English translation not available for this content.
logo kpt black

TEKS UCAPAN

YB. DATO’ SERI MOHAMED KHALED NORDIN
MENTERI PENDIDIKAN TINGGI

MAJLIS APRESIASI ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG
KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI TAHUN 2022

1 JUN 2023


Tuan-tuan dan puan-puan warga KPT yang saya hormati,

  1. Alhamdulillah, marilah kita menzahirkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, dapat kita bersama-sama pada hari yang bermakna ini, bagi meraikan acara yang sentiasa ditunggu-tunggu pada setiap tahun iaitu Majlis Apresiasi Kecemerlangan, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
  1. Saya amat berbesar hati dapat bersama-sama meraikan kakitangan kementerian yang telah mempamerkan kecemerlangan dan prestasi baik pada tahun lalu.
  1. Setinggi-tinggi ucapan terima kasih saya ucapkan atas segala komitmen, dedikasi, disiplin serta kesungguhan yang dipamerkan.
  1. Sememangnya, pihak kementerian, malah mana-mana sahaja organisasi, akan sangat terhutang budi pada setiap warganya yang bekerja dengan cemerlang.
  1. Tanpa kakitangan yang cemerlang, bukan sahaja dasar dan perancangan yang baik tidak akan dapat dijalankan. Malah, operasi dan perjalanan urusan harian kementerian, sudah pasti tidak akan menjadi lancar.
  1. Jadi, pada kesempatan ini, saya ingin mengambil peluang yang ada untuk menegaskan beberapa perkara.
  1. Pertama, kakitangan kementerian adalah tunggak utama kejayaan kementerian.
  1. Pada awal tahun ini, semasa menyampaikan Perutusan Tahun Baharu 2023 KPT, salah satu daripada 11 azam yang saya zahirkan adalah untuk menilai prestasi kementerian ini secara keseluruhan. Dan melihat di mana kedudukan kita berbanding yang lain.
  1. Ini kerana, Kementerian ini tidak akan dapat mempamerkan prestasi yang cemerlang jika warganya tidak cemerlang.
  1. Dan sebagai warga KPT, kita mesti sedar bahawa kementerian ini adalah satu kementerian yang sangat kritikal. Kita menggalas amanah negara yang sangat besar.
  1. Tugas kita adalah memastikan lahirnya generasi bangsa yang berilmu, berkemahiran, matang dan berdaya saing. Dan ini bukan satu tugas yang kecil dan mudah.
  1. Malah, kalau kita lihat trend semasa, semua perkara yang berlaku dalam negara kita, akhirnya akan dipulangkan kepada KPT.
  1. Jumlah penganggur meningkat, cari KPT.
  1. Gaji pekerja kecil dan tidak berpatutan, cari KPT.
  1. Pelajar sekolah lebih gemar menjadi influencer dan Grab rider, cari KPT.
  1. Malah, pelbagai perkara lain yang menjadi isu masyarakat, kebanyakannya akan dikaitkan dengan KPT.
  1. Kita harus mengambil semua ini sebagai satu cabaran secara positif.
  1. Itu semua bermakna, Kerajaan dan masyarakat sekeliling melihat KPT ini sebagai kementerian yang penting. Kementerian yang menentukan masa depan negara. Dan kementerian yang mesti berupaya memberi kebaikan dan kesejahteraan kepada masyarakat.
  1. Jadi, dengan segala expectation yang menggunung kepada KPT ini, kita semua selaku warga KPT tidak boleh tidak, mesti mempamerkan prestasi yang cemerlang.
  1. Kita tidak ada masa untuk membuat kesilapan. Kita tidak ada masa untuk berlengah. Kita mesti bergerak secara cekap dan pantas demi negara.
  1. Untuk itu, kita mesti bekerja sebagai satu kumpulan. Kita mesti menjadi satu pasukan yang kuat dan cekap. Dan kita mesti memahami secara bersama-sama misi dan hala tuju kementerian ini.
  1. Pada masa yang sama, kita mesti memberi nilai kepada apa yang kita kerjakan. Tidak boleh sekadar bekerja seperti melepaskan batok di tangga. Tidak sekadar ‘asalkan ada’ atau ‘asalkan siap’.
  1. Kita mesti proaktif dan mengambil inisiatif untuk memberi lebih daripada apa yang diminta.
  1. Kerana Malaysia Madani yang dibawakan oleh YAB Perdana Menteri adalah tentang memberi nilai dan makna pada perkara yang kita usahakan.
  1. Namun, saya akui. Untuk mengharapkan warga KPT menjadi cemerlang, cekap dan berkebolehan tanpa menyediakan insentif, latihan dan sokongan, adalah tidak adil.
  1. Justeru, perkara kedua yang ingin saya tekankan adalah betapa penting untuk KPT mempunyai pelan pembangunan bakat dan pembinaan kapasiti yang baik.
  1. Untuk menjadi cekap, berkemahiran, profesional dan cemerlang, kakitangan kementerian mesti sentiasa dilatih.
  1. Pendedahan terhadap ilmu dan perkembangan baharu mesti dijadikan budaya.
  1. Dalam dunia yang pantas berubah ini, apa yang kita tahu semalam dan hari ini, akan menjadi tidak relevan atau ketinggalan dalam sekelip mata.
  1. World Economic Forum pada bulan lalu baru sahaja menerbitkan The Future of Jobs Report 2023.
  1. Di dalam laporan tersebut, disebut bahawa dalam tempoh 5 tahun akan datang, kira-kira 41% daripada tenaga kerja yang ada di dalam industri mesti dilatih semua.
  1. Walau pun laporan tersebut menyebut secara khusus pekerja industri, saya percaya bahawa keperluan tersebut turut terpakai kepada kakitangan kementerian dan sektor awam.
  1. Perkembangan sektor pendidikan tinggi dan sistem penyampaian secara umumnya, menuntut agar warga kementerian menjadi kakitangan yang cakna dan berkebolehan.
  2. Atas dasar itu, saya menyarankan agar pengurusan Kementerian memandang serius keperluan untuk sentiasa memberikan latihan terbaik kepada warga KPT.
  1. Dan latihan atau pembangunan kapasiti ini tidak semestinya dilakukan dengan agensi kerajaan. Tetapi dengan mana-mana sahaja yang berprestasi tinggi. Sama ada NGO, sektor korporat, gerakan sivil. Sama ada dari dalam atau luar negara.
  1. Yang penting, kita mesti sentiasa belajar dari semua pihak. Dan, kita mesti belajar dari yang terbaik.

