English translation not available for this content.
logo kpt black

SOALAN LAZIM

KEMASUKAN PELAJAR INSTITUSI PENDIDIKAN TINGGI (IPT)
SECARA FIZIKAL BAGI SESI AKADEMIK TAHUN 2021/2022
BERMULA PADA MAC 2022


UMUM

1. Bilakah tarikh kemasukan pelajar secara fizikal di IPT?

Kemasukan pelajar secara fizikal ke IPT adalah secara berperingkat bermula pada Mac 2022 melibatkan 70% hingga 100% pelajar mengikut kapasiti IPT masing-masing.

2. Siapakah pelajar yang dibenarkan kembali ke kampus?

70% hingga 100% pelajar IPT yang dibenarkan kembali ke kampus adalah:

  • pelajar tempatan dan antarabangsa yang telah lengkap divaksin;
  • pelajar tempatan yang belum lengkap divaksin;
  • pelajar tempatan yang tidak boleh divaksin atas sebab kesihatan; dan
  • pelajar tempatan yang layak divaksin tetapi memilih untuk tidak menerima vaksin

Kemasukan pelajar-pelajar ini ke kampus perlulah selaras dengan panduan Strategi Pengujian COVID-19 Kebangsaan yang dikeluarkan oleh KKM serta dengan pengukuhan SOP oleh IPT.

3. Adakah pelajar yang masih belum lengkap divaksin atau tidak divaksin dibenarkan kembali ke kampus? 

Ya. Walau bagaimanapun, kemasukan pelajar-pelajar ini ke IPT perlu mematuhi prosedur ditetapkan oleh KKM berdasarkan panduan Strategi Pengujian COVID-19 Kebangsaan serta dengan pengukuhan SOP oleh IPT. Pelajar antarabangsa yang ingin kembali ke kampus (sama ada pelajar sedia ada atau baharu) mestilah telah lengkap divaksin.

4. Apakah yang dimaksudkan dengan pengukuhan SOP ke atas pelajar tempatan yang tidak lengkap divaksin atau tidak divaksin?

Pengukuhan SOP oleh IPT ke atas pelajar tempatan yang masih tidak lengkap divaksin dan tidak divaksin (atas  sebab kesihatan) merujuk kepada:

  • Pelaksanaan Ujian RTK-Ag sekali sebelum kembali ke kampus (selepas cuti panjang termasuk cuti penggal dan cuti umum);
  • Pelaksanaan Ujian RTK-Ag secara berkala (seminggu sekali); dan
  • Pelaksanaan Ujian RTK-Ag sekiranya bergejala.

Bagi individu yang tidak boleh divaksin atas sebab kesihatan, mereka perlu mengemukakan laporan perubatan yang telah disahkan oleh pengamal perubatan berdaftar.

Manakala Pengukuhan SOP oleh IPT ke atas pelajar tempatan tidak divaksin (memilih untuk tidak menerima vaksin) merujuk kepada:

  • Pelaksanaan Ujian RT-PCR sekali tiga (3) hari sebelum kembali ke kampus (selepas cuti panjang termasuk cuti penggal dan cuti umum);
  • Pelaksanaan Ujian RTK-Ag berkala (seminggu sekali); dan
  • Pelaksanaan Ujian RTK-Ag sekiranya bergejala.

5. Siapakah yang bertanggungjawab untuk mengenal pasti pelajar yang perlu kembali ke kampus?

Pihak IPT bertanggungjawab untuk mengenal pasti pelajar yang perlu kembali ke kampus.

6. Adakah pelajar diberi pilihan untuk kembali ke kampus mulai Mac 2022 bagi sesi akademik tahun 2021/2022?

Pelajar yang telah dikenal pasti untuk pulang ke kampus mulai Mac 2022 bagi sesi akademik tahun 2021/2022 boleh memilih untuk tidak kembali ke kampus dan meneruskan aktiviti PdP secara dalam talian di rumah bagi kursus pengajian yang tidak mempunyai sebarang aktiviti PdP secara fizikal.

