Logo KPM

SIARAN media

100 Hari Pertama: Lebih 40 Inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia

Sempena 100 hari pertama Kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH), saya sekali lagi mengambil peluang untuk mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah memberi kepercayaan kepada PH untuk memimpin rakyat dan negara menerusi Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018 yang lalu.

Pada kesempatan ini, saya juga mengucapkan terima kasih kepada seluruh warga Kementerian Pendidikan dan pemegang taruh (stakeholders) kami yang sepanjang 100 hari yang lalu, telah memberi kerjasama yang padu kepada saya dan pasukan saya dalam mengemudi Kementerian Pendidikan.

Alhamdulillah, berkat sokongan dan kerjasama daripada semua pihak, kepimpinan saya telah berupaya untuk melaksanakan lebih 40 inisiatif (seperti dalam Lampiran) demi kepentingan masa depan pelajar di semua peringkat di negara ini.

Sebahagian daripada inisiatif-inisiatif ini merupakan antara perkara yang telah dijanjikan oleh PH dalam manifesto PRU14 manakala sebahagian lagi adalah inisiatif di luar daripada buku Manifesto PH itu sendiri.

Ini bermakna Kementerian Pendidikan Kerajaan pimpinan PH mengambil usaha dan pendekatan holistik dan membina bagi membolehkan martabat sistem pendidikan terus dipertingkatkan demi masa depan anak-anak kita.

Sehubungan itu, salah satu daripada inisiatif yang dilaksanakan itu termasuklah menunaikan janji untuk mengeluarkan nama peminjam PTPTN daripada senarai hitam Jabatan Imigresen Malaysia. Ini telah dilakukan pada 8 Jun 2018 iaitu dalam tempoh 30 hari pentadbiran Kerajaan baharu. Langkah ini telah membantu seramai 429,945 peminjam.

Dengan pelaksanaan tersebut, peminjam PTPTN yang patut membuat bayaran balik tidak lagi mempunyai sebarang sekatan Jabatan Imigresen. Kami percaya mereka yang meminjam sedikit wang untuk membiayai pengajian tidak wajar dilayan seperti penjenayah atau seperti mereka yang mencuri dana negara.

Sebelum ini, saya telah mengetengahkan beberapa janji saya sebagai Menteri Pendidikan di mana ia adalah komitmen saya untuk membawa penambahbaikan ke atas sistem pendidikan negara dalam tempoh lima tahun akan datang. Di peringkat awal 100 hari pertama ini, fokus saya ialah kepada low-hanging fruits, sebelum kita berpindah ke isu-isu lebih besar.

Ini termasuklah memberi kuasa autonomi kepada IPT, memberi kebebasan bersuara kepada mahasiswa dengan mewujudkan semula Sudut Pidato (speaker corner), mengurangkan beban guru daripada tugas perkeranian, memperkasa sekolah kebangsaan dan pendidikan khas, memastikan murid tidak lagi menggalas beg yang berat, meningkatkan penguasaan bahasa Melayu dengan memperkasakan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan menggalakkan pelajar menguasai lebih daripada tiga bahasa.

Kementerian saya juga mengambil langkah untuk memulakan kajian inklusif untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) selaras dengan Manifesto Pakatan Harapan. Ini termasuk membentuk sebuah jawatankuasa khas bagi tujuan itu. Universiti Awam (UA) digalak menganjurkan lebih banyak perbahasan atau dialog dengan pihak-pihak berkepentingan (stakeholders).

Saya dan Kementerian Pendidikan bersikap terbuka untuk menerima pandangan daripada mana-mana pihak bagi menjayakan agenda dasar pendidikan negara.

Usaha memartabatkan Bahasa Melayu akan terus dipergiatkan dengan meraikan kekuatan dan menyemai budaya masyarakat pelbagai bahasa. Beberapa pengumuman berkaitan akan dibuat dalam waktu terdekat.

