• Utama
  • Media
  • Kenyataan Media
  • CEO Petronas Dagangan Berhad Dato' Seri Syed Zainal Dilantik Sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM

Logo KPM

KENYATAAN MEDIA

CEO Petronas Dagangan Berhad Dato' Seri Syed Zainal Dilantik Sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM

PUTRAJAYA, 10 SEPTEMBER – Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Petronas Dagangan Berhad, YBhg Dato' Seri Haji Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang baharu, berkuat kuasa selama tiga tahun, mulai Julai 2018.

Beliau mempunyai pengalaman dan kepakaran luas dalam bidang korporat dan pendidikan. Beliau pernah melibatkan diri sebagai anggota panel penasihat industri bagi beberapa universiti awam dan swasta. Selain itu beliau pernah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Induk Anugerah Akedemik Negara, Kementerian Pendidikan Malaysia.

YBhg. Dato' Seri Syed Zainal yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains dalam jurusan Kejuruteraan daripada University of Maryland, Amerika Syarikat, antara lain pernah menerajui Kumpulan Proton Holdings Bhd dan Perodua Auto Corporation Sdn Bhd.

Justeru, selaku tokoh korporat yang dihormati dan disegani saya penuh yakin beliau mampu mengemudi UiTM menjadikan pusat pengajian tinggi yang dinamik untuk bergerak seiring dengan keperluan dan cabaran semasa.

Saya percaya kepimpinan beliau akan memberi suntikan baharu kepada kecemerlangan UITM, yang secara tidak langsung akan membantu hasrat Kerajaan untuk terus memartabatkan sistem pendidikan negara.

Pada kesempatan ini saya mengucapkan jutaan terima kasih atas sumbangan YBhg. Tan Sri Dr. Ahmad Zaidee Laidin sepanjang tempoh menyandang jawatan Pengerusi UiTM dari Julai 2015 hingga Julai 2018.

Terima Kasih.

YB DR. MASZLEE MALIK
MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA
10 SEPTEMBER 2018

Cetak Emel