Pelajar-pelajar ini perlu mematuhi ketetapan yang telah ditentukan oleh IPT untuk memenuhi syarat-syarat graduasi dan perkara ini juga tertakluk kepada budi bicara pengurusan IPT masing-masing.

7. Apakah yang dimaksudkan dengan pelajar yang lengkap divaksin?

Pelajar yang lengkap divaksin merujuk kepada individu yang telah memenuhi kriteria-kriteria berikut:

  • Bagi jenis vaksin yang memerlukan dua dos suntikan (seperti Comirnaty (Pfizer-BioNTech), COVID-19 AstraZeneca (Oxford-AstraZeneca), CoronaVac (Sinovac), Spikevax (Moderna) dan Covilo (Sinopharm), individu berkenaan mestilah telah melepasi hari ke-14 dari tarikh suntikan dos kedua; atau
  • Bagi jenis vaksin yang hanya memerlukan satu dos suntikan (seperti COVID-19 Janssen (Johnson & Johnson) dan Convidecia (CanSino), individu berkenaan mestilah telah melepasi hari ke-28 dari tarikh suntikan.

        ** Definisi ‘lengkap divaksin’ tertakluk kepada arahan terkini pihak Kerajaan dari semasa ke semasa.

 

AKTIVITI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN (PdP)

8. Bagaimana dengan kaedah pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bagi kemasukan pelajar mulai Mac 2022?

Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) akan dilaksanakan mengikut kesesuaian kursus pengajian melalui tiga (3) kaedah iaitu sama ada secara:

  • bersemuka secara fizikal sepenuhnya;
  • dalam talian sepenuhnya; atau
  • hibrid (bersemuka dan dalam talian).

Walaupun berada di kampus, terdapat kursus pengajian yang akan diikuti secara dalam talian semasa pelajar berada di kampus.

9. Adakah IPT boleh memilih untuk terus laksanakan PdP sepenuhnya secara dalam talian?

IPT BOLEH memilih untuk terus laksanakan PdP sepenuhnya secara dalam talian berdasarkan kesesuaian program.

10. Adakah aktiviti makmal atau aktiviti penyelidikan/ bengkel dibenarkan?

Boleh, dengan syarat kapasiti penggunaan makmal/kapasiti ruangan adalah mengikut SOP yang ditetapkan.

UJIAN SARINGAN COVID-19

11. Adakah pelajar diwajibkan untuk menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum kembali ke kampus?

Ya. Selaras dengan panduan Strategi Pengujian COVID-19 Kebangsaan yang dikeluarkan oleh KKM dan Pengukuhan SOP oleh IPT:

  • Pelajar yang lengkap divaksin, tidak lengkap divaksin dan tidak divaksin (atas sebab kesihatan) perlu menjalani ujian RTK-Ag Kendiri sebelum kembali ke kampus (selepas cuti panjang termasuk cuti penggal dan cuti umum); dan
  • Pelajar yang tidak divaksin (memilih untuk tidak menerima vaksin) perlu menjalani ujian RT-PCR tiga (3) hari sebelum kembali ke kampus (selepas cuti panjang termasuk cuti penggal dan cuti umum).

12. Adakah pelajar yang telah lengkap divaksin perlu menjalani ujian RTK-Ag Kendiri secara berkala?

Tidak perlu. Walau bagaimanapun, selaras dengan panduan Strategi Pengujian COVID-19 Kebangsaan yang dikeluarkan oleh KKM, pelajar tersebut perlu menjalani ujian RTK-Ag Kendiri sekali sebelum kembali ke kampus (selepas cuti panjang termasuk cuti penggal dan cuti umum) dan sekiranya bergejala.

13. Bagi pelajar luar kampus yang tidak lengkap divaksin atau tidak divaksin (atas  sebab kesihatan atau memilih untuk tidak menerima vaksin) tetapi ingin mengikuti PdP secara bersemuka di premis IPT, adakah pelajar tersebut perlu menjalani ujian saringan COVID-19 setiap kali masuk ke kampus?

Tidak perlu. Sila rujuk jawapan no. 4.

