Logo KPT 200x150   Black

SIARAN MEDIA

MAJLIS PELANCARAN TRC EDU CENTER
POLITEKNIK UNGKU OMAR


IPOH, 20 FEBRUARI – Majlis Perasmian TRC EDU CENTER yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Idris bin Jusoh, Menteri Pendidikan Tinggi menyaksikan TRC EDU CENTER sebuah pusat industri-akademia hasil kolaborasi antara Politeknik Ungku Omar, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Trans Resources Corporation Sdn. Bhd. (TRC) direalisasikan bagi mencapai misi Kementerian Pendidikan Tinggi, “Industry & Academia Are One”. TRC EDU CENTER ini adalah yang pertama dan julung-julung kali dibina oleh Trans Resources Corporation Sdn. Bhd. (TRC) bersama institusi pendidikan. Jabatan Pendidikan Politeknik (JPP) diwakili oleh Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Mohd Ismail bin Abd Aziz manakala Trans Resources Corporation (TRC) diwakili oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Sufri bin Hj. Mohd Zin, Pengarah Urusan Kumpulan, TRC Sdn Bhd.

TRC Sdn Bhd telah menjalinkan kerjasama khususnya dengan Politeknik Ungku Omar (PUO) sejak PUO memperkenalkan program Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Awam dengan Kepujian melalui pendekatan Work-Based Learning (WBL) di mana pelajar menjalani WBL di syarikat-syarikat pembinaan di bawah Master Builders Association Malaysia (MBAM) selama 10 bulan. Kerjasama yang lebih erat terjalin apabila Pengarah Urusan Kumpulan TRC, Tan Sri Dato’ Sri Sufri bin Hj. Mohd Zin dilantik sebagai CEO Faculty@Polytechnic kepada PUO dan berperanan sebagai mentor dalam perkongsian pengetahuan dan pengalaman luas beliau dalam industri pembinaan bersama pelajar dan pensyarah PUO.

TRC Sdn Bhd mengukuhkan lagi kerjasama bersama PUO dan JPP dengan menubuhkan TRC EDU CENTER di Politeknik Ungku Omar sebagai menyahut cabaran YB Menteri Pendidikan Tinggi dalam misi “Industry & Academia Are One”. TRC EDU CENTER akan menjadi wadah dalam menjayakan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) di institusi pendidikan tinggi di mana ia merupakan sebuah Technology Enabled Collaborative Centre (TECC) yang dilengkapi dengan kemudahan Virtual Reality. Penubuhan pusat industri-akademia atau Teaching Factory di PUO akan menggiatkan lagi penyertaan pihak industri dalam sistem pendidikan serta latihan teknikal dan vokasional (Technical and Vocational Education and Training, TVET) di Malaysia terutama dalam bidang Teknologi Kejuruteraan Awam.

Di antara faedah yang diperolehi dari pembangunan TRC EDU CENTER adalah seperti berikut:

  1. Sebagai Pusat Teknologi (Center of Technology, COT) untuk Bandar Lestari bagi Jabatan Kejuruteraan Awam, PUO

  2. Sebagai pusat untuk reskilling dan upskilling bagi pensyarah, pelajar dan industri

  3. Pemindahan teknologi dari pihak TRC kepada warga PUO dalam bidang niche TRC iaitu Pengurusan Projek dan Teknologi Pembinaan Lestari

  4. Ruang yang kondusif untuk sesi perkongsian ilmu dan pengalaman bersama CEO Faculty@Polytechnic

  5. Simulasi komputer dalam Teknologi Pembinaan Lestari melalui Virtual Reality

  6. Penambahbaikan dalam proses pembelajaran aktif pelajar

Justeru, TRC EDU CENTER yang telah ditubuhkan di Politeknik Ungku Omar akan dapat dimanafaatkan sepenuhnya dalam memenuhi permintaan dan keperluan pemain industri teknikal bagi meningkatkan kualiti pendidikan serta latihan teknikal dan vokasional (TVET).

Turut hadir pada majlis tersebut ialah YB Datuk Dr. Mary Yap Kain Ching, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Mohd Ismail bin Abdul Aziz, Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, YBhg. Dr. Mohammad Naim bin Yakkub, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik (Operasi), Jeneral (B) Tan Sri Dato’ Seri Mohd Shahrom bin Dato’ Hj. Nordin, Pengerusi TRC, Tan Sri Dato’ Sri Sufri bin Haji Mohd Zin, Pengarah Urusan Kumpulan, Dato’ Abdul Aziz bin Mohamad, Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Richard Khoo Teng San, Ketua Pegawai Operasi serta Ahli Lembaga Pengarah TRC dan tetamu jemputan.

Cetak Emel