• Utama
  • Media
  • Kenyataan Media
  • Lembaran Baharu Kerjasama Malaysia-China Dalam Bidang TVET – Lebih Banyak Peluang Biasiswa Dan Pendidikan TVET Bagi Rakyat Malaysia

Logo KPM

KENYATAAN MEDIA

Lembaran Baharu Kerjasama Malaysia-China Dalam Bidang TVET – Lebih Banyak Peluang Biasiswa Dan Pendidikan TVET Bagi Rakyat Malaysia

Sempena lawatan kerja ke Republik Rakyat China baru-baru ini, saya telah dijemput untuk memberi ucapan pada sesi pembukaan Forum TVET China-Malaysia yang julung kali diadakan. Forum yang berlangsung di Changsa, China telah membuka peluang bagi menerokai kerjasama dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Syarikat-syarikat yang turut bertemu dengan saya dan perwakilan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menyuarakan minat untuk membantu universiti teknikal dan politeknik Malaysia dalam menyediakan graduan untuk industri antarabangsa dan mencabar. Beberapa pihak turut menawarkan biasiswa kepada pelajar Malaysia bagi mengikuti latihan di China.

Perbincangan juga diadakan dengan SANY Polytechnic College, sebuah institut yang dimiliki oleh SANY Group Company Ltd, konglomerat yang menghasilkan ‘pre-cast concrete’ menggunakan teknologi Industrial Building System (IBS) dan mengeluarkan jentera berat dalam bidang pembinaan.

SANY telah diminta supaya mengambil pelajar-pelajar dari Malaysia untuk dilatih, dan seterusnya ditempatkan di cawangan SANY Group di seluruh dunia. Difahamkan SANY Group merancang untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Kedah bagi membangunkan sebuah kilang perusahaan dalam bidang jentera berat.

Pembangunan ini membuka peluang kepada 20 tempat bagi pelajar Politeknik di sekitar negeri Kedah untuk menjalani latihan praktikal di SANY Group. Dalam pada itu, perbincangan turut diadakan dengan ZTE Education Management Ltd, Changsha Social Work College (CSWC) dan Syarikat GreenPacket.

ZTE Education Management Ltd merupakan anak syarikat ZTE Corporation yang memberi tumpuan kepada kerjasama antara universiti, sekolah vokasional dan industri. ZTE Education mencadangkan penubuhan China-Malaysia Institute di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) dan Universiti Teknikal Malaysia (UTeM). Cadangan ini akan saya pertimbangkan.

Selain itu, ZTE Education juga bersetuju menawarkan sebanyak 300 biasiswa kepada rakyat Malaysia untuk mengikuti pengajian TVET di institusi TVET China.

Dengan perkembangan pendidikan tinggi TVET di Malaysia yang seiring teknologi semasa, ZTE Education juga berhasrat untuk membantu menambahkan bilangan pelajar seramai 1,300 orang dari China untuk melanjutkan pelajaran di Malaysian Technical University (MTUN).

Pengasas GreenPacket, C.C. Puan juga mahu memberi sokongan bagi menubuhkan Pusat Teknologi Kepintaran Buatan (AI) dan Big Data Analytics di Politeknik Malaysia.

Justeru saya yakin perkembangan ini akan menandakan bab baru dalam pendidikan TVET di Malaysia pada tahun-tahun akan datang di mana Kementerian Pendidikan Malaysia sedang mengambil usaha untuk memperkasakan pendidikan TVET.

Turut hadir dalam lawatan kerja ini ialah Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, YBhg. Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ismail Abd. Aziz.

YB. DR. MASZLEE MALIK
KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA

21 SEPTEMBER 2018

Cetak Emel