14. Adakah pelajar yang bergejala perlu menjalani ujian saringan COVID-19?

Ya. Pelajar yang bergejala perlu menjalani ujian RTK-Ag Kendiri dan ditempatkan di Pusat Pengasingan yang disediakan oleh IPT bagi memantau tahap kesihatan pelajar.

15. Siapakah yang menanggung kos ujian saringan COVID-19 ke atas pelajar?

Semua kos ujian saringan COVID-19 ke atas pelajar adalah ditanggung oleh pelajar sendiri.

PUSAT PENGASINGAN DAN KUARANTIN

16. Adakah IPT perlu mendapatkan kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia ataupun Majlis Keselamatan Negara bagi mewujudkan zon Pusat Pengasingan di dalam IPT?

Tidak perlu. Pusat Pengasingan adalah bukan seperti Pusat Kuarantin. Pusat Pengasingan merupakan fasiliti yang disediakan oleh IPT sebagai zon pengawasan bagi memantau tahap kesihatan pelajar bergejala/ positif.

 

LAIN-LAIN PERKARA

17. Adakah IPT wajib melaksanakan ujian saringan suhu?

Tidak perlu. Ini adalah selaras dengan pengumuman oleh Kerajaan mengenai pemansuhan SOP pemeriksaan suhu bermula 11 Februari 2022.

18. Bagaimana sekiranya pelajar yang tiba di kampus bergejala?

Pelajar tersebut akan dirujuk ke Pusat Kesihatan Universiti/ Klinik/ Hospital berdekatan untuk menjalani saringan kesihatan yang lebih komprehensif atau menjalani ujian COVID-19 sekiranya keadaan memerlukan. IPT perlu menyediakan pusat pengasingan/ kuarantin bagi tujuan tersebut.

19. Apakah langkah keselamatan yang harus diambil oleh pelajar yang tinggal di luar kampus/ rumah sewa?

Pelajar luar kampus yang telah lengkap proses vaksinasi perlu menjalani saringan kesihatan dan menunjukkan Sijil Digital Vaksinasi semasa memasuki kampus. Selain itu, pelajar yang tinggal di luar kampus/ rumah sewa perlu mematuhi langkah-langkah pengukuhan SOP yang digariskan.

20. Adakah pelajar wajib menggunakan aplikasi MySejahtera di kampus?

Ya. Pelajar wajib menggunakan aplikasi MySejahtera semasa pulang ke kampus untuk tujuan contact tracing oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Walau bagaimanapun, pelajar juga perlu mematuhi keperluan penggunaan aplikasi selain MySejahtera yang diwajibkan oleh IPT masing-masing.

PELAJAR ANTARABANGSA

21. Apakah kategori pelajar antarabangsa yang dibenarkan masuk ke Malaysia?

Kemasukan pelajar antarabangsa yang telah lengkap vaksin ke Malaysia adalah dibenarkan bagi kategori berikut:

  • Semua pelajar antarabangsa sedia ada dan baharu kecuali dari negara yang disekat;
  • Pelajar program Mobiliti dan Edutourism.

Semua tanggungan kepada pelajar antarabangsa yang sah kecuali dari negara yang disekat adalah dibenarkan masuk ke Malaysia.

Semua pelajar antarabangsa yang telah tamat tempoh sah Visa dan Pas Pelajar dan pelajar baharu perlu mengemukakan permohonan kebenaran masuk ke Malaysia untuk kelulusan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia melalui Education Malaysia Global Services (EMGS).

22. Apakah langkah-langkah yang perlu diambil oleh pelajar antarabangsa yang telah tamat tempoh sah Visa dan Pas Pelajar dan pelajar baharu sebelum pergerakan kembali ke Malaysia jika dibenarkan masuk ke Malaysia?

