English translation not available for this content.
logo kpt black

TEKS UCAPAN

YB. DATO’ SERI MOHAMED KHALED NORDIN
MENTERI PENDIDIKAN TINGGI

MAJLIS PENUTUPAN PROGRAM JOM MASUK U 2023  

4 JUN 2023


Tuan-tuan dan puan-puan serta para pengunjung yang saya hormati,

  1. Alhamdulillah, pertama sekali saya ingin panjatkan rasa syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah dan kurnia-Nya, kita telah diberi kesempatan dan ruang untuk bersama-sama menyempurnakan kempen dan jelajah Jom Masuk U bagi tahun 2023.
  1. Terima kasih dan tahniah kepada Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) serta semua rakan strategik Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), yang telah berjaya menjayakan Program Jom Masuk U 2023, yang merupakan signature program Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi setiap tahun.
  1. Untuk makluman semua, program Jom Masuk U adalah satu inisiatif proaktif KPT yang dibuat dengan beberapa sasaran penting.
  1. Selain berusaha untuk memastikan seramai mungkin penuntut dan anak muda di luar sana melanjutkan pengajian di peringkat tinggi, kita juga mahu memberi kesedaran dan pencerahan yang sebaiknya.
  1. Tentang apakah ruang dan peluang yang ada dalam sektor pendidikan tinggi negara kita. Apakah bidang yang menarik, apakah program yang terkini.
  1. Kita mahu semua anak muda khususnya SPM leavers di luar sana melihat dengan jelas. Bahawa biar apa pun minat, kecenderungan dan cita-cita mereka, institusi pendidikan tinggi di bawah KPT berupaya untuk menawarkan program atau kursus yang bersesuaian dengan kehendak tersebut.
  1. Jadi, mereka mesti masuk ke universiti, mesti masuk ke politeknik. Tidak cukup dan tidak boleh sekadar setakat sekolah menengah.
  1. Apatah lagi golongan yang membentuk komposisi terbesar negara kita adalah golongan muda. Jadi, mereka mesti belajar di peringkat pengajian tinggi. Negara ini mesti menjadi negara yang mempunyai ramai bijak pandai dan golongan yang berkemahiran.
  1. Atas dasar itulah Jelajah Jom Masuk U ini sangat diberikan perhatian oleh KPT. Kita mahu reach out kepada seramai mungkin bakat-bakat muda di dalam masyarakat.
  1. Kita mahu anak muda dan para ibu bapa di luar sana melihat bahawa IPT, sama ada universiti mahupun politeknik, adalah jalan masa depan yang penting. Yang tidak boleh dielakkan.
  1. Kerana, pendidikan tahap sekolah menengah masih bersifat terlalu asas dan permulaan. Di IPT lah, ilmu dan kemahiran yang diperlukan dalam kehidupan akan diajar.
  1. Atas kesedaran itu, KPT telah membuat beberapa penyelarasan dan inisiatif baharu yang radikal. Inisiatif yang kita susun agar minat dan akses ke IPT menjadi lebih murah, mudah dan meningkat.
  1. Dan hari ini, saya suka untuk kongsikan beberapa inisiatif dan perubahan dasar yang telah dan sedang kita laksanakan.
  1. Pertama, KPT akan memperkenalkan sistem pembelajaran hibrid dan anjal.
  1. Pembelajaran secara hibrid dan jadual anjal ini bermakna, selepas ini, para pelajar akan menghadiri kuliah di universiti hanya pada tahun pertama dan tahun akhir sahaja.
  1. Pada tahun-tahun di pertengahannya, pelajar akan diberi pilihan dan keanjalan untuk mengikuti pengajian dari rumah, tanpa perlu hadir secara fizikal di kelas.
  1. Maksudnya, mahasiswa boleh menghadiri kuliah secara dalam talian sahaja.
  1. Melalui inisiatif ini, bukan sahaja mahasiswa boleh menyusun aktiviti mereka dengan lebih fleksibel.
  1. Ia akan memberi beberapa kelebihan seperti, dapat mengurangkan jumlah pinjaman dan kos pendidikan, membuka ruang untuk mahasiswa bekerja atau melakukan perkara-perkara yang memerlukan mereka untuk tidak berada di kampus.
  1. Dan saya suka untuk memaklumkan bahawa setakat ini, sudah sebanyak 95 Program Pengajian Ijazah Sarjana Muda daripada 19 Universiti Awam bersedia melaksanakan pembelajaran anjal bermula dengan kemasukan Sesi Akademik 2023/2024.
  1. Yang kedua, kita akan memendekkan tempoh pengajian sesetengah program daripada 4 tahun kepada hanya 3 tahun.
  1. KPT sentiasa mengemas kini program dan jurusan yang ditawarkan oleh IPT di seluruh negara. Kita mahu program dan jurusan tersebut disusun dengan cara terbaik dan menguntungkan semua pihak.
  1. Atas dasar itu, sebanyak 44 program pengajian dari 9 IPT telah dikenal pasti untuk dipendekkan tempoh pengajiannya.
  1. Sekali lagi, pemendekan tempoh pembelajaran ini akan boleh mengurangkan jumlah pinjaman atau kos pengajian yang perlu ditanggung. Pada masa yang sama, ia membuka peluang untuk graduan memasuki pasaran kerja setahun lebih awal.

