Logo KPT 200x150   Black

KENYATAAN MEDIA

PENUBUHAN LIMA KOLEJ KOMUNITI BAHARU AGENDA TVET MASA KINI

Kementerian Pendidikan Tinggi telah meluluskan penubuhan lima (5) buah lagi kolej komuniti baharu iaitu di Bachok, Kelantan; Keningau dan Tuaran di Sabah; Kuala Selangor, Selangor serta di Dungun, Terengganu.

Pembinaan kolej komuniti baharu ini akan membuka lebih banyak peluang pembelajaran kemahiran TVET kepada pelajar-pelajar lepasan SPM dan setaraf yang berminat dan berkelayakan untuk menyambung pengajian mereka.

Penawaran kursus-kursus yang berasaskan 4IR di kolej komuniti juga amat sesuai dengan strategi bagi menarik pelabur asing datang ke Malaysia. Dan ini akan membantu meningkatkan lagi kebolehpasaran graduan kolej komuniti dari semasa ke semasa.

Kebolehpasaran graduan kolej komuniti menunjukkan peningkatan iaitu sebanyak 6.0% menjadi 97.2% jika dibandingkan 91.2% pada tahun 2013. Ini adalah bukti kemajuan pendidikan kemahiran yang ditawarkan di kolej komuniti seiring dengan agenda TVET yang telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri baru-baru ini.

Penubuhan ini selaras dengan hasrat Kerajaan untuk membuka peluang dan akses kepada pendidikan TVET untuk masyarakat setempat serta peluang untuk pembelajaran sepanjang hayat.

YB DATO’ SERI IDRIS JUSOH
MENTERI PENDIDIKAN TINGGI

Putrajaya, 18 April 2018

Cetak Emel