Tuan-tuan dan puan-puan,

  1. Perkara ketiga yang ingin saya tegaskan adalah keperluan untuk kementerian mengadaptasi dan mengangkat teknologi.
  1. Kita sudah tidak boleh bergerak dan bekerja dengan cara lama.
  1. Sekarang ini zaman teknologi. Era digital. Era semua perkara dilakukan seiring dengan kecanggihan teknologi.
  1. Sama ada teknologi maklumat, aplikasi kecerdasan buatan, mahupun platform komunikasi. Semua itu mesti menjadi sebahagian dari pendekatan kita dalam memikul tugas perkhidmatan awam.
  1. Dengan teknologi, kecekapan kita akan dapat ditingkatkan. Ketirisan atau isu integriti dapat diperangi. Malah, kita akan berupaya menjimatkan sumber.
  1. Penggunaan big data dan analytics misalnya, akan membolehkan kita mengetahui dengan jelas, apakah aspek dalam kementerian dan dasar kita yang perlu diberikan perhatian dan ditambah baik.
  1. Keputusan kita, cara kerja kita, mesti disokong dengan data dan maklumat terkini. Dengan bantuan teknologi, kita boleh mendapat segala data dan maklumat yang diperlukan dengan pantas, mudah dan murah.
  1. Jika ini dilakukan, sudah pasti kita akan dapat memberi khidmat kepada masyarakat dengan lebih baik dan cekap.

Warga KPT yang saya hormati,

  1. Pengiktirafan yang kita beri pada hari ini adalah satu penegasan bahawa kita mementingkan kecemerlangan dan prestasi yang baik.
  1. Ini adalah satu penzahiran penghargaan oleh pihak kementerian kepada semua yang telah mempamerkan komitmen, disiplin serta kesungguhan dalam melunaskan amanah yang diberikan.
  1. Namun begitu, saya juga ingin tegaskan. Bukan sasaran kita untuk menerima penghargaan dan anugerah. Kesemua itu akhirnya hanyalah sebahagian sahaja dari ukuran kejayaan.
  1. Sebaliknya, yang harus kita sasarkan bersama adalah bagaimana memberikan yang terbaik dalam setiap yang kita lakukan.
  1. Hanya dengan meletakkan sasaran untuk memberikan yang terbaik, kecemerlangan akan terhasil dan kerja sepasukan akan menjadi budaya.
  1. Jadi, marilah kita semua selepas ini, memberikan yang terbaik. Dan bekerja bersama-sama. Untuk KPT, untuk bangsa, agama dan pastinya untuk negara.
  1. Sekali lagi, sekalung tahniah saya ucapkan kepada semua penerima anugerah pada hari ini.
  1. Semoga anugerah pencapaian cemerlang yang diberikan hari ini akan terus membakar semangat semua penerima untuk bekerja dengan lebih kuat. Dan semoga ia akan menjadi satu motivasi kepada semua yang lain untuk meningkatkan kecemerlangan dalam khidmat masing-masing.
  1. Terima kasih saya ucapkan kepada semua yang bekerja keras untuk KPT. Saya sangat menghargainya.
  1. Syabas dan tahniah kepada Bahagian Pengurusan Sumber Manusia KPT, jabatan dan agensi serta seluruh jawatankuasa yang terlibat bagi pelaksanaan penganugerahan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2022 ini.
  1. Sekian, wabillahitaufik walhidayah. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Muat Turun:

pdf Teks Ucapan YB Menteri Pendidikan Tinggi Majlis Apresiasi Kecemerlangan KPT Tahun 2022.pdf (151 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 8735
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Tuesday 18 June 2024, 16:17:02.