YB DR MASZLEE MALIK
MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA
19 OGOS 2018

PUTRAJAYA


LAMPIRAN

KEBAJIKAN PEMINJAM PTPTN

  1. Memansuhkan dasar senarai hitam ke atas peminjam PTPTN. Langkah ini memanfaatkan seramai 429,945 peminjam.
  2. Memulakan langkah untuk memastikan golongan berpendapatan rendah boleh menangguhkan bayaran balik melalui sistem bayaran balik pinjaman fleksibel atau Income-Contigent Loan Repayment (ICLR).

AUTONOMI UNIVERSITI DAN AUKU

  1. Menjalankan kajian komprehensif ke arah pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Kini di peringkat mengumpul pandangan semua pemegang taruh.
  2. Universiti Awam (UA) digalak menganjurkan lebih banyak perbahasan atau dialog dengan pihak-pihak berkepentingan (stakeholders)
  3. Menghidupkan kembali Sudut Pidato bagi memberi ruang yang lebih luas kepada mahasiswa untuk bersuara.
  4. Mengadakan siri perbincangan dengan wakil-wakil kakitangan akademik UA, seperti GERAK dan MAAC.
  5. Menerima cadangan dan syor daripada pemegang taruh UA dalam soal pelantikan ahli-ahli lembaga pengurusan universiti dan calon-calon Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor.
  6. Menjalankan pertemuan dengan pimpinan UA dan IPTS.

KEWIBAWAAN UNIVERSITI

  1. Memberi autonomi kepada universiti untuk melaksanakan ICGPA supaya pensyarah dapat memfokus terhadap kerja utama iaitu sesi pengajaran dan penyelidikan.
  2. Menubuhkan Jawatankuasa Integriti Akademik untuk memperkasa, mengukuh dan membudayakan integriti akademik.

TAJAAN DAN PENEMPATAN

  1. Menyediakan sebanyak 1,000 penempatan matrikulasi kepada pelajar daripada keluarga dalam golongan B40 termasuk bagi golongan bukan Bumiputera.
  2. Menyediakan tajaan khusus untuk anak-anak FELDA.

MASALAH SEKOLAH DAIF

  1. Menyalurkan peruntukan RM2.7 juta untuk memperbaiki peralatan persekolahan.
  2. Meluluskan peruntukan khas tahun 2018 sebanyak RM35.74 juta untuk pembaikan dan penyelenggaraan sekolah-sekolah.
  3. Memulakan secara berperingkat proses merangka pelan pembangunan bagi menangani isu sekolah-sekolah daif, sekolah dua sesi dan isu sekolah padat di peringkat negeri.
  4. Meluluskan peruntukan segera RM6 juta sebulan, setiap bulan, kepada Sarawak untuk langkah pertama menyelesaikan masalah sekolah tanpa bekalan elektrik.

PENSTRUKTURAN SEMULA KEMENTERIAN PENDIDIKAN

  1. Penggabungan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi bagi memperkukuh hala tuju sistem pendidikan negara.
  2. Memberi visi pengantarabangsaan Bahasa Melayu kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta menyusun semula kepimpinannya.
  3. Memberi kerjasama siasatan SPRM terhadap kes-kes yang menimbul syak akibat keputusan kerajaan terdahulu.

PEMERKASAAN DASAR DAN SISTEM PENDIDIKAN NEGARA

  1. Melantik tujuh orang, kumpulan pertama, sebagai anggota Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (2018-2020). Empat lagi anggota dalam proses pelantikan.
  2. Membentuk Jawatankuasa Kajian Semula Sistem Pendidikan Negara untuk menyemak dasar dan operasi sistem pendidikan agar sesuai dengan zaman revolusi industri 4.0.
  3. Menubuhkan Jawatankuasa Pelaksanaan Manifesto peringkat kementerian.

MEMBELA DAN TERUS MENGIKTIRAF NASIB SASTERAWAN NEGARA

  1. Memperkenalkan inisiatif khas demi mengiktiraf Sasterawan Negara.
  2. Mengarahkan DBP memberi tempat yang sesuai dengan kedudukan para Sasterawan Negara.