Hadirin Hadirat yang saya kasihi sekalian,

  1. Berdasarkan maklumat dan pemerhatian Kementerian, terdapat anak-anak daripada golongan B40 yang memperoleh keputusan yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mahupun Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), namun tidak berpeluang meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi akibat kekangan kewangan dan peluang.
  1. Perkara ini adalah sesuatu yang sangat kita kesalkan. Dan KPT nekad memastikan tragedi seperti ini tidak berulang lagi.
  1. Justeru, perkara ketiga yang ingin saya umumkan adalah berkenaan dengan inisiatif KPT dalam memastikan wakil pertama dari keluarga B40 yang berjaya memasuki IPT menerima bantuan dan sokongan yang selayaknya.
  1. Inisiatif khas ini dikenali sebagai Program Pembangunan Siswa Sulung atau ringkasnya SULUNG dan telah dimulakan pada tahun lalu.
  1. Program SULUNG ini mensasarkan wakil pertama dari keluarga B40 yang berjaya diterima masuk ke universiti. Mereka yang dikenal pasti ini akan dikecualikan sepenuhnya bayaran yuran pengajian.
  1. Dan saya suka untuk mengumumkan bahawa bagi tahun 2023 ini, seramai 10 ribu mahasiswa yang merupakan wakil pertama dari keluarga B40 akan dikecualikan sepenuhnya yuran pengajian di semua 20 universiti awam.
  1. Inisiatif ini akan memberi implikasi kewangan keseluruhan sebanyak kira-kira RM30 juta kepada semua universiti awam.
  1. Semoga dengan inisiatif ini, wakil pertama dari keluarga B40 yang berjaya memasuki IPT akan dapat mengikuti pengajian tinggi dengan selesa, tenang dan berprestasi tinggi.

