• Utama
  • Media
  • Teks Ucapan
  • Teks Ucapan Perasmian Sempena Majlis Pentauliahan AKRAB Siswa Politeknik Kementerian Pendidikan Tinggi Tahun 2016

Teks Ucapan Perasmian Sempena Majlis Pentauliahan AKRAB Siswa Politeknik Kementerian Pendidikan Tinggi Tahun 2016

Bismillahirrahmannirrahim
Assalammualaikum warahmatullahi wabaraqatuh
Salam Sejahtera
Salam 1Transformasi
Salam 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan

Terima kasih saudara/saudari Pengerusi Majlis

Yang Berbahagia,
Datuk Haji Mohlis bin Jaafar
Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik
Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia

Yang Berbahagia,
Dato' Dr. Abd Halim bin Mohd Hussin
Pengarah Bahagian Pengurusan Psikologi
Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia

Pengarah dan Wakil Pengarah Politeknik Malaysia

Ketua-ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar Politeknik Malaysia

Ketua-ketua Unit Psikologi dan Kerjaya Politeknik Malaysia

Dif-dif jemputan serta

Para Graduan dan Jurulatih Akrab Siswa Politeknik Malaysia yang diraikan


  1. Segala pujian dan kesyukuran dilafazkan kepada Tuhan kerana dengan izinNya kita dapat hadir pada majlis yang gilang-gemilang dan penuh bermakna ini iaitu Majlis Pentauliahan Akrab Siswa Politeknik Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia tahun 2016. Jutaan tahniah dan syabas kepada kepada semua tenaga penggerak yang komited menjayakan majlis ini dan diharapkan usaha anda menjadi agen penggerak kepada pelaksanaan Program Transformasi Perkhidmatan Awam.

    Tuan Puan yang dikasihi sekalian,

  2. Penggunaan pendekatan baharu dalam mengurus modal insan seperti penerapan aplikasi psikologi dan pelaksanaan Akrab Siswa merupakan satu langkah yang tepat dalam menjana modal insan pelajar politeknik secara lebih menyeluruh dan seterusnya menjadi pemangkin kepada kejayaan Program Transformasi Politeknik Malaysia.

  3. Akrab Siswa secara konsepnya membawa maksud Amanah, Komitmen, Rasional, Akhlak dan Bestari. Semua ini merupakan ciri-ciri penting yang perlu ada pada seorang rakan pembimbing. Tanpa ciri-ciri tersebut, peranan seseorang dalam menjalankan fungsi rakan pembimbing menjadi janggal dan tidak berkesan. Ciri-ciri tersebut seharusnya sentiasa diamalkan kerana warga pelajar politeknik bukan sahaja akan melihat Akrab Siswa sebagai individu yang mempunyai ilmu psikologi dan kaunseling bahkan sebagai role model yang boleh dicontohi.

  4. Sudah nyata bahawa Akrab Siswa memainkan peranan yang penting dalam membantu pihak politeknik masing-masing untuk membentuk sahsiah diri pelajar agar sentiasa memberi komitmen yang tinggi terhadap pencapaian akademik, penerapan nilai-nilai murni dan seterusnya menggilap potensi kerjaya rakan sebaya agar menjadi alumni Politeknik Malaysia yang disegani. Senario ini penting dalam memastikan pencapaian objektif kemahiran generik pelajar dan penyampaian perkhidmatan kompeten Politeknik Malaysia dipertingkatkan ke tahap yang dikehendaki oleh pihak Kerajaan serta stakeholders.

  5. Walaupun bilangan ahli Akrab Siswa yang telah ditauliahkan sejak tahun 2015 agak kecil berbanding jumlah keseluruhan pelajar di Politeknik Malaysia, namun saya berharap jika peranan Akrab Siswa dapat dioptimumkan sudah pasti mampu menjadi nadi kepada pelaksanaan transformasi dalam pemerkasaan kemahiran generik dalam kalangan pelajar politeknik. Hasrat ini sangat bertepatan dengan objektif penubuhan Akrab Siswa sendiri iaitu sebagai medium perantaraan untuk memberi dorongan kepada rakan sebaya di politeknik masing-masing agar dapat menjadi pelajar cemerlang sahsiah peribadi dan menjadi contoh output produk keluaran Politeknik Malaysia yang bernilai tinggi dalam pasaran kerjaya.