  • Pelajar antarabangsa dan tanggungan hendaklah telah lengkap vaksin COVID-19;
  • Kemukakan permohonan kebenaran kemasukan (MyTravelPass) melalui sistem Education Malaysia Global Services (EMGS) di pautan: educationmalaysia.gov.my;
  • Terima surat kelulusan kemasukan yang telah diluluskan oleh Ketua Pengarah Imigresen (KPI);
  • Menjalani ujian pengesanan RT-PCR COVID-19 empat puluh lapan (48) jam sebelum berlepas ke Malaysia dengan keputusan negatif;
  • Memuat turun aplikasi MySejahtera di telefon pintar dan lengkapkan semua maklumat yang diperlukan satu (1) hari sebelum ketibaan;
  • Membuat bayaran caj ujian pengesanan COVID-19 secara dalam talian (online) melalui sistem MySafeTravel/ Aplikasi MyQr oleh MyEG di pautan myeg.gov.my dan mengemukakan pengesahan pembayaran di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA); dan
  • Mempamerkan surat kebenaran kemasukan semasa mendaftar masuk.

23. Apakah maklumat - maklumat yang diperlukan sebelum mengemukakan permohonan kemasukan?

Pelajar dan tanggungan adalah dikehendaki untuk mengemukakan maklumat– maklumat seperti berikut:

  • Nama Penuh;
  • Warganegara;
  • Nombor Passport;
  • Institusi Pendidikan Tinggi;
  • Maklumat Pengajian;
  • Nombor Telefon;
  • Emel;
  • Lokasi Keberadaan Pelajar (negara semasa);
  • Tarikh dan Maklumat Penerbangan;
  • Borang persetujuan untuk menanggung kos rawatan dan lain-lain kos berkaitan sekiranya positif COVID-19;
  • Sijil vaksinasi; dan
  • Lain-lain maklumat berkaitan yang diperlukan dari semasa ke semasa.

24. Adakah pelajar dibenarkan membuat permohonan kemasukan ke Malaysia terus kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM)?

Tidak. Semua permohonan kemasukan ke Malaysia perlu mendapat pengesahan KPT melalui EMGS. Pelajar antarabangsa di IPT Negeri Sabah dan Sarawak adalah perlu merujuk pihak IPT masing-masing untuk prosedur terkini yang telah diwartakan oleh kerajaan Negeri dan JIM Negeri.

25. Adakah pelajar dan tanggungan perlu menjalani Ujian Saringan COVID-19 di negara asal sebelum kemasukan ke Malaysia?

Pelajar dan tanggungan wajib membuat ujian pengesanan RT-PCR COVID-19 empat puluh lapan (48) jam dengan keputusan negatif sebelum berlepas ke Malaysia dan laporan ujian tersebut perlu ditunjukkan kepada pegawai bertugas di PMA semasa ketibaan.

26. Adakah Laporan Ujian Saringan COVID-19 perlu diterjemahkan ke Bahasa Inggeris?

Ya. Hanya Laporan Ujian Saringan COVID-19 yang diterjemahkan dalam Bahasa Inggeris diterima bagi tujuan pemeriksaan pihak berkuasa semasa ketibaan di Malaysia.

27. Adakah Keputusan Ujian Saringan COVID-19 yang melebihi empat puluh lapan (48) jam sebelum tarikh berlepas diterima di Pintu Masuk Antarabangsa?

Tidak. Keputusan Ujian Saringan COVID-19 yang melebihi empat puluh lapan (48) jam sebelum tarikh berlepas tidak sah.

Pelajar diwajibkan untuk membuat ujian pengesanan COVID-19 (RT-PCR) dalam masa empat puluh lapan (48) jam sebelum berlepas ke Malaysia.

28. Adakah pelajar yang kembali dari luar negara perlu menjalani kuarantin wajib sebelum kembali ke kampus?

Ya. Semua pelajar dari luar negara dikehendaki menjalani kuarantin wajib di IPT atau dipertimbangkan  permohonan kuarantin di rumah atau tempat kediaman (sekiranya ada) dengan kebenaran KKM atau di fasiliti kuarantin yang telah diwartakan, iaitu sama ada lima (5) hari bagi kategori lengkap vaksinasi dengan dos penggalak atau tujuh (7) hari bagi kategori lengkap vaksinasi.