BAHASA DAN BUDAYA

  1. Melancarkan proses ke arah Kempen Dekad Membaca Kebangsaan.
  2. Merancang untuk mengadakan Kempen Pemartabatan Bahasa Melayu.
  3. Memulakan Hari Bahasa Kebangsaan dan Hari Bahasa Inggeris di peringkat sekolah.

MENGURANGKAN BEBAN GURU

  1. Mengurangkan beban para guru dengan menghapuskan proses audit bagi sistem SKPMG2.

MEMPERKASA INSTITUSI PENDIDIKAN TEKNIKAL DAN LATIHAN VOKASIONAL (TVET)

  1. Membentuk Jawatankuasa Pemerkasaan TVET.
  2. Mengadakan sesi-sesi bersama pemegang taruh TVET dari pelbagai kementerian dan badan swasta dalam dan luar negara.
  3. Menyemak keperluan institusi TVET seluruh negara.

PROJEK BERMASALAH

  1. Mengadakan siasatan dan semakan dalaman ke atas kontrak-kontrak yang bernilai besar seperti solar-hibrid genset di Sarawak dan pembekalan internet 1Bestarinet.
  2. Mengambil tindakan penyelesaian bagi membolehkan Sekolah Seni Malaysia dibuka pada sesi 2019 sebagaimana disasarkan.

KEBAJIKAN GOLONGAN OKU

  1. Mengadakan latihan awal untuk tenaga pengajar sekolah dan prasekolah golongan OKU.
  2. Melakukan kolaborasi bersama NGO pendidikan khas bagi menambah baik pendidikan khas dalam sistem pendidikan kebangsaan.

KEPENTINGAN MURID ORANG ASLI

  1. Memberi perhatian dalam meningkatkan pencapaian akademik murid Orang Asli di seluruh negara.

SEKOLAH AGAMA DAN TAHFIZ

  1. Memperkasa pendidikan tahfiz menerusi penambahbaikan program tahfiz dengan Sekolah Kebangsaan dan Menengah Kebangsaan.
  2. Memulakan perbincangan dengan beberapa negara Timur Tengah agar pelajar sekolah agama boleh meneruskan pengajian Islam dan Bahasa Arab di rantau itu.
  3. Memberi peruntukan RM30 juta untuk disalurkan kepada Sekolah Agama Bantuan Kerajaan.
  4. Menawarkan pakej latihan kepada guru-guru institusi tahfiz swasta bagi memastikan tenaga pengajar di tahfiz adalah tenaga pengajar terlatih.

MENDENGAR SUARA AKAR UMBI

  1. Mendengar suara akar umbi di sekolah-sekolah dan memantau keadaan sekolah dengan mengadakan siri lawatan kasih sayang.
  2. Mengadakan siri pertemuan dengan guru-guru besar dan guru-guru dari sekolah-sekolah agama dan sekolah-sekolah agama bantuan kerajaan.

SEKOLAH JENIS KEBANGSAAN (CINA)

  1. Projek membina sekolah baharu akan diteruskan dan telah dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri iaitu empat buah di Johor, satu di Selangor dan satu di Pulau Pinang.
  2. Pembinaan empat buah sekolah baharu akan diteruskan dengan mengenal pasti empat lagi kawasan yang mempunyai keperluan mendesak.
  3. Perpindahan enam Sekolah Kurang Murid akan diteruskan setelah mengenal pasti keperluan mendesak masing-masing.
  4. KPM akan mendapat peruntukan sebanyak RM20 juta dalam tahun ini untuk tujuan pembinaan dan perpindahan sekolah-sekolah tersebut.
  5. Peruntukan RM50 juta dalam Bajet 2018 sebagai Tabung Khas akan disalurkan kepada Sekolah Bantuan Kerajaan mengikut keperluan masing-masing.

SEKOLAH JENIS KEBANGSAAN (TAMIL)

  1. Memastikan SJKT mendapat perhatian lebih baik melalui cara meletakkan pengawasan terus di bawah Menteri dan Timbalan Menteri.

Cetak Emel