English translation not available for this content.
logo kpt black

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI

MAJLIS ANUGERAH AKADEMIK NEGARA KE-15
“AKADEMIA PEMACU MALAYSIA MADANI”

DIBACAKAN OLEH:
YB DATO’ SERI MOHAMED KHALED NORDIN MENTERI PENDIDIKAN TINGGI

31 Oktober 2023


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Malaysia Madani.

[SALUTASI]

Akan disediakan.

  1. Alhamdulillah, saya panjatkan rasa penuh syukur ke hadrat Allah Subhanahuwataala kerana dengan limpah dan kurnia-Nya, kita semua diberikan kesempatan untuk bersama-sama meraikan Majlis Anugerah Akademik Negara (AAN) Ke-15 pada malam ini.
  1. Terima kasih saya ucapkan atas undangan dari pihak Kementerian Pendidikan Tinggi.
  1. Sesungguhnya, ruang dan peluang untuk saya bertemu dan meraikan ahli-ahli akademik adalah sesuatu yang sangat saya hargai.
  1. Selain dapat menzahirkan secara terus penghargaan dan pengiktirafan saya kepada semua ahli akademik yang selama ini gigih dan bekerja keras mendidik anak bangsa. Ini adalah kesempatan yang baik untuk saya menyatakan hasrat dan berkongsi azam saya pada bangsa dan negara kita dengan semua ahli bijak pandai.

AHLI AKADEMIK DAN MALAYSIA MADANI

Hadirin hadirat yang saya muliakan,

  1. Apabila saya gagaskan Malaysia MADANI, jujukan peristiwa serta dimensi sosial yang memimpin pemikiran saya kesemuanya menjurus kepada keperluan mendesak untuk bangsa dan negara ini mempunyai sistem nilai yang baik.
  1. Kita mesti kembali menjadi bangsa yang berpaut pada nilai-nilai unggul. Nilai-nilai yang mendefinisikan kita sebagai sebuah bangsa dan negara yang mempunyai pemikiran tasamuh, moden dan pintar, namun dibatasi dengan penyantunan serta kepatuhan kepada agama dan norma yang baik.
  1. Kesemua itu akan secara tidak langsung menjadikan kita bangsa yang menolak keburukan, ketaasuban dan kejumudan.
  1. Akan tetapi, saya juga sedar, Malaysia MADANI tidak akan menjadi citra bangsa kita jika sistem nilai ini hanya diangkat oleh segelintir kumpulan, dan tidak menjadi budaya yang dilazimi oleh semua anggota masyarakat.
  1. Berbekalkan kesedaran itu, saya percaya kita semua boleh Siapa lagi yang lebih layak untuk memicu dan memacu pemugaran nilai yang baik ini kepada masyarakat kita, kalau bukan ahli akademik dan golongan bijak pandai.
  1. Baik di IPT awam mahupun swasta, politeknik, kolej komuniti, institut latihan perguruan, kolej matrikulasi, institut latihan dan vokasional hatta di mana-mana sahaja, saya melihat ahli-ahli akademik sebagai pemimpin akal masyarakat.
  1. Cuma, tugas sebagai pemimpin akal masyarakat ini sebenarnya hadir bersama satu lagi tanggungjawab penting, iaitu menyemai nilai unggul dalam diri anak bangsa.
  1. Saya sedar, kombinasi dua tanggungjawab membangunkan akal dan menanam nilai yang baik dalam diri masyarakat ini adalah tanggungjawab yang besar dan kritikal.
  1. Namun, selaku sosok yang rutin hayatnya adalah mencungkil, menyusun dan menyebarkan ilmu, dedikasi serta kerja keras ahli akademik untuk bersama-sama membantu negara dalam menyuburkan nilai yang baik dalam diri masyarakat amat saya seru dan tagih.
  1. Malaysia MADANI hanya akan menjadi realiti dan mencapai matlamatnya apabila masyarakat secara beramai-ramai memahami dan membudayakan 6 nilai unggul yang mendukung aspirasi ini.

AHLI AKADEMIK SEBAGAI SURI TELADAN BANGSA

Hadirin hadirat yang saya muliakan,

  1. Majlis Anugerah Akademik Negara pada malam ini mesti dilihat sebagai perkara yang besar sebenarnya meneruskan tradisi yang dimulakan oleh kerajaan Malaysia untuk meraikan kesarjanaan ahli akademik tempatan.
  1. Masyarakat sentiasa memerlukan ikon kesarjanaan dan juga suri teladan yang berketerampilan, berintegriti lagi berwibawa. Biar apa pun lapangan yang kita ceburi, kehadiran ikon dan tokoh yang dihormati akan memangkin semangat dan kesungguhan dalam kalangan banyak pihak.
  1. Paling penting, ahli-ahli akademik harus menjadi inspirasi kepada mahasiswa untuk melonjak potensi diri yang terbaik. Ahli-ahli akademik harus menjadi rujukan kepada anak bangsa kita untuk memberi yang terbaik kepada negara.
  1. Semua proses ini memerlukan ahli sarjana, ikon pemikir dan sang murabbi yang bukan sahaja mengajar dan mendidik di peringkat pendidikan tinggi. Tetapi menjadi inspirasi yang disegani kepada rakan dan orang awam.
  1. Saya dengan rendah hati sangat berharap ahli-ahli akademik tempatan akan memainkan peranan menjadi peneraju akal dan pemikiran bangsa Terutamanya dalam menggerakkan Gagasan Malaysia Madani sebagai satu etos nasional yang menyeru kepada kebaikan.
  1. Secara peribadi, saya akui dan berbangga dengan sumbangan ilmu oleh ahli-ahli akademik kita yang tidak terhad kepada sumbangan dalam ruang lingkup tempatan sahaja.
  1. Ada pensyarah kita yang sudah biasa menjadi sarjana awam yang berkongsi ilmu, pengetahuan dan kepakaran mereka di pentas antarabangsa dan dengan negara-negara luar.
  1. Atas dasar itu, memandangkan kita sedang berhadapan dengan arus zaman yang mencabar  ini,  harus  wujud  kesedaran  bahawa kebanyakan masalah yang kita hadapi hari ini sebenarnya saling berkait.
  1. Ia menuntut langkah yang serentak di pelbagai bidang dan sektor. Dan, langkah ini perlu diawali dengan ilmu dan pengetahuan yang sentiasa ditambah baik dalam kalangan ahli akademik.