29. Bila Ujian Saringan COVID-19 akan dilaksanakan?

Pelajar perlu menjalani Ujian Saringan RT-PCR COVID-19 empat puluh lapan (48) jam sebelum ketibaan di Malaysia dan akan menjalani saringan kesihatan sekali lagi di Kaunter Saringan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di PMA semasa tiba di Lapangan Terbang.

Pelajar hanya dibenarkan masuk ke Kaunter Pemeriksaan Jabatan Imigresen Malaysia setelah selesai Ujian Saringan COVID-19 dan pelajar tidak menunjukkan gejala. Ujian RT-PCR seterusnya pada hari ke-4 ATAU RTK-Ag yang diselia oleh petugas kesihatan pada hari ke-5 untuk pelajar yang tempoh kuarantinnya adalah lima (5) hari.

Bagi pelajar yang menjalani kuarantin selama tujuh (7) hari, ujian RT-PCR pada hari ke-5 ATAU RTK-Ag yang diselia oleh petugas kesihatan pada hari ke-7.

30. Adakah implikasi kos Ujian Saringan COVID-19 ditanggung oleh kerajaan?

Tidak. Semua implikasi kos Ujian Saringan COVID-19 semasa urusan kemasukan ke Malaysia dan sehingga tamat tempoh kuarantin perlu ditanggung oleh pelajar.

31. Apakah tanggungjawab pelajar semasa menjalani tempoh kuarantin?

Pelajar perlu memastikan perkara berikut:

  • Pelajar menjalani ujian saringan seterusnya:
    1. Pelajar yang menjalani tempoh kuarantin selama 5 hari akan mengambil ujian saringan RT-PCR COVID-19 pada hari ke-4 ATAU RTK-Ag yang diselia oleh petugas kesihatan pada hari ke-5; dan
    2. Pelajar yang dilanjutkan tempoh kuarantin selama 7 hari lagi akan menjalani ujian saringan RT-PCR COVID-19 pada hari ke-5 ATAU RTK-Ag yang diselia oleh petugas kesihatan pada hari ke-7.
  • Pelajar perlu membuat penilaian kendiri setiap hari melalui Home Assessment Tool dalam aplikasi MySejahtera selama tempoh kuarantin dari tarikh ketibaan.

32. Apakah tanggungjawab IPT semasa pelajar menjalani tempoh kuarantin?

IPT perlu memastikan perkara berikut: 

  • IPT perlu mengenal pasti lokasi kuarantin pelajar masing-masing; dan
  • IPT perlu membuat perancangan yang teliti bagi memastikan urusan pengambilan pelajar dari Stesen Kuarantin ke IPT masing-masing berjalan dengan lancar dan teratur.

 33. Adakah kos kuarantin ditanggung oleh kerajaan?

Tidak. Semua implikasi kewangan ditanggung oleh pelajar.

34. Berapakah jangkaan kos yang perlu dibayar oleh pelajar?

CAJ BAGI UJIAN PENGESANAN COVID-19 DI PINTU MASUK ANTARABANGSA DAN FASILITI KKM

 

UJIAN PENGESAHAN COVID-19

FI

RT-PCR

RM250.00

 

KOS KUARANTIN

KOS PENGINAPAN/PENGOPERASIAN

FI

Caj Pengangkutan daripada PMA ke Hotel

Kadar caj kuarantin adalah tertakluk kepada caj yang dikenakan oleh pihak hotel

 

Ujian Saringan COVID-19 ulangan sebelum tamat kuarantin

 

Penginapan (bilik, makan/minum)

 

 

Pemantauan Kesihatan

 

 

35. Bilakah bayaran Ujian Saringan COVID-19 dan Kos Kuarantin perlu dijelaskan?

Tempahan dan bayaran terus Kos Kuarantin dengan pihak hotel sebelum berlepas ke Malaysia berserta bayaran Ujian Saringan COVID-19 yang boleh dibuat melalui pautan https://safetravel.myeg.com.my atau di kaunter pembayaran semasa ketibaan.

