Logo KPM

KENYATAAN MEDIA

Pelaksanaan Pilihanraya Kampus Oleh Pelajar

Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) atau juga dikenali sebagai Pilihanraya Kampus (PRK) adalah proses pemilihan pemimpin pelajar yang dilaksanakan di semua Universiti Awam (UA)setiap tahun. Majlis Perwakilan Pelajar di UA berperanan mewakili suara, pandangan dan hasrat pelajar dalam pelbagai hal kepada sesebuah UA berkenaan.

Justeru, PRK pada tahun ini melalui Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) akan membawa semangat autonomi dengan kebebasan bersuara sepenuhnya, berpolitik dan berpersatuan dalam memperjuangkan hal ehwal pelajar, kebajikan, akademik, politik mahupun aktiviti tanpa keterlibatan pihak pengurusan UA.

Mesyuarat Penyelarasan PRK antara Jabatan Pendidikan Tinggi, Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Pegawai Undang-undang UA pada hari ini telah memutuskan agar tata cara pelaksanaan PRK disemak semula bagi memberi laluan kepada pelajar mengendalikan PRK secara telus dan bebas mengikut acuan kepimpinan mereka. Beberapa UA turut menyatakan kesediaan untuk membenarkan pelaksanaan PRK oleh pelajar mulai tahun ini.

Kebebasan pelaksanaan PRK ini menjadi medan latihan untuk pelajar menentukan pemimpin yang akan memperjuangkan hak dan hasrat mereka. Sebagaimana UA mengamalkan konsep autonomi, KPM juga mencadangkan agar pelajar diberikan kuasa (empower) dalam menentukan hala tuju mereka. Namun, pelaksanaan ini perlulah mematuhi perlembagaan, peraturan dan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

Dalam hal ini, UA akan melaksanakan PRK masing-masing setelah membuat perubahan-perubahan yang perlu kepada peraturan dan prosedur yang sedia selaras dengan inisiatif untuk mengadakan PRK yang bebas, adil dan terbuka. Mengambil kira perubahan yang diperlukan, UA boleh menangguhkan PRK mengikut kesesuaian institusi masing-masing. Inisiatif ini dapat menggalakkan pelajar bersifat proaktif dan bertanggungjawab ke atas keputusan dan tindakan yang diambil. Inisiatif tersebut telah dipersetujui menerusi Mesyuarat Penyelarasan PRK yang dipengerusikan oleh YBhg. Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah binti Tapsir, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi.

Pihak pengurusan UA disarankan agar turut membantu dalam penyediaan prasarana serta bimbingan bagi menjayakan pelaksanaan PRK tersebut. KPM yakin bahawa pembaharuan ini dapat memberi manfaat kepada semua pihak khususnya generasi pelapis kepimpinan negara.

Sekian, terima kasih.

KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
15 SEPTEMBER 2018

Cetak Emel