Logo KPM

KENYATAAN MEDIA

231,168 Orang Pelajar Berjaya Mendapat Tempat Di IPTA Bagi Sesi Akademik 2018 / 2019

PUTRAJAYA, 26 SEPTEMBER - Sesi Akademik 2018/2019 telah menyaksikan seramai 231,168 orang pelajar lepasan SPM, STPM, Matrikulasi, dan Asasi berjaya melanjutkan pengajian ke Universiti Awam (UA), Politeknik, Kolej Komuniti dan Institut Latihan dan Kemahiran Awam (ILKA) dalam pelbagai bidang sama ada bidang sains, sastera, sains gunaan, kemahiran mahupun teknikal.

Seramai 58,383 calon lepasan STPM dan setaraf telah memohon kemasukan ke UA. Daripada jumlah ini, seramai 24,089 calon memohon aliran sains dan peratus berjaya layak adalah 96.9% (23,362). Calon yang memohon aliran sastera pula adalah seramai 34,134. Tetapi, peratus yang berjaya layak adalah sebanyak 74.4% (25,397).

Manakala calon lepasan SPM pula adalah seramai 213,000 orang. Daripada jumlah ini, seramai 81,000 calon memilih aliran sains. Walau bagaimanapun, peratusan yang berjaya layak adalah sebanyak 88.89% (72,000). Bagi aliran sastera, sebanyak 129,000 calon memohon dengan peratus berjaya layak adalah 85.27% (110,000).

Jumlah permohonan dan permohonan berjaya layak bagi aliran sains telah menurun berbanding calon aliran sastera, sejak tiga (3) tahun yang lalu. Bagi sesi akademik 2018/ 2019, penawaran program pengajian bagi aliran sains adalah sebanyak 48% dan sastera sebanyak 52%.

Lima (5) program pengajian Ijazah Sarjana Muda aliran sains paling popular di UA adalah Bioperubatan, Sains Forensik, Pemakanan, Sains Matematik dan Dietetik. Manakala, lima (5) program pengajian Ijazah Sarjana Muda aliran sastera yang paling menjadi pilihan pula adalah Psikologi, Syariah (Fiqh dan Usul), Kaunseling, Usuluddin (Al-Quran & Al-Hadith) dan Pembangunan Sumber Manusia.

Pada tahun 2018, sebanyak 983 program pengajian Ijazah Sarjana Muda ditawarkan oleh 20 UA di seluruh negara. Manakala, sebanyak 138 program pengajian Diploma ditawarkan di 13 UA seluruh negara. Senarai program pengajian boleh didapati melalui pautan:
https://online.moe.gov.my/upu/epanduan/kodprogram/vMenuKod.php?pagefunc=kodByAll&jenprog=stpm
https://online.moe.gov.my/upu/epanduan/kodprogram/vMenuKod.php?pagefunc=kodByAll&jenprog=spm

Lima (5) program pengajian Diploma aliran sains paling popular di UA adalah Kejururawatan, Farmasi, Sains Sukan dan Kejurulatihan, Sains Komputer (Komputeran Internet) dan Teknologi Maklumat. Manakala lima (5) program pengajian Diploma aliran sastera paling popular pula adalah Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Pengajian Perniagaan, Seni Kulinari, Perakaunan dan Pentadbiran Awam.

YB. DR. MASZLEE MALIK
KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA

21 SEPTEMBER 2018

Cetak Emel