36. Adakah pelajar dibenarkan bergerak sendiri ke IPT selepas tamat tempoh kuarantin?

Tidak. Pelajar tidak dibenarkan bergerak ke IPT selepas tamat tempoh kuarantin tanpa pengawasan dan pemantauan IPT.

37. Adakah pelajar dibenarkan untuk memohon untuk menjalani kuarantin wajib di rumah atau tempat kediaman (Home Surveillance Order (HSO)?

Pelajar boleh dipertimbangkan permohonan untuk menjalani kuarantin wajib di rumah atau tempat kediaman bergantung kepada kelulusan KKM. Penilaian risiko akan dibuat bagi setiap permohonan yang diterima. Penilaian risiko ini mengambil kira penilaian status vaksin, risiko kebolehjangkitan COVID-19 serta kesesuaian rumah atau tempat kediaman sebagai tempat kuarantin.

Permohonan Home Surveillance Order (HSO) adalah di portal Home Quarantine Application (HQA) pada pautan, https://hso.moh.gov.my/outbreak-portal-hqa/index  empat (4) hingga sepuluh (10) hari sebelum tarikh ketibaan untuk kelulusan KKM.

38. Adakah pelajar antarabangsa yang tiba dari luar negara dan singgah (transit) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dibenarkan meneruskan penerbangan atau perjalanan ke negeri-negeri lain* di Malaysia?

Pelajar yang tiba dari luar negara dan singgah (transit) di KLIA dibenarkan meneruskan penerbangan atau perjalanan ke negeri-negeri lain* di Malaysia kecuali jika bergejala, dikesan positif COVID-19 atau kontak rapat kepada kes

positif.

*Untuk kemasukan ke Sabah, Sarawak dan Labuan, sila rujuk prosedur terkini Kerajaan Negeri masing-masing

39. Bagaimana pula dengan pelajar antarabangsa yang tiba dari luar negara dan singgah (transit) di KLIA serta tidak mempunyai keputusan ujian pengesanan COVID-19 yang diperlukan untuk meneruskan perjalanan ke negara destinasi antarabangsa yang lain?

Pelajar antarabangsa tidak dibenarkan untuk menjalani ujian RT-PCR COVID-19 di KLIA. Keputusan ini dibuat berdasarkan situasi pandemik COVID-19 semasa negara ini dan kapasiti Pusat Rawatan COVID-19 Risiko Rendah (PKRC), hospital kerajaan serta swasta untuk merawat kes COVID-19 adalah terhad.

40. Apakah tindakan yang perlu diambil selepas pelajar antarabangsa selesai kuarantin wajib?

IPT dikehendaki mengambil pelajar antarabangsa yang telah tamat kuarantin wajib mereka dari Stesen Kuarantin (Hotel) dan menghantar pelajar ke kampus untuk meneruskan pengajian.

41. Adakah pelajar antarabangsa perlu mendapatkan surat pengesahan dari pihak Kedutaan sekiranya ingin meninggalkan Malaysia?

Tidak perlu. Pelajar antarabangsa dengan Pas Pelajar yang sah dibenarkan keluar Malaysia tanpa syarat dengan merujuk kepada arahan terkini daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

42. Bagaimanakah pelajar ingin membuat pengesahan Sijil Vaksin COVID-19 dari luar negara?

Pelajar perlu membuat pengesahan vaksinasi daripada KKM mengikut prosedur yang ditetapkan untuk mendapatkan sijil digital vaksinasi.

Sebarang maklumat atau pertanyaan lanjut, sila hubungi:

(i)         Pegawai Penyelaras di IPT masing-masing; atau

(ii)        Bilik Gerakan KPT di talian 03-8870 6777 / 6949 / 6623 / 6628.

Dokumen ini akan dikemaskini berdasarkan arahan terkini pihak Kerajaan dari semasa ke semasa.

KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI
14 FEBRUARI 2022

Muat Turun:

pdf FAQ - Kemasukan Pelajar IPT Mac 2022 (158 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 84030
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 24 May 2024, 17:03:21.