    Para hadirin sekalian,

  6. Pelaksanaan Akrab Siswa telah terbukti berupaya meningkatkan khidmat tolong bantu, kepuasan peribadi, kerjasama dalam pengukuhan pasukan dan pembangunan kepimpinan. Justeru, ahli-ahli Akrab Siswa diharapkan dapat berperanan membimbing rakan sebaya di politeknik masing-masing dari peringkat akar umbi bagi membantu mereka berdepan dengan masalah atau isu sebelum menjadi parah. Selanjutnya bagi isu-isu yang sukar, maka Akrab Siswa boleh merujuk rakan sebaya anda kepada Pegawai Psikologi yang profesional.

  7. Kepada semua Akrab Siswa, saya memohon agar memberi tumpuan dan komitmen yang tinggi dalam menjayakan transformasi ilmu dan seterusnya kepimpinan. Inilah masanya untuk kita memberi sumbang bakti, mencurah ilmu dan pengalaman dengan harapan suatu hari nanti perkhidmatan membimbing rakan sebaya di negara ini berada di tahap yang terbaik atau dalam kelasnya yang tersendiri. Saya juga mengharapkan agar pentauliahan Akrab Siswa akan menjadi satu medium dalam peningkatan prestasi pencapaian akademik pelajar, penyaluran kepakaran perkhidmatan menolongbantu, juga menjadi satu kaedah latihan pemantapan sahsiah diri yang diberi keutamaan dan pengiktirafan tinggi oleh Politeknik Malaysia.

  8. Harapan saya agar Bahagian Pengurusan Psikologi, Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia dan Bahagian Pembangunan Pelajar, Jabatan Pendidikan Politeknik boleh turut memperkasakan peranan Akrab Siswa melalui kerjasama strategik meningkatkan kepakaran perkhidmatan Akrab Siswa Politeknik Malaysia melalui kolaborasi dengan pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan badan-badan yang lain seperti IM4U, Majlis Belia Malaysia, Aman Palestin dan sebagainya. Melalui pendekatan kolaboratif yang dimantapkan dengan pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), saya percaya dan amat yakin semua pihak yang terlibat akan dapat memainkan peranan yang lebih bermakna serta mendatangkan hasil yang benar-benar memberi manfaat kepada kita semua. Seperti kata Benjamin Franklin :

    “If passion drives you, let reason hold the reins.”Benjamin Franklin

    Para Graduan dan Jurulatih Akrab Siswa yang diraikan,

  9. Besarlah harapan saya semoga semua pelajar dan Pegawai Psikologi yang menerima tauliah pada hari ini beroleh manfaat hasil daripada siri latihan yang telah diikuti bagi setiap zon Politeknik masing-masing. Sesuai dengan peranan sebagai rakan pembimbing, Akrab Siswa semestinya menjadi contoh terbaik sama ada dari segi cara kerja atau pun etos dan pembudayaan nilai murni. Syabas dan tahniah kepada barisan urus setia dan para peserta program Akrab Siswa dari seluruh negara yang dapat hadir pada hari ini, terutama kepada para Pegawai Psikologi yang telah bertungkus lumus berpadu tenaga bagi menjayakan program Akrab Siswa di politeknik masing-masing.

    Penutup

  10. Akhir kata, marilah kita bersama-sama berganding bahu menjadi agen perubahan, berdiri teguh dengan Kerajaan, memperkasakan Agenda Transformasi Negara demi merealisasikan Malaysia sebagai sebuah negara maju disegani di persada antarabangsa.

  11. Maka, dengan rasa syukur kepada Tuhan maka saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Pentauliahan Akrab Siswa Politeknik Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia bagi tahun 2016.

    Sekian terima kasih.

Cetak Emel