Logo KPT 200x150   Black

SIARAN MEDIA

MALAYSIA PILIHAN UTAMA UNTUK PENDIDIKAN TINGGI BAGI PELAJAR NEGARA CHINA


BEIJING, 19 Oktober 2017 – Malaysia merupakan sebuah negara yang popular di kalangan pelajar negara China bagi melanjutkan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi. Salah satu dari faktor penyumbang adalah kos pengajian dan kos sara hidup yang berpatutan berbanding dengan negara-negara lain di dunia. Perkara ini telah dinyatakan oleh Wang Ji, Presiden Persatuan Bekas Pelajar China ke Malaysia.

"Sistem pengajian di Malaysia juga mudah untuk diadaptasi dengan negara China," kata beliau lagi.

"Semasa berada di Malaysia saya berasa aman dan tidak kekok kerana terdapat persamaan budaya antara Malaysia dan China," kata Jennifer, seorang lagi bekas pelajar China di Malaysia, bekas penuntut Universiti Sains Malaysia (USM).

Hasil daripada pendidikan tinggi di Malaysia, ramai antara mereka telah berjaya menjawat jawatan tinggi dan menjadi usahawan yang berjaya.

Wang Ji, bekas pelajar di UCSI dan Universiti Lim Kok Wing, merupakan Pengarah Pelaburan di China General Technology (Group) Holding Co. Ltd, sebuah syarikat milik kerajaan negara China. Manakala Jennifer Yan Xinyu, 27 tahun, pula adalah Pengerusi di Shijiazhuang Cailin Edu Science Co. Ltd, sebuah syarikat miliknya sendiri yang melatih dan mengajar kanak-kanak seawal usia 3 tahun hingga 18 tahun dalam bidang pembuatan robotik.

Ahli-ahli persatuan ini telah mengadakan pertemuan bersama YBhg. Tan Sri Dr. Noorul Ainur Mohd Nur, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) semasa lawatan kerja beliau ke negara China yang bermula hari ini. Turut hadir semasa pertemuan ini adalah YBhg. Datuk Dr. Rujhan, Ketua Pegawai Eksekutif Education Malaysia Global Service (EMGS), YBhg. Prof Dr. Noor Azizi Ismail, Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Pendidikan Tinggi dan YBhg. Datin Dr. Syahira Hamidon, Ketua Unit Keusahawanan, Kementerian Pendidikan Tinggi.

Cetak Emel