• Utama
  • Media
  • Kenyataan Media
  • Kementerian Pendidikan Komited Bantu Realisasikan Hasrat Tubuh Kampus Cawangan Universiti Jepun Di Malaysia

Kementerian Pendidikan Komited Bantu Realisasikan Hasrat Tubuh Kampus Cawangan Universiti Jepun Di Malaysia

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi komitmen dan sokongan padu bagi merealisasikan hasrat YAB Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad agar universiti- universiti Jepun menubuhkan kampus cawangan mereka di Malaysia.

Sehubungan itu, KPM telah memulakan langkah memberi sokongan dari aspek pencarian lokasi, memudah cara proses permohonan penubuhan, pendaftaran dan piawaian serta dalam soal pengambilan penuntut.

Salah satu universiti yang telah menzahirkan rancangan penubuhan kampus cawangan di Malaysia adalah University of Tsukuba, yang merupakan salah sebuah universiti tertua dan universiti penyelidikan komprehensif di Jepun.

Turut bercadang mengadakan kampus cawangan Nippon Designers School dan Ritsumeikan Asia Pacific University.

Soal penubuhan kampus cawangan juga telah disentuh semasa sesi perbincangan saya dengan Menteri Pendidikan, Budaya, Sains dan Teknologi Jepun, Masahiko Shibayama di Tokyo, hari ini. Perbincangan kami telah membawa kepada kerjasama lebih baik antara Malaysia-Jepun dalam bidang pendidikan.

Operasi Nippon Designers School dijangka bermula tahun 2019. University of Tsukuba dijangka memulakan operasi pada tahun 2020 jika kesemua perancangan berjalan lancar.

Kerjasama penubuhan kampus cawangan di Malaysia merupakan antara aspirasi Dasar Pandang Ke Timur yang digerakkan oleh Tun Dr. Mahathir pada awal 1980-an.

Seperti dikatakan oleh YAB Tun Dr. Mahathir semalam semasa menerima ijazah kehormat daripada University of Tsukuba semalam, penubuhan universiti Jepun di Malaysia penting supaya rakyat Malaysia dapat mempelajari bukan sahaja ilmu pengetahuan, tetapi juga ciri-ciri atau sistem nilai dan etika kerja.

YAB Tun Dr. Mahathir melahirkan hasrat agar universiti Jepun mewujudkan kampus cawangan di Malaysia bagi membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia bukan sahaja didedahkan kepada sistem pendidikan negara itu, tetapi turut mempelajari budayanya.

Semalam, saya juga telah mengadakan lawatan ke Itabashi City Hall di mana Datuk Bandarnya, Takeshi Sakamoto melahirkan hasrat mengeratkan hubungan dan kerjasama dengan mengadakan Bandar Berkembar, selain mengeratkan kerjasama dalam bidang pelancongan dan pendidikan.

Datuk Bandar Itabashi City Hall juga berhasrat menaja pelajar-pelajar Jepun untuk tinggal bersama keluarga angkat di Malaysia dan merasai pengalaman unik di Malaysia.

Selain itu, saya juga mengambil kesempatan mengadakan lawatan ke sekolah awam Itabashi Daiichi Elementary School yang terletak Itabashi-ku, Tokyo, semalam.

Lawatan hampir tiga jam ini memberi peluang untuk mengetahui sendiri kaedah pembelajaran yang melahirkan generasi yang mempunyai karakter yang baik.

Hasil lawatan itu, KPM akan mengkaji untuk menyediakan skim sarapan percuma berkhasiat untuk anak-anak dari keluarga B40 dan juga berhasrat untuk memupuk budaya kebersihan dan disiplin dari peringkat tadika sehingga peringkat pendidikan tinggi.

YB DR. MASZLEE MALIK
MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA
6 NOVEMBER 2018

Cetak Emel