AHLI AKADEMIK DAN SUMBANGAN PADA NEAGRA

Hadirin hadirat yang saya muliakan,

  1. Era yang sedang kita hadapi sekarang ini sarat dengan cabaran dan kekacauan. Cabaran dan kekacauan yang bukan sahaja menjadikan agenda kemajuan dan kemodenan sering bergelut dengan nilai dan moral yang baik.
  1. Malah, pegangan dan keterujaan terhadap ilmu dan kesarjanaan turut terhakis secara radikal.
  1. Ketaasuban dan pemikiran yang sempit, ideologi yang berpaksikan pada kemewahan material, prinsip yang tidak konsisten, semua ini terus merumitkan keadaan.
  1. Itu belum lagi kita melihat semua ini dalam lensa global yang menyaksikan pelbagai pertembungan. Pertembungan blok perdagangan, krisis alam sekitar, peperangan dan konflik yang
  1. Kesemua ini memberi tempias yang besar kepada negara. Dan ia mesti kita uruskan dengan cara yang bukan sahaja berkesan dan strategik, tetapi pantas dan praktikal.
  1. Paling penting, segala kekacauan dan kerancuan ini menuntut ahli akademik untuk menebalkan rasa tanggungjawab kepada agenda pembinaan bangsa dan aspirasi nasional. Bukan sahaja kepada pengembangan ilmu dan penyelidikan dalam bidang atau disiplin yang dikuasai.
  1. Ahli akademik harus gigih menguruskan segala kekacauan dan perubahan yang sedang dan akan berlaku bersama-sama dengan kerajaan dan pemimpin.
  1. Kita mesti bersama-sama mencari ikhtiar paling baik dan paling berkesan untuk menghasilkan dapatan ilmu dan pengetahuan yang berupaya meraikan daya usaha serta daya cipta rakyat tempatan ke arah kemajuan sosial serta budaya yang lestari.
  1. Apatah lagi dengan segala kelebihan teknologi dan kerancakan gelombang Saya percaya, semua itu membawa kelebihan dan potensi yang boleh diadun untuk memberi kebaikan kepada masyarakat dan negara.
  1. Dalam konteks ini juga, saya ingin memberi jaminan bahawa Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan saya akan terus memberi dorongan dan dukungan kepada semua IPT. Khususnya dalam usaha meneroka dan mewujudkan bidang-bidang pengajian baharu, termasuk bidang ekonomi, kesejahteraan dan kelestarian.
  1. Pengembangan dan pelebaran ufuk ilmu mesti menjadi agenda nasional yang kalis politik dan kepentingan diri.
  1. Malah, membangunkan suatu ekosistem pendidikan tinggi yang bertaraf global harus menjadi usaha berterusan. Kita mahu meletakkan Malaysia sebagai negara yang mengangkat dan menghormati ilmu.

Hadirin Hadirat yang saya muliakan,

  1. Semoga pemberian Anugerah Akademik Negara akan menjadi wahana berprestij yang berterusan dalam mengiktiraf dan meraikan jasa-jasa serta pencapaian ahli akademik Malaysia.
  1. Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada semua penerima anugerah.
  1. Terima kasih atas komitmen dan jasa yang dicurahkan dalam mendidik anak bangsa dan memajukan negara selama ini. Saya mendoakan agar segala titipan budi dan ilmu yang dicurahkan akan diberkati dan menjadi amalan baik yang diterima oleh Allah SWT.
  1. Marilah kita bersama-sama terus bekerja keras untuk negara yang kita cintai ini. Insya-Allah, dengan sumbangan serta buah fikir yang berterusan daripada semua ahli akademik, saya yakin Malaysia akan bangkit menjadi lembah ilmu dan bakat serantau yang dihormati.
  1. Dengan lafaz “Bismillahirrahmanirrahim”, saya dengan rasa sukacita rasmikan Majlis Anugerah Akademik Negara 2023.
  1. Sekian, Wabillahi Taufik Wal-hidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Muat Turun:

pdf Teks Ucapan YBM Anugerah Akademik Negara Ke-15.pdf (152 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 8924
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Wednesday 21 February 2024, 15:56:07.