. Perkara tersebut bukan sahaja akan menjadikan pengajian di politeknik relevan dan terkini. Malah, kebolehpasaran dan daya saing graduan lepasan politeknik dapat ditingkatkan secara signifikan.
  1. Kedua, kita ingin memastikan pendidikan tinggi khususnya yang bersifat teknikal dan kemahiran dapat menarik minat lebih ramai anak muda.
  1. Penurunan minat sesetengah kelompok anak muda untuk mengikuti pendidikan tinggi terutamanya dalam bidang TVET mesti dipandang serius.
  1. Kita tidak boleh membiarkan anak muda hari ini hanyut dengan kepercayaan dan salah tanggapan bahawa mereka boleh mengharungi masa depan sekali pun tanpa ilmu dan kemahiran.
  1. Ia harus menjadi tanggungjawab kita semua yang berada dalam sektor pendidikan tinggi. Untuk mencari strategi dan mencipta tarikan baharu. Agar lebih ramai pelajar dan anak muda di luar sana berminat untuk mengikut pengajian tinggi. Khususnya di politeknik.
  1. Jadi, inisiatif TVET Digital ini sangat penting. Kita mengharapkan agar pelaksanaannya akan memberi satu sentuhan serta lonjakkan baharu kepada pengajian politeknik.
  1. Ketiga, pendigitalan dan inovasi akan membantu membolehkan akses kepada pendidikan tinggi dalam bidang teknikal dan kemahiran dapat diperluas kepada lebih ramai anggota maasyarakat.
  1. Seperti yang kita maklum, selain memberikan impak yang baik dalam pengajaran dan pembelajaran, pendigitalan akan berupaya meruntuhkan tembok fizikal yang menjadi penghalang kepada pendidikan.
  1. Dengan memperkenalkan satu ekosistem pendidikan dan latihan kemahiran yang dipacu oleh teknologi dan platform digital, segala jurang dan kekangan lokaliti dan fizikal boleh diminimumkan.
  1. Kita akan berupaya memberi akses kepada lebih ramai penuntut. Pendidikan dan pengajian akan lebih bersifat anjal, menarik dan mudah dicapai.
  1. Malah, pengemaskinian dan penambahbaikan boleh dilakukan dengan lebih cepat dan terkini.
  1. Perkara ini tidak mustahil untuk kita lakukan. Kita sudah mempunyai asasnya. Kini setiap politeknik di negara kita sudah mempunyai sekurang-kurangnya 1 ruang pembelajaran termaju alaf 21.
  1. Berbekalkan segala kelebihan inilah, saya secara peribadi dan pihak kementerian sangat memandang serius agenda pendigitalan pendidikan tinggi.
  1. Biar di peringkat mana sekali pun, sama ada dalam aspek pengurusan dan tadbir urus institusi, penyelidikan sesama tenaga pengajar, latihan pembelajaran kepada mahasiswa, pendigitalan mesti mula dijadikan medium dan amalan baharu oleh IPT kita.

Hadirin dan hadirat yang saya hormati,

  1. Satu kerangka pendigitalan TVET yang dikenali sebagai Kerangka TVET DIGITAL JPPKK telah dilancarkan oleh Ketua Setiausaha KPT, YBhg Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar pada 11 Ogos lalu di Politeknik Sultan Azlan Shah.
  1. Pelancaran tersebut disasarkan untuk menjadi pemacu yang berupaya melonjakkan proses pendigitalan TVET di semua politeknik dan Kolej Komuniti kita.
  2. Saya ingin mengambil kesempatan ini merakamkan ucapan tahniah kepada JPPKK. Kerana telah berjaya mendapat peruntukan khas dari pihak MAMPU sebanyak RM 13 juta untuk Projek Governement Hybrid Cloud bagi pelaksanaan sistem pembelajaran digital atau CIDOS 4.0.
  1. Ini merupakan satu kejayaan yang sudah pastinya dihargai dan dibanggakan oleh pihak KPT.
  1. Ini kerana, JPPKK telah menjadi agensi perintis pertama bagi program Government HyBrid Cloud oleh pihak MAMPU.
  1. Apatah lagi, dengan sistem pembelajaran digital ini, pihak politeknik akan berupaya memberi manfaat secara langsung kepada kira-kira 100 ribu pengguna di dalam politeknik dan kolej komuniti di seluruh negara, insya-Allah.

Hadirin dan hadirat yang saya hormati,

  1. Keseriusan yang kita tunjukkan dalam menjayakan TVET Digital pada hari ini sebetulnya bertitik tolak daripada beberapa penegasan yang mesti disampaikan kepada semua di luar sana.
  1. Iaitu, betapa aliran kemahiran adalah setanding dengan jurusan akademik yang lain.
  1. Aliran kemahiran dan politeknik bukan pilihan Dan pastinya bukan pilihan terakhir.
  1. Sebaliknya, ia adalah aliran yang setanding dengan jurusan- jurusan lain di universiti.
  1. Saya ingin tegaskan di sini, bahawa pelajar politeknik adalah mereka yang pintar. Pelajar politeknik adalah mereka yang mempunyai masa depan yang cerah.
  1. Dan aliran politeknik akan terus kita diberikan perhatian dan fokus yang setara, bukan sahaja oleh KPT, tetapi oleh negara kita.
  1. Dengan penegasan tersebut, saya harap politeknik akan terus mengorak langkah untuk menjadikan institusi ini sebagai institusi yang berdaya saing, yang dihormati dan menjadi pilihan oleh pelajar dan anggota masyarakat di luar sana.
  1. Sekali lagi, tahniah atas kejayaan melaksanakan minggu TVET DIGITAL ini. Semoga pendigitalan pendidikan akan terus menjadi sebahagian fokus penting dalam segala perancangan JPPKK.
  1. Dengan lafaz BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM, saya dengan ini merasmikan majlis penutup Minggu TVET DIGITAL POLYCC, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti.
  1. Sekian, terima kasih.

Muat Turun:

pdf Teks Ucapan YBM Majlis Perasmian Penutup Minggu TVET Digital 2023.pdf (202 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 11702
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 14 June 2024, 19:20:56.