• Utama
  • Media
  • Kenyataan Media
  • Belanjawan 2019: Kementerian Pendidikan Susun Strategi Pelan Tindakan Memperincikan pelaksanaan Inisiatif Berkaitan Pendidikan

Belanjawan 2019: Kementerian Pendidikan Susun Strategi Pelan Tindakan Memperincikan pelaksanaan Inisiatif Berkaitan Pendidikan

PUTRAJAYA, 3 November – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melihat Belanjawan 2019 yang dibentangkan oleh YB Menteri Kewangan di Parlimen semalam sebagai Belanjawan Menyeluruh dan Seimbang dengan peruntukan kepada KPM sebanyak RM60.2 bilion atau 19.1% daripada keseluruhan peruntukan belanjawan Kerajaan Pusat, di mana KPM merupakan penerima terbesar.

Peruntukan terbesar itu secara langsung memperlihatkan komitmen tinggi Kerajaan Pusat untuk terus menyediakan kemudahan pendidikan yang berkualiti, lagi menyeluruh bagi rakyat dengan mengambil kira cabaran semasa dan keperluan masa depan.

Bagi KPM, peruntukan jumlah yang terbesar juga merupakan satu amanah yang besar bagi merealisasikan komitmen Kerajaan Pusat dan memenuhi harapan rakyat. KPM amat berterima kasih dan bersyukur kerana keprihatinan Kerajaan terhadap pembangunan sektor pendidikan negara dalam hasrat mencapai pendidikan yang berkualiti bagi semua peringkat rakyat negara ini.

Selaras dengan hasrat Kerajaan pimpinan Pakatan Harapan yang mahu meningkatkan kualiti pendidikan dan memartabatkan sistem pendidikan negara serta memberi akses kepada pendidikan yang seimbang dan inklusif, sebahagian besar permintaan KPM, khususnya dalam aspek penyediaan bantuan kewangan kepada pelajar-pelajar miskin, memperbaiki kemudahan latihan vokasional, memperbaiki sekolah-sekolah daif, serta meningkatkan dana penyelidikan di institut pengajian tinggi (IPT) telah mendapat perhatian Kerajaan dalam Belanjawan 2019.

Keseluruhannya terdapat 12 inisiatif secara langsung (seperti dalam LAMPIRAN) yang akan dilaksanakan oleh KPM dan terdapat beberapa inisiatif yang akan dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian-kementerian dan agensi-agensi yang lain, di kedua-dua peringkat persekutuan dan negeri, antaranya Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Antara inisiatif yang signifikan adalah dana RM2.9 bilion bagi menyediakan bantuan pendidikan kepada golongan miskin yang memfokuskan tiga bantuan utama iaitu makanan, buku teks dan tunai, dan peruntukan sebanyak RM652 juta berbanding RM615 juta bagi tahun 2018 bagi menaik taraf dan menyelenggara semua sekolah.

KPM juga menyambut baik peruntukan RM206 juta untuk membangun dan menyediakan program latihan di politeknik dan kolej komuniti; memperkenal Dana Wibawa Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) berjumlah RM30 juta bagi menggalakkan institusi latihan bersaing untuk menawarkan program latihan yang lebih kompetitif dan memenuhi keperluan industri, dengan jaminan pekerjaan kepada graduan, dan peruntukan RM400 juta bagi memperkasa aktiviti penyelidikan di IPT.

Inisiatif potongan cukai bagi penyumbang kepada penyelenggaraan sekolah kerajaan dan IPT awam di bawah KPM juga satu pengumuman menarik bagi menggalakkan kerjasama luar bagi meningkatkan kualiti kemudahan sekolah.

KPM akan melaksanakan kesemua inisiatif dengan penuh berhemah bersandarkan prinsip ketelusan dan akauntabiliti supaya rakyat yang meletakkan harapan ke atas Kerajaan dan Kementerian ini memperoleh manfaat yang optimum.

Semasa mengadakan mesyuarat pasca Jemaah Menteri peringkat KPM malam tadi, sejurus selepas pembentangan Belanjawan 2019, saya telah memberi arahan kepada Pengurusan Tertinggi KPM supaya mengambil langkah-langkah strategik bagi melaksanakan kesemua inisiatif dengan berkesan. Dalam hal ini, YBhg. Ketua Setiausaha KPM, Dato’ Dr. Mohd Gazali Abas akan mengetuai jawatankuasa pelaksanaan yang akan memperincikan perkara- perkara yang telah digariskan dalam Belanjawan 2019. Jawatankuasa ini akan memberi laporan pelaksanaan dan kemajuan tindakan kepada saya dari semasa ke semasa.

KPM juga akan membuat hebahan berkaitan perincian pelaksanaan setiap inisiatif, terutama bantuan pendidikan berjumlah RM2.9 bilion dari semasa ke semasa.

YB DR MASZLEE MALIK
MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA
3 November 2018

Cetak Emel