Hadirin Hadirat yang saya kasihi sekalian,

  1. Sebelum ini, kita tahu tentang pelbagai program asasi yang ada di seluruh negara. Tetapi kebanyakannya mengumpulkan penuntut dari pelbagai bidang dan tidak menjurus secara khusus kepada program TVET.
  1. Justeru, sebagai inisiatif keempat, KPT buat pertama kalinya akan memperkenalkan Program Asasi TVET.
  1. Ini bermakna, bermula pada tahun ini, para pemohon program TVET yang berjaya, akan ditempatkan di salah satu daripada 5 Pusat Asasi TVET terpilih yang akan dibuka di seluruh negara.
  1. Pusat-pusat Asasi TVET tersebut adalah Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) yang akan bekerjasama dengan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail (PTSN) yang akan bekerjasama dengan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Politeknik Merlimau Melaka (PMM) yang akan bekerjasama dengan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM), Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) yang akan bekerjasama dengan Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Politeknik Ungku Omar (PUO) yang akan menjadi pusat asasi TVET bersama kepada 4 buah universiti teknikal.
  1. Ini bukan sahaja satu pengiktirafan khusus kepada program-program TVET, malah ia adalah satu laluan yang sistematik dan jelas bagi peringkat ijazah.
  1. Selain membuka Pusat Asasi khas untuk jurusan TVET yang akan bekerjasama secara khusus dengan universiti teknikal di seluruh negara, sebagai inisiatif kelima, KPT bersama-sama dengan Jabatan Politeknik Dan Kolej Komuniti sedang memuktamadkan proses bagi membolehkan pengambilan pemegang-pemegang sijil kemahiran dari semua jenis institusi kemahiran untuk menyertai Politeknik.
  1. Bukan sahaja laluan kemasukan akan dipermudah, malah, para pemegang sijil kemahiran di seluruh negara yang menyertai politeknik akan berpeluang menikmati pemindahan kredit atau melompat terus ke tahun kedua pengajian.
  1. Inisiatif ini merupakan pelebaran dasar sedia ada yang sudah membenarkan lepasan politeknik untuk menikmati pemindahan kredit dan melompat terus ke tahun kedua apabila menyambung pelajaran di peringkat ijazah di universiti-universiti teknikal.
  1. Ini bermakna, ekosistem kita semakin memihak kepada pelajar TVET dan pemegang sijil.
  1. Sebagai pemegang sijil, mereka berpeluang melompat terus ke tahun kedua apabila memasuki Politeknik. Dan apabila tamat politeknik, mereka boleh pula melompat terus ke tahun kedua di universiti-universiti teknikal.
  1. Kita harap dasar dan sistem ini akan menjadi insentif dan motivasi yang menarik kepada anak muda khususnya ramai pemegang sijil untuk melanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi dalam bidang TVET.

Hadirin dan hadirat sekalian,

  1. Saya ingin menegaskan bahawa pendidikan tinggi adalah tanggungjawab kita bersama. Ia adalah agenda nasional. Maka, semua pihak mesti tampil untuk membantu KPT.
  1. Syarikat telekomunikasi, sistem pengangkutan awam, pengusaha makanan dan kafeteria, pemain industri, semuanya mesti bersama-sama membantu KPT.
  1. Saya ingin menyeru semua pihak, wujud dan perkenalkanlah pelbagai promosi, pakej serta pelan-pelan yang memberi kelebihan dan manfaat kepada mahasiswa.
  1. Kita mesti bersama-sama berusaha membangunkan satu ekosistem yang bersifat pro-mahasiswa. Agar anak muda berebut-rebut dan berbangga menjadi mahasiswa.
  1. Sesungguhnya, mahasiswa adalah masa depan kita. Dan pendidikan tinggi mesti menjadi pelaburan terbaik bangsa.
  1. Kepada semua para pengunjung, khususnya ibu bapa, tahniah kerana hadir. Tahniah kerana mengutamakan pendidikan tinggi. Tahniah kerana tidak terpengaruh dengan ajakan di luar sana yang mahu mengambil jalan pintas dalam hidup. Saya ucapkan selamat maju jaya kepada semua.
  1. Akhir kata, syabas dan tahniah saya zahirkan di atas komitmen dan kerjasama yang diberikan oleh JPT, UA, JPPKK, ILKA, IPTS, MQA dan PTPTN serta semua yang turut bersama-sama terlibat dalam menjayakan Jom Masuk U 2023.
  1. DENGAN LAFAZ ”BISMILLAHIR RAHMAN NIRRAHIM” MERASMIKAN PROGRAM PENUTUP JOM MASUK U 2023.
  1. Sekian, wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih.

Muat Turun:

pdf Teks Ucapan YB Menteri Pendidikan Tinggi Majlis Penutupan Program Jom Masuk U 2023.pdf (111 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 12038
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 14 June 2024, 19:20:56.